Lapuran Khas Majlis Rumah Terbuka 2013

 

00 compile smallLINANGAN AIR MATA MENYAMBUT KEHADIRAN & MENGIRINGI KEPULANGAN TAMU

Alhamdulillah, Disember 25, 2013 adalah satu hari bersejarah bagi RPWP kerana telah dihadiri oleh ribuan tetamu dalam “Majlis Rumah Terbuka 2013” sempena karnival Jualan Amal Warga Prihatin anjuran sebuah NGO. Apa tidaknya, kali terakhir kami buat rumah terbuka ialah pada 2010. Hampir kesemua tetamu yang berbelanja dan berniaga di tapak karnival singgah dan beramah mesra dengan kami di RPWP.

Ada yang tujuan utama datang kerana Karnival Jualan Amal lalu singgah ke rumah. Ada juga yang datang semata-mata untuk beramah mesra dalam “Majlis Rumah Terbuka” itu lalu singgah ke Karnival. Pelbagai bangsa, agama, darjat dan pangkat manusia dari serata pelusuk telah turut hadir dan bersilatulrahim. Paling jauh adalah serombongan 40 orang follower FB Page kami dari Brunei Darussalam. Terima kasih kami ucapkan.

Tidak dapat kami bayangkan betapa besarnya hati, betapa merasa bersyukurnya kami yang dihadiri kalian semua. Demikian juga dapat kami lihat linangan air mata sebahagian kalian yang keberatan saat berpisah meninggalkan kami untuk pulang ke tempat masing-masing. Inilah indahnya nilai sebuah persaudaraan melalui perkongsian maya. Kita semua saling berkasih sayang walaupun belum pernah berjumpa.

KEMATANGAN ANAK MENGURUSKAN MAJLIS

Lebih kami syukuri ialah ulasan jujur dari kebanyakan mereka yang hadir dan melakukan lawatan tapak sepanjang majlis itu. Ramai yang menyatakan kagum melihat kelancaran anak-anak mengendalikan majlis (floor).

Oleh kerana tidak cukup kaki tangan yang terpaksa menguruskan 2 event besar pada hari yang sama itu, maka anak-anak terpaksa mengendalikan hampir keseluruhan Majlis Rumah Terbuka kali ini. Persediaan tapak majlis, sajian, audio visual, juru acara, kerja menyambut tetamu dan lawatan tapak kepada para tetamu kebanyakannya di urus oleh anak-anak. Ini juga menjadi sebahagian dari latihan kemahiran hidup buat mereka sempena kem cuti sekolah ini.

Walaupun tidak diminta, namun ada tetamu yang menghulurkan sumbangan sebelum meninggalkan majlis. Setiap yang menghulurkan sedekah di majlis itu turut di akad dan didoakan sendiri oleh anak-anak dengan di’amin’kan oleh keseluruhan para tetamu yang hadir. Ia dikatakan sangat menyentuh hati dan berkesan sekali di sanubari tetamu.

Beberapa persembahan secara santai turut dilakukan oleh anak-anak sebagai menghibur dan meninggalkan sedikit kenangan manis kepada semua tetamu yang hadir.

PERSOALAN SEDEKAH DARI TETAMU

Ramai yang tidak habis-habis bertanya mengapa projek sebesar ini, yang dipandang berat dan sukar ini tidak memohon bantuan dari kerajaan. Mereka juga bertanya mengapa tiada nombor akaun bank di business card dan pamplet yang diedarkan. Ada juga yang bertanya mengapa tidak diedarkan tabung amal rumah ini di masjid dan surau, restoran dan stesyen minyak yang berdekatan? Bagaimana orang awam boleh tahu untuk turut sama menyumbang dan mendokong usaha ini?

Kami jelaskan kepada mereka sedekah yang murni dan berdasarkan Basmallah itu tidak perlu diminta. Kerana jika kita meminta-minta, kita akan jadi golongan yang di bawah dan terhina, lalu itu boleh merendahkan martabat bagi nilaian satu-satu kebenaran dalam carahidup Islam. Ia akan menjadi satu kehinaan jika kita meminta-minta sedekah dengan keterlaluan.

