Minyak Naik & Naik Minyak

1243484_10152174057797786_1114428270_oTidak ada siapa pun yang suka harga minyak, bahkan apa barang pun naik harga kecuali pihak pengeluar yang berkepentingan ekonomi saja. Itu masalah yang harus kita hadapi suka maupun terpaksa. Berita kenaikan harga petrol semalam telah membuatkan semua meluahkan perasaan di WALL facebook. Nampaknya itu saja jalan melepas geram, marah dan kecewa.

Ramai juga yang terlupa mengadu dan merujuk kepada Allah untuk mencari ketenangan menghadapi musibah ini. “Qul-Innalillahi Wainna Ilaihiroojiuun”, “Katakanlah sesungguhnya bagi Allah dan sesungguhnya kepada Allah kembali segala RUJUKAN”. Setiap yang berlaku pasti ada rujukan yang harus kita cari, agar kita boleh kembalikan diri kita kembali redha dan tenang.

Sepertimana biasa, kami bincangkan bersama-sama dengan santai semasa berdipan-dipan dan merumuskan seperti ini. Di samping kami sendiri perlu tenangkan hati, kami pasti ada ramai rakan-rakan yang akan hantar mesej bertanya pendapat. Ternyata tekaan kami benar. Terima kasih kerana sudi bertanya kepada kami yang jahil dan hina dina ini.

Apa sebenarnya yang menyebabkan rakyat marhaen marah sangat? adakah sebenar-benarnya kerana minyak naik sangat? Atau ada perkara lain? Mari kita lihat poin-poin yang meledak perasaan rakyat.

MARAH SEBAB SEMUA BERATUR TAPI TIDAK DAPAT MINYAK.

Macam-macam ragam tunjuk perasaan keluar di internet. Sampaikan ada stesen minyak yang dimusnahkan. Haruskah sampai merusuh tanpa usul periksa begitu? Inilah masalahnya bila tiada ketelusan dari satu pihak dan kurang ilmu, kurang iqra’ dari satu pihak lagi yang menyebabkan keadaan tegang. Ketenangan itu gambaran syurga, ketegangan gambaran neraka. Maka ramailah yang terbakar dalam neraka dunia ini dengan fenomina minyak naik dan dibalas dengan naik minyak.

Salah seorang co-founder RPWP memang seorang pengusaha stesen Petronas. Memang bekalan telah disekat dan disukat, tidak seperti biasanya. Jadi apalah nasib stesen petrol yang dirusuh itu?

Kesilapan pihak penguasa pula ialah sudahlah nak naikkan harga, sekat pula bekalan. Apa lah salahnya jika dilebihkan bekalan, sekurang-kurangnya rakyat marhaen yang tidak fikir panjang ini boleh sejuk sikit hati.

KEPERLUAN BERATUR DAPATKAN MINYAK SAAT AKHIR

Kita lihat begitu ramai motosikal dan kereta yang beratur untuk mengisi full tank. Berapakah nilai full tank bagi sebuah motosikal? Berapakah penjimatan dari kenaikan harga RM0.20 seliter itu bagi tangki sebuah motosikal atau kancil? Berapa lamakah bertahan tangki yang penuh itu?

Nah, apakah yang sedang kita lihat dari fenomena ini sebenarnya?

1. Kita kurang bijak dalam urusan perkiraan untung rugi. Jika kita berjaya topup 5 litre, bermakna kita hanya jimat RM1. Untuk 20 litre kita jimat RM4 saja. Apa yang boleh kita dapat dengan RM1 hari ini? berbaloikah merusuh, tambahan tanpa usul periksa begitu? Jika kebetulan memang benar minyak habis, dan memang itulah sebenarnya berlaku, tidak kah kita telah menganiaya pengusaha yang tidak berdosa? Jika tertangkap pula kita akan ditahan di lokap, yang belajar tak dapat belajar, yang kerja tak dapat kerja… berbaloikah?
2. Ini juga mungkin sedang menunjukkan betapa rakyat sedang berada dalam situasi yang sangat terhimpit ekonominya.

MARAH SEBAB KERAJAAN TIDAK BERTERUS TERANG & MUNGKIR JANJI

Apabila kita sudah berjanji, ia akan di ikat sebagai satu akad yang perlu dipenuhi.

“Wahai orang-orang yang beriman penuhilah setiap akad-akad itu.” (QS. Al-Maidah: 1)

Rasulullah saw. bersabda:
“Janganlah kamu menyongsong rombongan orang-orang berkendaraan; janganlah kamu menjual dengan harga menyaingi harga jual orang lain; janganlah kamu membohongkan harga barang; janganlah orang kota menjualkan kepunyaan orang desa;” (Dari Abu Hurairah r.a.)

