DOA MARHAEN BUAT NEGARAWAN

Seluruh Warga Prihatin merasa amat terkesan dengan pertemuan dan perbincangan hati ke hati dengan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di pejabatnya baru-baru ini. Sebagai rakyat biasa yang terpinggir di hujung desa, pastinya jemputan untuk pertemuan khusus itu terlalu bernilai buat kami.

Menilai hatibudi YAB DS Najib dalam perbincangan tertutup itu, dapat kami lihat kelembutan hati dan keprihatinan beliau terhadap rakyat, khususnya anak-anak yatim. Cara beliau memanggil dan mengusap kepala anakanda Ali Imran, anak kecil yang bersama kami dengan ‘penuh kasih sayang’ itu amat menyejukkan hati kami.

Di samping sumbangan tunai RM20,000 itu, YAB PM asyik sahaja bertanya apa lagi bantuan yang kami perlu dalam pertemuan itu. Nak diikutkan memang terlalu banyak lagi keperluan kami dan RM20,000 itupun tidak cukup untuk menampung perbelanjaan setengah bulan operasi RPWP. Malangnya tidak tergamak kami menyuarakan suatu apa kerana memang prinsip kami untuk tidak meminta-minta. Dapat peluang bertentang mata dan berbicara hati ke hati pun sudah cukup bahagia bagi kami. Sesungguhnya kebaikan peribadi beliau terhadap anak yatim itu adalah ‘antara ciri utama’ yang boleh kita gunakan dalam menilai baik buruk seseorang insan.

Sumbangan beliau dalam pertemuan khusus itu tidak mendapat liputan media. Itu mungkin baik bagi pihak pemberi agar ia tidak kelihatan seperti tidak ikhlas apabila menyebut-nyebutnya. Namun kami selaku penerima merasa bertanggungjawab untuk memaklumkannya kepada umum. Bagi kami tiada gunanya mewar-warkan kebaikan insan hanya setelah matinya. Semuga dengan ini pelbagai tohmahan dan kutukan terhadap beliau dari mereka yang membenci boleh jadi reda sedikit. Dengan itu bolehlah beliau menjalankan tugas memimpin negara dengan lebih tenang.

PM PERLU SOKONGAN PADU TANPA KEPENTINGAN ATAU PREJUDIS

Kita baru sahaja melepasi fasa bahang pilihanraya. Walaupun kemenangan BN agak tipis, namun itulah hakikat yang harus kita terima. Kami berdoa dan menyeru agar segala kekeruhan minda dan bicara lisan semasa pilihanraya dapat dihentikan segera dan para pemimpin kembali menjalankan tugas mengurus negara.

Kepada YAB PM, kami berdoa agar tabah mengharungi apa sahaja cabaran dalam mengurus negara dengan kemenangan yang tipis ini. Perbaikilah apa sahaja kelemahan pihak kerajaan sebelum ini yang telah diutarakan oleh pihak pembangkang. Bersikap adil dan terbukalah kepada semua. Ingatlah bahawa YAB Datuk Seri adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, bukan Perdana Menteri UMNO atau BN sahaja.

Ambillah pelajaran dari krisis Tun Mahathir dengan Pak Lah.

Selaku rakyat biasa, perbalahan pemimpin tertinggi adalah amat mendukacitakan kami. Tiada yang baharu tanpa ada yang lama. Hargailah jasa-jasa Tun Mahathir yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara ini sehingga terkenal di seluruh dunia. Ambillah manfaat dari kekentalan semangat dan bernasnya idea Tun.

Jika boleh, ingin kami sarankan agar diwujudkan satu jawatan khusus yang bertaraf Menteri untuk Tun Mahathir sepertimana Lee Kuan Yew di Singapura. Tun boleh dilantik sebagai penasihat rasmi kepada Datuk Seri bagi menghargai jasa dan kepakarannya. Semuga Tun Mahathir sudi menerima dan terus menyumbangkan khidmatnya selagi ada hayat beliau.

