Puisi Minyak Naik – Rintihan Rakyat Marhaen, DR MAZA
Bagi yang minat dan mampu memahami puisi, mungkin apa yang diluahkan oleh Dr MAZA ini boleh dikongsikan mesej yang tersirat. Sebarkan seluas mungkin untuk menyedarkan golongan angkasa di istana kayangan, yang masih lagi alpa dilamun kemewahan. Semuga usaha kita mampu menjentik hati mereka untuk sejenak menunduk melihat sengsara rakyat marhaen di bawah. Bukan sekadar ritual pilihanraya, malah tuntutan keprihatinan aktual sepanjang masa.
Bukan kerana kita BN atau PR atau tidak berparti sekalipun. Ini adalah naluri kehidupan. Kami terlalu sebak membaca puisi ini kerana ia amat terkait dengan usaha kami di RPWP. Ya, puisi ini amat terkait dengan golongan yang kami dampingi setiap hari. Hasrat untuk membela golongan yang kurang bernasib baik inilah yang membuatkan kami berhempas pulas setiap hari, menyiapkan sarana kompleks RPWP.
Alhamdulillah kami bersyukur, kerana dengan ini jugalah kami dapat merasai sentuhan puisi ini kerana kami lakukan dengan tangan-tangan dan poket rapuh kami sendiri. Jika segalanya datang bergolek dengan mudah, keperihatinan sebenar mungkin kurang dapat kami rasai.
Tidaklah kami lakukan usaha ini kerana anak-anak jagaan kami semata-mata, malah kami prihatin dengan nasib dan kesengsaraan yang di alami oleh umat sedunia, tidak kira bangsa dan agama, tidak kira dari mana. Islam itu agama syumul dan pemurah, Islam mampu merahmatkan alam secara fitrah.
Alhamdulillah, Itu jugalah yang membuatkan Non Muslim turut mengiktiraf dan ikut prihatin. Belum lagi kami berani paparkan pelbagai apresiasi dari mereka, yang masing-masing meminta agar dirahsia. Tetapi setakad ini ia cukup membuatkan kami bahagia, kami gembira kerana ALLAH mula dipuji, bukan saja oleh kita, malah oleh orang yang kita lihat selama ini menghina. Ya, secara semulajadinya Islam itu tinggi dan mulia.
InsyaAllah, jika Islam itu difahami dan dilaksana dengan sebenar-benarnya, bukan sekadar ceramah ceramah saja, itulah ‘offensive method’ yang sangat berkesan. Sesungguhnya ‘the best deffence is offense’. Kita tidak perlu ‘usik’ mereka yang membenci, menarik mereka yang lari, cuma perlu kita tunjukkan kebenaran dan kebaikan agama ini.
Agama itu terletak di hati, tidak akan mampu, malah tidak perlu kita berhempas pulas mencegah murtad dengan instrumen akta, penjara dalam rumah, sekat di mahkamah, sekat di pejabat pendaftaran dan lain-lain. Jika anak-anak kita benar-benar faham apa itu Islam dan segala kebaikkannya, bukan saja mereka tidak akan meninggalkan agama, malah akan turut membangun dan menggalangnya.
Kongsikanlah kepada yang lain agar kita sama-sama dapat merawat hati dan jiwa yang telah lama kering kontang dari hidayah sebenar. Sekali lagi, puisi ini bukan untuk kenaikan harga minyak tahun ini, namun ia terkait dan secara umum ingin kami ajak masyarakat melembutkan hati melaluinya.
Kita bebas untuk berlainan pendapat. Tolong jangan marah dan membenci kami maupun DrMAZA jika isi mesej ini dan puisi ini tidak bersesuaian dengan jiwa dan pendirian anda. Apa yang kami rasakan baik belum tentu baik pada anda.
>>>>>>>>>>PUISI BERMULA<<<<<<<<<<<
Kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari…
Kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita sedang menuju maju…
Kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara…
Kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja…
Kami ini orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta…
Kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta…
Jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu…
Tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?…
Apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
Poket papa semakin parah? Wang semakin lelah?
Jika semalam berlauk, hari ini cuma berkuah,
Kerana kerajaan kita sedang susah? Maka subsidi kita terpaksa diserah…
Jika semalam kau makan sepinggan, hari ini Cuma saparuh,
Kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh…
Apa yang dapat dibisik pada anak yang berkopiah ke madrasah?
Makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang…
Jika mereka bertanya siapa yang bawa lari?
Kepada siapa patut kami tuding jari?
Janganlah nanti mereka membenci pertiwi…
Akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
Atau kami jadi insan curang…
Kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
Tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang…
Dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
Pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami…
Pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati…
Kami yang semput bagai melukut di kota kedekut…
Kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa…
Kami bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja…
Pernahkah kau merasa? Rumah bocor yang lanjut usia…
Baju dan kasut anak yang koyak ?
Tinggal dalam rumah yang berasak-asak…?
Siang kami sebak, malam kami sesak…
Sedangkan kalian manusia angkasa…
Istana permata kalian bina, kereta berjuta semua kalian rasa…
Elaun kalian merata-rata, dari isteri sehingga seluruh keluarga…
Hidangan kalian istimewa, konon meraya kemakmuran negara…
Tapi kami masih di sini… Di teratak usang ini…
Dengan lauk semalam.. Dengan hidangan yang tidak bertalam…
Dengan rumah yang suram… Dengan wang yang hampir padam…
Tiada istana lawa…Tiada kereta berharga…
Tiada layanan diraja… Tiada baju bergaya…
Tiada kediaman menteri… tiada hidangan VIP …
Tiada persen di sana-sini… Tiada bahagian untuk anak dan bini…
Tiba-tiba kalian kata: Kamilah beban negara…
Aduhai celaka bahasa yang kalian guna…
Kalian yang belasah, Kami yang bersalah…
Kalian buat untung, Hutang kami tanggung…
Kalian mewah melimpah, Kami susah parah…
Kalian hilangkan wang, Poket kami yang terbang…
Kalian bina istana, Rumah kami jadi mangsa…
Kalian makan isi, Kami dijadikan abdi…
Lantas, kalian rampas lagi subsidi…
Ke mana wang itu pergi nanti?
Jika kalian berhati suci, Wajib mengganti buat kami…
Jika tidak pun buat gula yang konon merbahaya..,
Mengapa tidak beras diturun harga?
Jika tidak untuk minyak kereta…
Mengapa tambang tidak potong sahaja…
Tapi entah berapa kali janji…
Konon: Nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti…
Hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi…
Kami terus termanggu di sini…
Kalian juga yang nikmati… Kami hanya menggigit jari…
Kembalikanlah kepada kami harta negara…
Jangan hanya kalian sahaja yang merasa…
Dr MAZA , July 2010….