Punca sebenar anak kena ikat pengasuh
Punca Sebenar Kanak-Kanak Diikat Tangan Dan Kaki Didedahkan
Seorang ibu sering tertanya-tanya tentang anaknya berusia tiga tahun yang kerap lapar dan tidak bermaya setiap kali diambil daripada pengasuh.
Gerak hatinya kemudian mendorongnya membuat pemeriksaan mengejut di rumah pengasuh terbabit di Flat Taman Seri Pinang dekat Sungai Puyu di sini, semalam.
Namun, alangkah luluh hatinya apabila melihat anak yang dikasihinya itu terbaring dalam keadaan kedua-dua tangannya diikat dengan tali pinggang ke belakang manakala kedua-dua kakinya diikat menggunakan tali.
Lebih menyedihkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang merupakan anak pengasuh terbabit sedang mengawasi anaknya itu.
Menurut ibu kanak-kanak tersebut, Nalita Ahmad, 38, dia yang bekerja kilang menghantar anaknya ke rumah pengasuh berusia 39 tahun itu sejak Jun tahun lalu dan tiada masalah berlaku sepanjang tempoh berkenaan.
“Selepas menghantar anak ke rumah pengasuh pukul 5.30 pagi semalam, saya terus ke tempat kerja sebelum tergerak hati ke rumah pengasuh itu pada pukul 10 pagi. Alangkah terkejutnya apabila saya dapati anak saya dalam keadaan terikat.
“Saya kemudian meminta bantuan jiran terdekat untuk melepaskan ikatan anaknya kerana ketika kejadian pengasuh tiada di rumah. Saya difahamkan, anak saya diperbuat sedemikian kerana nakal,” ujarnya di sini, hari ini.
Nalita memberitahu, sehubungan itu, dia membuat laporan di balai polis berhampiran kira-kira pukul 11.40 pagi semalam kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pengasuh terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pengasuh terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.