Berang anak gadis ponteng sekolah, lakukan seks
AMPANG: Berang anak perempuannya bercinta dengan anak penjual kuih hingga sanggup ponteng sekolah dan terlanjur, seorang wanita membuat laporan polis, kelmarin.
Malah, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai memukul dan menampar anak gadisnya itu selepas anaknya mengakui melakukan hubungan seks dan merayu supaya tidak memisahkan hubungan cinta mereka.
Difahamkan, hubungan cinta mereka diketahui ibunya selepas seorang guru menghubungi wanita itu memaklumkan anak gadisnya tidak hadir ke sekolah.
Menurut sumber, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah, di sini ponteng sekolah dan mengikut teman lelakinya yang juga pelajar tingkatan empat pulang ke rumahnya di Taman Muda, di sini.
“Akibat perbuatan itu, guru sekolah mereka menghubungi ibu pelajar perempuan terbabit menyebabkan wanita itu memarahi anaknya sebaik dia pulang bekerja.
“Anak gadisnya yang ketakutan mendakwa sudah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya itu,” katanya. Sumber berkata, susulan itu, wanita itu membawa anak gadisnya itu ke rumah teman lelakinya hingga menyebabkan berlaku pertengkaran.
Menurutnya, ibu gadis itu memaksa teman lelaki anaknya mengaku pernah melakukan hubungan seks sebelum dia ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis menyebabkan remaja lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan.