Gadis 16 thn Mati terjatuh sebelum jumpa kekasih

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL dan KHAIRIYAH HANAFI
jenayah@kosmo.com.my  

KUALA LUMPUR – 23 November 2012

Hajat seorang gadis keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga bagi bertemu kekasihnya mengundang padah apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen kuarters kerajaan di Desa Pandan di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Siti Khadijah Muhammad, 16, mengurung diri di dalam bilik di rumahnya selepas dipercayai memberontak kerana dihalang keluarga untuk bertemu kekasihnya.

Bagaimanapun, selepas terdesak untuk berjumpa kekasihnya, mangsa cuba keluar dari tingkap di bilik rumahnya.

Khadijah dikatakan menyambung lima helai selendang yang setiap satu sepanjang kira-kira satu meter setengah dengan niat dapat sampai ke bawah dan berjumpa kekasihnya.

Semasa kejadian, ibu gadis itu dan empat adik mangsa berada di rumah sementara bapa mangsa berada di pejabat.

Bagaimanapun, hajat Khadijah bertemu buah hatinya tidak kesampaian apabila kain selendang yang disambungnya itu terputus sebaik mangsa bergantung pada kain tersebut.

Mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh penduduk di apartmen sembilan tingkat itu.

=========================================

Seorang Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki yang mendakwa kekasih Siti Khadijah Muhammad, 16, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah apartmen di Desa Pandan di sini tidak dapat menerima hakikat dia sudah kehilangan gadis itu.

Menerusi laman Twitter miliknya, remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Farid itu melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat berjumpa mangsa sebelum gadis itu meninggal dunia.

Remaja lelaki yang tinggal di Damansara Damai, Petaling Jaya itu turut mendakwa, ibu dan seorang adik perempuan mangsa menjadi punca gadis itu nekad keluar daripada rumah melalui tingkap.

Antara petikan yang ditulis dalam Twitter remaja lelaki itu: “Aku hidup sekarang sampai mati aku takkan maafkan korang berdua ****. Kalau korang bagi dia keluar aku rasa dia masih ada lagi.”

Selepas mendapat maklumat kekasihnya mati terjatuh daripada apartmen, remaja lelaki itu terus pergi Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur untuk menatap wajah kekasihnya itu.

Mengikut Twitter itu lagi, remaja berkenaan meluahkan, air matanya tidak berhenti mengalir selepas menatap wajah gadis pujaannya yang sudah tidak bernyawa di hospital.

Pada sebelah petang, remaja lelaki itu mengemas kini Twitter miliknya lagi dengan memberitahu, dia yang tiada wang memberanikan diri menaiki teksi ke rumah arwah kekasihnya untuk sama-sama membaca surah Yasin.

Sampai di apartmen tersebut, remaja itu memberitahu, dia bernasib baik kerana keluarga kekasihnya membayar wang tambang teksi.

Kemas kini pada pukul 8.30 malam tadi pula menyebut, dia berasa bersalah kerana kematian Khadijah dianggap mempunyai kaitan dengan dirinya.

“Aku rasa serba salahlah, dia meninggal sebab aku. Dia sanggup buat macam itu semata-mata nak jumpa dengan aku.”

Tinjauan Kosmo! di akaun Twitter remaja itu pada pukul 8.47 malam tadi mendapati akaun tersebut dibanjiri ucapan takziah pengikutnya yang berjumlah 3,390 orang yang rata-ratanya melahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan remaja lelaki itu.

Remaja itu bagaimanapun gagal dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan komen mengenai kejadian itu.

Sementara itu, laman Facebook dan Twitter milik Khadijah sudah ditutup oleh keluarga mangsa.