“Kecurangan apa yang lebih besar dibandingkan ketika engkau berbicara dengan saudaramu, ia mungkin berfikir bahwa engkau mengatakan kebenaran sedang engkau menipunya dengan mengatakan kebohongan”. (H.R. Bukhari)

Ada nota kecil di bawah foto hiasan di atas yang menayangkan janji pilihanraya yang tidak ditepati. Berbagai-bagai keratan akhbar dikeluarkan semula. Dimanakah silapnya?

Inilah sebenarnya yang berlaku. Bagi kami, apa yang berlaku adalah kerana kita tidak cukup berBasmallah dalam apa saja tindak tanduk kita. YAB DS PM sama juga dengan DSAI suka-suka menetapkan sesuatu yang belum pasti. Yang satu menetapkan harga Minyak PASTI turun, yang satu lagi menetapkan PASTI TIDAK NAIK selepas pilihanraya. Kami sudah masak dengan janji-janji seperti ini, jika DSAI naik, perkara yang sama juga berkemungkinan akan berlaku. Kami berkerabat dan memerhatikan tingkah ahli politik sedemikian CUKUP LAMA, dengan kedua dua belah pihak.

Rasulullah sendiri tidak berani menetapkan harga pasaran, biarpun baginda berkuasa.

“Wahai Rasulullah, tentukanlah harga-harga untuk kita.” Jawab Nabi: “Sesungguhnya Allahlah yang menentukan harga, Maha Penggenggam, Maha Pembentang, Maha Pemberi rizki…” (Sunan Abu Dawud)

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda,
“Hanya Allahlah yang menaikkan dan menurunkan harga-harga” (Ibnu al-Qayyim, al-Thuruq al-Hakiimah).

Sistem Allah (bagi orang yang nak berbuat atas Nama Allah lah, jika buat atas nama sendiri kami no komen), sistem Basmallah menetapkan agar tiada sesiapa boleh dan berhak menetapkan harga pasaran untuk masa depan. Biar Allah melalui fenomena alami yang menetapkannya, iaitu melalui proses “supply and demand”. Ya mungkin praktik forward purchase, subsidi dan sebagainya membolehkan kita menetapkannya ke suatu tahap, namun ia harus beralaskan INSYAALLAH, jangan kita terlalu yakin. Itu yang kita selalu lupa.

Apa tidaknya hanya Allah yang tahu apa akan terjadi dengan situasi bekalan dan permintaan. Jika kita tetapkan harga minyak, tiba tiba berlaku peperangan yang kita tidak jangka dan bekalan kurang sedangkan permintaan bertambah untuk menggerakkan jentera yang memusnahkan manusia. Jika kita tetapkan harga ubat, tiba tiba datang wabak atau ledakkan senjata kimia yang menyebabkan permintaan bertambah, lebih teruk lagi jika kilang pembuat juga turut musnah. Kedua dua faktor penetap harga terjejas. Apa kuasa yang kita ada? Apa perlu kita buat?

Apabila kita sedar kita tersilap langkah, kita kena bayar kifarah. Kita kena merendah diri dan memohon hidayah, memohon ampun dari semua pihak yang terlibat. “Habluminallah wa habluminannas.” Mohon ampun dari Allah dan dari manusia yang teraniaya dengan kesilapan kita. Bukan main silap mata, nafi menafi. Bukan sekat bekalan sampai ke saat akhir sehingga rakyat mengamuk kerana minyak habis setelah beratur 2 jam.

BAGAIMANA NAK SEJUKKAN HATI?

Nah ini sebenarnya perkara yang paling penting.

a) Kos tambahan dan cara mengatasinya:

Ramai yang mencadangkan kurangkan perjalanan bermotor, banyakkan naik basikal, naik lembu, naik keldai, buat pangkin atas motor sampai boleh naik 10 orang, car pooling dll. Semua itu sekadar lawak yang semakin menyakitkian hati rakyat. Mari kita kira kos sebenar.

Kenaikan harga 1 liter = 20sen, setiap 5 Liter = RM1, jika penuh tangki 25 liter = RM5

Jika kita isi minyak penuh tangki 2x seminggu (bagi yang kuat berkenderaan), bermakna 8x sebulan kita isi full tank.

Ia jadi RM40 BELANJA TAMBAHAN sebulan. Atau RM480 setahun. Jika kita hanya bermotosikal yang hanya 5 liter muatan tangki pula (kira motor besar jugalah), kos tambahan kita hanya RM1. Anda boleh kira sendiri berapa kos tambahan setahun.

