Analogi Air Hilir dan Hulu Sungai : Fenomena “Memuja” Para Alimin.

PERINGATAN :

PEMBACAAN MUTASYABIHAT YANG PERLUKAN PEMIKIRAN KRITIS UNTUK FAHAMI. INI SEBUAH DISKUSI MAKA BERBINCANGLAH DALAM SUASANA HARMONI SEKALIPUN JIKA PENDAPAT ANDA BERLAINAN.


Dari langit hanya air hujan yang tulin. Setelah melalui darat, dari kawasan bukit turun ke lembah, mengalir sepanjang sungai, mengumpul kotoran kampung dan bandar, ia bertambah rasa dan bila tiba di laut, air yang tulin itu dah bercampur garam, mineral tidak dilupa juga pelbagai, kencing dan sampah sarap.

Sama juga, ilmu yang Allah turunkan kepada kita adalah tulin dari Al-Quran dan bila sampai kepada Nabi & Rasul dialirkan terus dari sungai kecil di hulu sungai hingga kepada zaman kita sudah jadi Sungai Besar di hilir dan tak kurang ada yang sampai ke laut yang masin. Kiranya air laut itu langsung tidak boleh diminum juga tidak boleh nak basuh kereta pun (nanti berkarat kereta kerana kandungan Natrium Chloride). Jika nak mandi pun wajib bilas dengan air tawar selepas mandi. Begitu jugalah bandingan ilmu dari lautan manusia ini, harus di rujuk kepada air yang tulin sebelum digunapakai..

Adakala, kita keliru dengan percampur adukan air di Hilir Sungai, lalu kita ke hulu sungai untuk mencari ketenangan di celah legeh & pokok yang nyaman. Kadangkala banyak sampah dan bangkai di hilir sedangkan kita dambakan air bersih yang tulin seperti bersihnya air di hulu sungai lalu kitapun menelusuri sungai besar sampailah ke hulunya bagi mencari sumber asal yang masih bersih dalam hutan yang penuh pokok-pokok menyejukkan.

Kini, pelbagai ilmu terbitan yang digarap dari pemahaman orang lain yang membacakan Al-Quran & Sunnah dengan stigma bahawa “untuk baca Al-Quran & Sunnah perlukan ketinggian ilmu dan guru-guru dari golongan ulama yang muktabar”. Belajar tanpa guru maka gurunya ialah Syaitan adalah satu ungkapan popular tetapi tidak ada hadithnya juga tiada pula nas dari kitabullah sendiri yang membenarkan ungkapan itu. Ia hanya satu stigma yang ditanamkan oleh Snauck Hurgronje seorang mubaligh Kristian yang masuk Islam untuk menghancurkan Islam pada kurun ke 19.

Beliau menguasai Al-Quran tatkala ramai orang Islam sendiri pun tidak menguasainya. Lalu dengan kewarakannya, dengan serban dan jubahnya, beliau dipuja sehingga dilantik menjadi kiyai dan mufti Acheh yang sangat dihormati di Nusantara dengan nama Kiai Haji Abdul Ghafur. Selesai missi teologi itu, setelah Belanda berjaya menawan Indonesia, beliau kembali ke agama asal beliau.

Ungkapan “Belajar mesti BERGURU” itu adalah dari ungkapan Imam Syafie yaitu “Kebodohan paling besar adalah mengambil helai-helaian sebagai Sheikh” dan “sesiapa yang tafaqquh dari perut kitab, maka dia telah kehilangan hukum-hakam” lalu Snouck menggunakan 2 ungkapan itu untuk mewajibkan kepercayaan besar terhadap guru sehingga melarang pembacaan SECARA TERUS kepada Al-Quran & Sunnah tanpa pantauan beliau sendiri.

Kesudahannya, penipuan tidak mampu dikesan. Apabila manusia di HILIR sungai tidak pernah melihat bagaimana bersihnya hulu sungai, pasti mereka akan merasakan bahawa bangkai dan sampah yang datang dalam aliran hilir juga adalah satu perkara NORMAL.

Hasilnya, sekarang ini juga kita lihat bagaimana golongan-golongan alimin mula bantah membantah antara satu sama lain walaupun mereka semua dalam satu aliran yang sama jika dilurut sampai ke hulu.

Dalam surah An-nisa ayat 59, Allah menyatakan tingkatan ketaatan. Untuk taat kepada Allah kena taat kepada rasul dan untuk taat kepada rasul kena taat kepada ulilamri. Jika ada perselisihan, kembalikan kepada ALLAH & RASUL (Kitabullah & Sunnah Rasul). Allah sendiri turunkan ayat ini pasti Allah dah tahu pada akhir zaman orang akan memisahkan hulu sungai dengan hilir sungai agar kekotoran dilihat sebagai kehidupan. Maka Islam akan jadi lemah. Seharusnya kita mampu mencari jawapan kepada segala perselisihan itu dengan merujuk kepada sumber asli air (ilmu) itu dari bahagian hulu lagi.

Islam asalnya hanya ada 2 pusaka besar iaitu KITABULLAH & SUNNAH RASUL. Dalam khutbah wida’, nabi Muhammad SAW sendiri bersabda meninggalkan keduanya kepada UMAT ISLAM (bukannya secara spesifik nabi katakan kepada golongan guru). Sebab itu juga, aqidah pada akhir zaman mudah disesatkan hanya dengan perwatakan menarik dan sedikit hafazan yang lancar juga mahraj Arab yang baik seorang `guru’. Sedihnya ramai di kalangan umat yang tanpa sedar mengagung-agungkan Guru, alimin keterlaluan, kelihatan seolah-olah MENYEMBAH mereka melebihi sembahan terhadap Allah s.w.t. Nabi sendiri berulangkali menegaskan, jangan memuja diri Baginda berlebihan, sembahlah, agungkanlah setinggi-tingginya Allah saja.

