Kematian Ketua PenguatKuasa Jaip bermotif bunuh

bunuh maipKematian Ketua PenguatKuasa Jaip bermotif bunuh

10 November 2013 – sinar harian

KUANTAN – Polis mengesahkan kematian Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Raffli Ab Malik, yang ditembak di rumahnya tengah hari tadi, bermotifkan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang,  Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, semasa kejadian pada 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berumur 49 tahun sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya di ruang tamu.

Beliau berkata sebelum itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an yang berjubah hitam dan berkopiah putih, yang tiba di rumah Mohd Raffli dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih, telah memanggil mangsa keluar dari rumahnya.

“Semasa keluar dari rumahnya, seorang lagi suspek berumur dalam lingkungan 30an meluru dari tempat duduk belakang kereta dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya,” kata beliau kepada pemberita di rumah mangsa di Indera Mahkota di sini, hari ini.

Zakaria berkata dua daripada tiga das tembakan itu mengenai dada Mohd Raffli manakala satu lagi tembakan tersasar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

“Polis percaya suspek yang menaiki kereta itu telah berlegar-legar di kawasan rumah mangsa berdasarkan faktor suspek hanya mengambil masa seminit untuk membunuh mangsa,” katanya.

Zakaria berkata, polis menyiasat kes itu dari pelbagai sudut termasuk motif lain. – Bernama

 

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP maut ditembak depan rumah

2013/11/10 – Metro

Kuantan: Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek, 47, maut ditembak tiga lelaki di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata mangsa dipercayai ditembak tiga das dari jarak dekat oleh sekumpulan lelaki yang datang menaiki kereta Wira Aeroback.

Mangsa mati di tempat kejadian dan seorang daripada penjenayah dikatakan memakai jubah hitam.

 

Ustaz JAIP Mati Ditembak

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa yang berusia 49 tahun sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan anaknya.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih berhenti di hadapan rumahnya sebelum seorang lelaki yang memakai jubah berwarna hitam serta berkopiah putih berusia dalam lingkungan 50-an keluar dan memanggilnya.

“Sebaik mangsa menghampiri suspek, seorang lagi suspek berusia 30-an yang berada di bahagian tempat duduk belakang keluar lalu melepaskan tiga das tembakan dan terus melarikan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Menurutnya, dua das tembakan yang dilepaskan mengenai bahagian dada kanan mangsa menyebabkannya mati di tempat kejadian.

Zakaria berkata pihaknya percaya kejadian itu mempunyai motif kerana ia berlaku dalam masa yang singkat iaitu kurang dari satu minit.

“Suspek dipercayai berlegar-legar di kawasan perumahan mangsa beberapa kali sebelum bertindak berhenti di hadapan rumah mangsa.

“Bagaimanapun kita masih lagi menyiasat motif kejadian sama ada ia berkaitan dengan tugas mangsa sebagai ketua penguatkuasa,” katanya.

Siasatan dilakukan di bawak Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.