Hari ini kita marah kerajaan yang sudah beri kita BRIM RM500. Masih ada baki RM20. Dengarnya kerajaan nak tambah jadi RM1,000 lepas ni, bersyukurlah, Alhamdulillah. Jangan marah sampai tak mau pergi ambil duit BRIM. Itu hak anda. Itu duit Rakyat.

Kepada pihak-pihak berkenaan tebuslah kesilapan ini dengan sedekah,

“Sesungguhnya para pedagang akan dibangkitkan di hari kiamat dalam keadaan durhaka, kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat kebajikan dan bersedekah.” (HR. Tirmizi, Ibnu Majah)

“Wahai para pedagang, sesungguhnya dalam jual beli terdapat kelalaian dan sumpah, maka bersihkanlah dengan sedekah.” (Dari Qais bin Abi Gharzah, HR. Tirmizi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah)

Mari kita permudahkan urusan ini samada pihak rakyat yang menuntut atau pihak kerajaan yang memberi, agar aman dan tenang kita meneruskan kehidupan. Ingatlah bahawa ketegangan, emosional akan merosak akal dan iman,

“Semoga Allah merahmati seseorang yang mudah apabila menjual, membeli dan jika menuntut haknya.” (HR. Bukhari)

b) Jelaskan Impak Ekonomi Terhadap Rakyat Bawahan

Fenomena silap mata dan harapkan magik untuk mengatasi masalah juga merupakan satu masalah besar. Bukanlah rakyat Malaysia ini bebal sangat, Cuma kerajaan kurang sangat bersungguh-sungguh menjelaskan sesuatu sebelum bertindak. Sudah begitu, main silap mata pulak, semalam kata tak naik, hari ini naik. Sudah la tu sekat bekalan pulak…!

Yang banyak guna kenderaan berkuasa tinggi dan banyak pula berjalan adalah orang yang berduit. Yang tidak dapat BRIM (sepatutnya lah).

Rakyat miskin naik basikal atau motosikal saja. Insyaallah jika BRIM di naikkan mereka tidak banyak guna petrol sangat, jadi ringanlah sikit. Jika masih tak cukup juga barulah kita kurangkan perjalanan kita. Itu yang paling penting bagaimana kita belajar adjust cara hidup.

c) Belajar jadi pemaaf dan cari jalan untuk sampaikan mesej dengan baik

Kami juga dari golongan yang terlalu banyak guna bahan bakar kerana mengurus anak-anak asnaf dan yatim yang ramai. Ada 15 buah kenderaan berjalan setiap hari. Tapi kemarahan tidak membahagiakan, ia memakan hati dan membuatkan emosi mengawal akal. Kami tidak mahu jadi orang yang kurang akal dek tekanan emosi.

Dari RUJUKAN (Rooji’un) kepada aturan alam yang ditetapkan Allah seperti di atas, juga dari firman dan hadis, kami terima yang ALLAH menetapkan aturan alam, termasuklah kenaikan harga ini. Kami harap ada pihak kerajaan yang membaca mesej ini dan memberi peluang penangguhan sekurang-kurangnya sampai hujung tahun ini seperti yang dijanjikan sebelum pilihanraya. Jika tidak, bukan saja manusia yang benci, Allah lebih benci lagi. Dan jika Allah sudah benci, kemanakah lagi kita ingin mengadu? Atau kita memang tidak lagi pedulikan ALLAH?

Surah 61. Ash Shaff

2: Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Jika tidak mampu, berterus terang dan memohon maaflah kepada rakyat. Tambahlah segera BRIM, kerana kasihan si miskin, Abang beca, warga emas yang suka maupun terpaksa akan turut menanggung akibat kerana kenaikan harga barang lain. Jangan lupa juga kawal dengan perkiraan yang tepat kenaikan harga barangan lain yang sebenarnya duduk di tangan peniaga yang biasanya suka suka saja naikkan harga. Yang naik itu harga petrol barang pula di angkut dengan lori diesel.

Terlalu banyak jika nak ditulis semuanya, kami rasa cukuplah setakat ini sekadar tidak menghampakan mereka yang meminta pendapat. Kami tidak harapkan BRIM untuk cover kenaikan harga minyak. Kami Cuma belajar kurangkan perjalanan yang tidak berfaedah dan cari jalan untuk terus berpuasa. Para Nabi terdahulu pun telah dididik, siap untuk berpuasa akibat tiada bekalan (bukan sekadar naik harga) selama 7 tahun.

Mohon jangan pedulikan cetusan kami jika anda rasa tertekan dan sanggup naik minyak dengan cetusan ini. Kami tidak mahu kerana cetusan ini kasih sayang kita terjejas. Kami sangat sayangkan anda dan keluarga anda semua.

Cetusan tenang dari
WARGA PRIHATIN