Parenting Tips 15 : Pembentukan anak DENGAN SENGAJA – ikut SISTEM, bukan ikut NASIB.

00 sengaja bentuk anak

Parenting Tips 15 : Pembentukan anak DENGAN SENGAJA – ikut SISTEM, bukan ikut NASIB.

Bagaimana cetakan, begitulah rupa produknya.  Sekali sekala ada juga terjumpa buah durian di hutan LIAR yang tebal isi dan sedap rasanya.  Namun berbeza dengan majoriti kualiti buah durian di ladang atau dusun yang terjaga dan terpantau. Dari pemilihan benih yang baik, di tanam di tanah yang baik dan dibaja dengan baik. Pasti keseluruhan hasilnya juga hampir dapat dipastikan sangat baik.. Begitulah falsafah di sebalik INSYAALLAH, kebaikan yang bakal terhasil dari sistem Allah yang baik.

Tempohari, Datuk Lee Chong Wei kalah dalam kejohanan badminton antarabangsa sekali lagi kepada Lin Dan. Khabarnya kerana penghawa dingin ditutup. Apa sekalipun, kami mahu petik contoh luar (bukan dari kalangan kami) tentang pembentukan bersistematik. LCW terbentuk atas dasar bukan berasaskan sistem tetapi Lin Dan dan team seperjuangan beliau dari China dibentuk melalui sistem.

Jika sistemnya BAIK, input yang masuk akan mengeluarkan output yang setara baiknya. Jika Lin Dan berjaya, rakan senegaranya juga berjaya sama. Itulah hasil sistem. Berbanding dengan LCW yang hanya secara kebetulan terlonjak dek kerana sistem peribadi yang telah tertanam dalam jiwanya. Orang lain dalam pasukan LCW, mengapa tak menang? Jika sistem dalam BAM itu sangat baik, ia akan menjadi satu pembentukan JOHAN DUNIA secara sistemik atau menyeluruh dan bukannya bersifat individualistik.

Sekarang kita balik ke contoh di RPWP pula. Tempohari keluar cerita tentang Orked dan kesemua anak-anak kecil dan besar yang mensedekahkan kesemua tabungan dan duit raya kepada Mak Sofiah untuk biaya pembedahan lututnya. Kemudian pula kita keluarkan tentang anak-anak lain pula seperti Syafaat Yazid, Afiq Aisar, Abu Rijal, Mohamad Abid, Mohamad Raimie, Mohd Dinie, Nurhani dan lain-lain lagi. Mereka juga mewarisi ciri sama dalam sikap keprihatinan juga akhlaknya. Jika seorang saja yang menjadi, itu mungkin kerana nasib. Tetapi jika seorang dua sahaja yang kurang menjadi, selebihnya betul-betul menjadi, InsyaAllah itu adalah disebabkan sistem yang baik dan holistik.

Ad-Deen / Agama itu sendiri merupakan satu sistem kesejahteraan (A = Tidak, GAMA = Kacau). Sistem yang TIDAK KACAU = SEJAHTERA. Sejahtera itulah ISLAM (Salam). Susah nak faham? Kalau tak faham, kena baca perlahan sedikit.

Apa yang kami percaya dan telah kami amalkan sejak 8 tahun dahulu ialah penerapan sistem. Mengambil uswah dari Nabi Muhammad SAW sendiri dan berpandukan dari Al-Quran lalu kami rangka sistem itu. Dalam masa yang sama juga, kami mengambil kes-kes studi dari anak-anak yang baik akhlaknya SECARA NASIB / TAK SENGAJA untuk kita kaji dan jadikannya satu sistem yang MAMPU DISENGAJAKAN pembinaannya.

Nabi Muhammad SAW sendiri diutuskan untuk membaiki akhlak umatnya. Dan sekali lagi, ia dilakukan secara sistematik dan bukannya secara semberono membabi buta. Nabi telah lakukannya dengan baik, maka kita ini ambil sahajalah tauladan itu. Buka semula kitab usang di gerobok rumah anda, kajinya semula. Telaah semula sirah dan sunnah supaya kita tahu di mana nak mula. Kedua-dua azimat (Quran & Sunnah) itu bukanlah untuk kita jadikan tangkal azimat tetapi untuk kita keramatkan perlaksanaannya. Jika ia dilaksanakan, tiada perlu kita merujuk kepada konsultan Barat yang KONONNYA lebih pandai dari kita.

Anda sendiri, sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak anda… telah guna sistem Allah ke belum? Atau masih percaya dengan sistem Mat Saleh lagi?

Kudap-kudap
WARGA PRIHATIN