Isu sembahan ini ditegaskan Allah dalam surah 9. At Taubah 31. “Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada SEMBAHAN selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.”

Fenomena inilah yang telah menyebabkan kesucian dan keredoaan Allah terhadap umat Isa ditarik balik. Inilah juga hakikat yang berlaku sekarang, yang mana minda umat perlu di transformasi semula, perlu di instalasi semula dengan air yang suci bersih lagi segar.

Jangan Guna Akal Untuk Menilai Ilmu Islam ?

Fenomena ini tersangat songsang dan melemahkan. Allah sendiri dalam terlalu banyak firmannya jelas tegas memerintahkan kita gunakan akal, bahkan memurkai orang yang tidak gunakan akal,

Antaranya dalam surah 10. Yunus 100.
Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.

Surah 5. Al Maa’idah 100.
Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan.”

Jika kita guna akal, membaca surah 9 ayat 31 ada kisah besar sebagai pelajaran. Sesuai dengan firman Allah dalam surah 12. Yusuf 111.
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.

Jika masing-masing individu alimin yang berpecah belah, dan bukannya ulamak yang bersatu telah menjadi kiblat kita, maka guna akal waras, kembali kepada fitrah Allah, panjatlah bukit dan gunung mencari air yang segar.

Di Surah 2. Al Baqarah 142. Allah berfirman
“Orang-orang yang kurang akalnya di antara manusia akan berkata: “Apakah yang memalingkan mereka dari kiblatnya yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Kepunyaan Allah-lah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus”.

Jadi guna akal sepenuhnya, perhatikan alam ini bagaimana Allah selitkan ilmunya untuk pedoman kehidupan kita. Pujilah Allah kerana menampakkan kepada kita ilmunya melalui cara alam ini di atur (Alhamdulillahirobbil Aalamiin). Jadikan ia hidayah kaedah yang harus di amal istiqomahkan (Ihdinassirootolmustaqiim) agar dapat merasa nikmat sebagaimana mereka yang pernah merasainya.

Surah 2. Al Baqarah 269.
“Allah menganugerahkan al hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran.”

Ilmu besar Allah yang penuh dengan strategi kehidupan terselit dalam ayat ayat mutasyabihat yang mengaitkan fitrah alam. Berjalan dan perhatikanlah alam ini untuk menggali ilmu Allah dengan akal yang tajam.

Sesuai dengan firman Allah dalam surah 3. Ali ‘Imran ayat 7.
“ … Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami.” Dan tidak dapat mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang berakal. “

Ia berbalik kepada kisah Snouck yang kemudiannya berjaya melemahkan Islam dengan memisahkan SAINS dari ISLAM. Kononnya, kerja ditempat kerja, ibadat di tempat ibadat sedangkan pada zaman nabi dan para sahabat dahulu, kejuruteraan & perniagaan juga adalah IBADAT. Kenapa ramai percaya? Kerana kita ditegah menelek semula lembaran ASAL (air sungai di hulu).

Harus ada kekuatan untuk melawan fenomena songsang ini, kembalilah merenung kaedah menuntut ilmu yang Allah ajarkan.

Jadi, jika hari ini kita pening dengan segala sampah sarap, bangkai yang bercampur dengan air yang sebelumnya bersih…, singkap-singkap kembali menelusuri sungai besar sampai ke hulu yang bersih. Itu juga yang Allah sarankan dalam ayat 59 surah An-Nisa yang disebutkan di atas.

Jangan sampai dengan kemalasan mengkaji, kita menerima segala-galanya tanpa usul periksa menyebabkan kita jadi orang yang selesa makan sampah & bangkai juga meminum air kotor tercemar dengan pelbagai kencing dan najis manusia sepanjang sungai dan lembah hanya kerana kita tak pernah mahu lihat perbandingan air yang bersih di hulu sungai itu sendiri.

Renungkan dengan baik, fikirkan dengan baik dan sekiranya anda ada berlainan pendapat, kami jemput anda menyatakannya di sini dan diharap anda sertakan sekali dalil-dalil dari kitab Allah & Sunnah Rasul dan bukannya ungkapan alimin atau petikan video-video para alimin. Berbincang dengan HIKMAH kerana itu yang Allah ajarkan di dalam Al-Quran secara jelas dan terang.

Logiknya, jika semua ilmu tok tok guru itu tepat belaka, jika semua GURU memahami dan melaksanakan aplikasi ilmu Allah yang benar dengan tepat dan kaffah, Muslim akan jadi semakin soleh, sentiasa Islah dan bertambah baik. Adakah ini berlaku ataupun sebaliknya..? “Tidak Islam orang yang hari ini sama dengan semalam” (Hadis), apatah lagi yang semakin buruk dari semalam.! Adakah Islam menjadi semakin baik berbanding dengan dahulu? Semakin bersatu? Semakin berakhlak? Semakin dihurmati?

Surah 5. Al Maa’idah 68.
Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikitpun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil, dan Al Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu.” Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan dari mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.

Surah 62. Al Jumu’ah 5.
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. “

Subhanallah. Sama sama kita fikirkan.

Selamat berdiskusi, salam Jumaat

Lontaran fikir
WARGA PRIHATIN