Ramai juga yang bertanya bila boleh mereka daftarkan anak-anak mereka bila mendengar tentang desas desus perancangan penubuhan Sekolah Intergrasi oleh RPWP. InsyaAllah kami sedang menulis buku yang bakal memuatkan segala hasil kajian tentang perbandingan sistem pendidikan beberapa negara terbaik dunia dan bagaimana sistem “Pendidikan Islam Sepanjang Hayat” mampu memenuhi kekurangan mereka. Ini kerana sesungguhnya Islam itu seharusnya jauh lebih baik dari mereka.

Wakil kami Tuan Haji Saiful Nang dan Dr Intan Salwani yang kebetulan baru pulang dari “Kembara Pengkajian Komparatif Sistem Pendidikan Jepun” sedang merumus segala maklumat untuk dimasukkan dalam buku khas hasil kajian dan penelitian tenang sistem pendidikan ini. Ia mungkin akan kami buka kepada umum, termasuk pihak Kementerian Pendidikan bersama WAKAF SEKOLAH sedikit masa lagi. Itulah sumbangan kecil kami kepada negara jika ia boleh memperbaiki kelemahan sistem sedia ada.

Apapun kami tetap akan melaksanakan sendiri hasil sistem yang kami kaji dan teliti itu bersama pihak-pihak lain yang berminat. Insyaallah kita akan sama-sama dapat membandingkan hasilnya. Seorang pegawai tinggi Kementerian Pendidikan telah menunjukkan minat untuk bekerjasama. Kami gembira dengan kejujuran wakil Kementerian Pendidikan itu kerana kami suka membangun ummah dengan sistem kerjasama (kooperatif) dan bukan saling bertanding dan berpolitik sesama sendiri (Kompetetif).

SIDDIQ, TASDIQ & SEDEKAH

Prinsip kami dalam soal sedekah telah kami jelaskan dalam artikel khas. Ia bermula dari kata pokok BENAR. Apabila manusia dapat melihat satu KEBENARAN, ia akan terpanggil untuk turut MEMBENARKAN DI HATI (TASDIQ) dan lambat laun akan mereka buktikan TASDIQ itu dengan sumbangan SEDEKAH tanpa kita memaksanya. Sila rujuk artikel berikut jika anda terlepas pandang,

http://prihatin.net.my/web2/2013/12/02/membongkar-skandal-sindiket-pengutip-sedekah-dan-derma/

http://prihatin.net.my/web2/2013/11/28/sains-sedekah-konflik-istilah-yang-menyusahkan-ibadah-ummah/

http://prihatin.net.my/web2/2013/12/02/sains-sedekah-2-kaitan-sedekah-dengan-zakat-dan-infaq/

Pendekatan sedekah seperti ini adalah jauh lebih murni dan suci. Ia jauh dari sebarang penyelewengan. Yang menerima tidak akan direndahkan, yang memberi juga tidak perlu mengungkit-ungkit kerana semua pihak berbuat kerana Alah, bukan dipaksa. Ini membuat kedua-dua pihak menjadi semakin dekat dengan Allah. Bahkan pemberi sedekah sendiri bakal merasakan kewajipan ia memberi itu atas perintah Allah terhadap amil (pelaksana), bukan kerana diminta dengan paksa.

Segalanya hanya memerlukan satu keikhlasan, iaitu kerjabuat yang tulus dan berhabis-habisan tanpa memikirkan balasan. Itulah satu penyerahan dalam melaksanakan tuntutan tuhan. Kerja amal sebegitu akan menghasilkan kesan yang sangat jelas dan nyata, samada dari segi rohani maupun jasmaninya. BUKTI penghasilan dari kerja amal ini dipanggil BAINAT dari satu AMAL SOLEH, iaitu amal yang membina pembaharuan (ISLAH) yang berterusan, hari demi hari.

Ini dijelaskan Allah dalam surah 98, al-Bayyinah di mana hanya bukti keberkesanan dari perlaksanaan sistem Islam itu yang bakal menarik ramai golongan manusia, bukan teori atau doktrinnya. Maksud itu Allah jelaskan dalam ayat pertama surah tersebut, “Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan sebelum datang kepada mereka BUKTI (BAINAT) yang nyata”.

Itu nasihat Allah dan harus dijadikan pedoman dalam usaha mengatur semula masyarakat di alam ini. buktinya semakin hari semakin ramai orang bukan Islam yang tertarik dan merujuk segala macam persoalan tentang parenting dan pendidikan anak-anak kepada kami. Jangan tersentap jika kami katakan ada di kalangan mereka yang sampai ke peringkat memberikan infaq bulanan demi menghargai ilmu dan pengalaman yang mereka dapati dari RPWP, ALHAMDULILLAH.