Untuk Tun Dr Mahathir pula kami doakan agar terus sihat dan cergas serta dipanjangkan usia. Kami amat menyayangi Tun dan menghargai segala jasa Tun. Sedaya upaya elakkanlah sebarang krisis dengan YAB Perdana Menteri sepertimana yang telah berlaku antara Tun dengan Pak Lah.

Bantulah YAB PM kita dengan apa sahaja pandangan dan idea bernas yang Tun ada. Namun pada masa yang sama, berilah juga Datuk Seri Najib kebebasan untuk mencuba kemampuannya menerajui negara ini. Jika ada sebarang perselisihan, cubalah selesaikan secara tertutup. Sesungguhnya banyak musuh negara sedang menanti perpecahan dan perselisihan yang lebih parah di kalangan kita.

KESIMPULAN

Kita semua sebenarnya telah terperangkap dengan Sistem Demokrasi tajaan Barat yang berfalsafahkan Dajjal. Kami telah mengkaji sirah dan sunnah dalam hal ini hingga ke akar umbi. Pemilihan pemimpin yang dibuat melalui sistem demokrasilah yang menjadikan kita beradu domba dan saling bermusuhan. Islam menganjurkan pemimpin dilantik oleh Majlis Syuro Ulamak, lantikan dari atas ke bawah dan bukan sebaliknya. Majlis Ulamak seharusnya kenal dengan pasti pemimpin yang berwibawa dan merekalah yang akan mampu menasihati pemimpin serta menegur khilafnya.

Kami masih berdoa dan akan terus berusaha agar satu hari nanti akan berlaku juga ‘penyatuan semula’ antara watan negara yang telah berpecah belah ini dengan satu hala tuju baru yang diperbaharui agar lebih murni. Janganlah takut membuat islah (pembaikan). Yang penting ia harus ikhlas dan dilakukan atas nama Allah.

Sistem demokrasi hanya memberi kebebasan rakyat yang ramai untuk memilih. Rakyat mungkin tidak mengenali calun yang dipilih dengan tepa terutama bagi calun yang pandai bermuka-muka. Berbagai-bagai kepincangan berlaku setiap kali pemilihan dibuat. Dalam berkempen banyak fitnah serta aib dibuka. Banyak masa, tenaga dan dana diguna dengan sia-sia. Fitnah menfitnah, kutuk mengutuk, ejek mengejek bahkan rasuah politik juga berleluasa. Oleh itu, yang bertanding dan yang memilih amat sukar dikenalpasti tahap keikhlasannya.

Selepas dipilih, maka pemimpin yang tadinya lemah lembut dan merendah diri seperti tempoyak yang dicicah timun akan bertukar menjadi diktator yang amat keras seperti durian. Segala-galanya akan diputuskan mengikut kehendak nafsu dengan segala kuasa yang ada. Pandangan rakyat dan pemimpin masyarakat sering diabaikan begitu sahaja.

Mari kita ubah budaya dan fenomena ini. Dalam keadaan kemenangan yang tipis ini, berilah peluang kepada rakyat dan pembangkang untuk turut membantu. Janganlah kita putuskan semua perkara sendiri-sendiri. Jika kita beri peluang kepada semua orang untuk memberi pendapat dan menegur dengan berhemah, maka kita akan jadi lebih kuat. Samada baik atau buruk hasil perlaksanaannya nanti, tentu semua pihak akan sama-sama bertanggungjawab dan berpuas hati.

Akhirnya kami juga menyeru agar pemimpin dan pengikut parti pembangkang atau mana-mana pihak yang kurang suka kepada kerajaan sekarang agar lebih bersikap terbuka dan berlapang dada. Boleh sahaja menegur kelemahan atau keburukan tetapi janganlah sampai menghina. Boleh sahaja memberikan saran, namun harus ada tolak ansur. Janganlah yang baik juga kesemuanya dibangkang.

Semuga doa kami diterima Allah dan seruan kami diterima segenap lapisan manusia di bumi tanah air tercinta ini.

Doa dan Seruan marhaen,

WARGA PRIHATIN