Home Sweet Home – Rindu Pulang

00 rindu pulang
Home Sweet HomeSelamat pulang sahabat, 
selamat kembali saudara, 
selamat berbakti menyambung usaha. 

Kami nantikan buahtangan yang tidak berbungkus… 
buah tangan yang terus dan tulus… 
dari rakaman mata dan telinga… 
dari pertimbangan hati dan suara.

Alhamdulillah Tuan Haji Saiful Nang selamat tiba, sihat dan buntat…

RINDU PULANGSatu purnama berkelana
Tinggalkan kampung, tinggalkan keluarga
Tinggalkan sahabat, tinggalkan niaga
Tinggalkan mesyuarat, tinggalkan negara
Misi Haji untuk dilaksana

Rindu pada orang kampung
Saban hari bergotong royong
Menyiap sarana masih tak rampung

Melorong anak bangsa menjadi manusia
Mengorbankan diri membina syurga
Menahan perit meniti neraka
Mereka inilah warga-warga
Memartabat quran menjadi laksana
Mengambil sunnah sebagai neraca
Membuang haiwan dalam diri manusia

Rumah Pengasih Warga Prihatin kampungku
Warga didalamnya sahabatku
Dipan-dipan itu makananku
Syuro itu darah dagingku
Jemaah itulah kekuatanku
Kepada situ rindu terbesarku

Rindu pada isteri dan anak
Rindu pada mertua dan juga keluarga bapak
Biasa ditinggal tak pernah membentak
Tidak pula pernah meminta-minta
Ole-ole dari jauh tak pernah didamba
Yang paling penting pulangnya jiwa

Untuk isteriku dia juga azwaja
Kuat benar jiwa wanita
Jika rindu meruntun jiwa
Hanya whatsapp laluan tanya
Jika hujan turun di jiwa
Kudendang kisah Siti Hajar pemujuk rasa
Ditinggal Baginda Ibrahim bertahun lama
Di tengah padang pasir tandus tiada manusia
Hingga terbit zamzam membuka kota
Dari hentak kaki Ismail hingga tergoncangnya dunia
Dari hati korina yang sentiasa redha
Walaupun perlu ditinggal lama
Titah Allah dijadikan utama

Agar isteriku berhati waja
Di balik budi selembut sutera

Perjalanan pulang bermula kini
Di Kota Jeddah aku berdiri

Meninggalkan Mekkah dan Madinah
Menuju untuk pulang ke rumah
Angin hangat berpasir
Menerjah wajah yang pernah salah
Kembali ke Tanah Air melaksana islah
Walaupun nafas sudah semakin lelah
Kaki digagah terus melangkah
Membuka semula lembaran wahyu & sirah
Menyimpan azam mengatur siasah
Agar warga kembali ke sunnah
Supaya negara merujuk surah

Kota Suci yang sarat pelajaran
Hanya buka hati, buka mata dan pendengaran
Nescaya yang melintas menjadi pedoman
Dibawa pulang sebagai ganjaran

Aku rindu untuk pulang
Aku rindu kampung halaman
Aku rindu untuk pulang kembali
Setelah islah mampu dipenuhi
Juga sebelum dipulangkan-Nya nanti.

SAIFUL NANG
Jeddah Airport

* Luah terus dari hati dan ditaip cepat-cepat dan tak sempat nak edit-edit. Kalau faham sila LIKE, kalau tak faham sila LIKE (juga)