KESIMPULANNYA,

tugas kami hanya melakukan atas nama Allah apa sahaja yang termampu, sehabis mungkin (KHOLAS) untuk menterjemahkan kata buat IKHLAS sehingga terzahir bukti (BAINAT) dari hasil usaha itu. Sesungguhnya jika kita benar-benar letakkan nama, maksud, kaedah dan hidayah Allah sebagai landasan, hasilnya akan mampu menampakkan sifat ar-Rahman Allah itu.

Buktinya ialah bainat itu akan mampu memberikan rahmat kepada manusia iaitu berupa petunjuk dan hidayah mengharungi cabaran hidup. Dari situ akan terbit aura kasih sayang sesama kita atas nama Allah. Lalu ia sama-sama membawa kita yang berjaya memperlihatkan hasil baik melalui budi Allah yang memberikan hidayah itu, juga manusia yang melihat bukti itu kepada kasih sayang (ar-Rahiim) Allah. Itulah hakikat Bismillah yang menghasilkan Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

http://prihatin.net.my/web2/2013/08/13/sains-di-sebalik-bismillah/

Apabila aura kasih sayang itu terbit dari sistem Allah, atas Nama Allah, hasil melaksanakan hidayah Allah, maka manusia akan menjadi sangat bermurah hati untuk membenarkannya dengan sedekah. Hari demi hari ada saja yang berminat untuk mempelajari teknik dan tektik kehidupan itu. Pencarian ilmu dan hidayah itulah yang membawa manusia mendekati Allah dengan penuh rasa kasih dan tunduk.

Jika ada yang berkemampuan dan menghulurkan SEDEKAH dari semua pembuktian (TABAYYUN) itu, maka sedekah cara ini amat murni dan tinggi nilainya. Jauh sekali dari sebarang penyelewengan yang menyakitkan hati kerana pemberi melihat sendiri bukti keperluan sedekahnya. Ia bakal menjadi jihad harta yang hujungnya akan dapat membantu pembangunan ummah secara lurus dan murni. Jihad harta inilah yang bakal membersihkan diri dan keluarga pemberi, bahkan masyarakat amnya.

ALHAMDULILLAH

Ramai juga yang mengucapkan kesyukuran tidak terhingga kerana dipertemukan Allah, berpeluang hadir dan berkenal mesra berkongsi pengalaman dengan RPWP. Segala puji dari apa saja kebaikan dari usaha kami adalah milik Allah yang telah mengurniakan hidayah dan petunjukNya untuk membimbing kami. Apa sahaja kekurangan dan kesilapan samada penjelasan kata-kata maupun dari segi perlakuan adalah atas kelemahan diri kami sendiri yang selalu sahaja lalai dan lupa.

Permintaan kalian untuk kami anjurkan majlis ini lebih kerap lagi, khasnya setiap musim cuti sekolah akan kami cuba pertimbangkan semula. Memanglah ia banyak memakan masa dan belanja di pihak kami, sedangkan kami masih dalam kesibukan bekerja siang dan malam membina kompleks yang belum siap ini. Namun kami juga dapat merasakan keperluan umum kerana majlis sebegini dapat membuka peluang lebih luas kepada mereka yang merasa malu untuk datang sendiri.

Doa kami agar kalian tidak hanya datang semasa majlis seperti ini, kerana masa dan peluang berkongsi pengalaman amat terbatas sekali dengan kehadiran tetamu yang ramai. Teruskanlah hadir di hari lain selepas perkenalan ini kerana rumah kami sentiasa terbuka sepanjang masa, tidak hanya dalam majlis rumah terbuka sahaja. Insyaallah kita akan ada banyak masa untuk perbincangan yang terancang.

Akhir kalam, Doakan kami sihat dan tabah mengharungi dugaan apa sahaja dalam mengendali amanah menjaga anak-anak dan asnaf yang ada pada kami. Doakan juga agar kami waras dan dilimpahi hidayah untuk terus mengkaji, meneliti dan berkongsi apa sahaja tips maklumat untuk kebaikan kita bersama.

Perkongsian santai penuh kesyukuran,
WARGA PRIHATIN