Sains Haji 2 : Falsafah di Sebalik Ihram

ihramSains Haji 2 : Falsafah di Sebalik Ihram

Rukun pertama Haji ialah Ihram berserta Niat Haji. Apa saja amalan dan ibadah Rasulullah S.A.W. meletakkan niat sebagai penentu keberkatan amalan itu. Ibadah Haji juga tidak terlepas dari niat. Mengapakah Niat Haji diletakkan berserta ritual ikhram?

ISLAM UMMATUN WAHIDAH. UMMAT YANG SATU

Islam itu agama penyatuan yang menitik beratkan kesamarataan nilai dan status umat di sisi Allah. Falsafah itu jelas dilihat dalam kesemua Rukun Islam.

Dalam SYAHADAH contohnya. Setelah kita kenal dan arif tentang Allah dan Rasul melalui sifat-sifat khusus yang sangat agung, kita akan bersyahadah. Jika dulu kita orang yang selalu menyombong diri, menyembah harta, tahta maupun wanita, dengan syahadah insyaAllah kita mampu menyembah HANYA Allah.

Dalam SOLAT pula, 5x sehari kita ulangi ikrar untuk menghadapkan tumpuan wajah, beramal dan berbakti, hidup dan mati HANYA kerana Allah sahaja. Walau kita seorang SULTAN dan hari hari disembah manusia sekalipun, tidak akan sama dengan merendahnya kita kepada Allah sewaktu solat. Kita sujud sehingga ke tahap kepala kita lebih rendah dari punggung tempat keluar najis. Ya, kita sujud minima 17x sehari. Sebijak mana pun akal kita, dahi akan menekan bumi, tempat sujud kita.

Dalam PUASA dan ZAKAT lebih jelas lagi. Kita diperintah berlapar supaya merasai kesusahan si fakir dan anak yatim. Kita diwajibkan berzakat yang FITRAH (yang sepatutnya) untuk membangun Islam agar agama ini dapat membantu mereka yang memerlukan. Hakikatnya kini si miskin terpaksa berlapar dan dahaga berpuasa sambil mengayuh beca atau bekerja di ladang. Waktu buka pun ada yang tiada makanan. Si kaya pula berpuasa dalam hawa dingin. Bahkan ramai yang berpuasa di negeri sejuk yang nyaman dan singkat masa puasanya.

DALAM HAJI, FALSAFAH KEBERSAMAAN INI JUGA TIDAK TERKECUALI.

Dari himpunan kajian umum, juga perkongsian pengalaman dari kalangan pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) yang sudah Haji atau Umrah di Kota Suci Mekah selama ini menampakkan tentang pelbagai perkara yang telahpun kami lihat melanggar prinsip ihram. Walaupun semua jemaah memakai kain ihram yang sama tetapi falsafah ihram itu sendiri mereka dilanggar secara tidak sedar. Mereka gagal memahami falsafah yang menjadikan ritual ihram itu sebagai salah satu dari Rukun Haji.

Allah tidak perintahkan sesuatu itu sia-sia. Itu termasuk juga dengan ritual “berihram” sebelum masuk ke Tanah Haram. Perlu kita ingat, pada zaman Jahilliyah dahulu pernah berlaku “pelanggaran ihram” apabila Abu Jahal atau nama sebenarnya Haji Amru bin Hisham memberikan layanan lebih istimewa bagi Jemaah haji dari golongan bangsawan dan menyisihkan pula Jemaah haji dari kalangan mereka yang tiada kedudukan.

Hari ini, kita dapat lihat, ada banyak jenis pakej-pakej haji. Ada pakej sehingga ratusan ribu RM. Khemahnya ada penghawa dingin, penerbangannya kelas perniagaan, hotelnya 5 bintang beberapa langkah sahaja jaraknya ke Masjidilharam. Bagi tetamu-tetamu dari kalangan ketua-ketua Negara telah disediakan Istana Tamu hanya bersebelahan dengan Gate King Abdul Aziz. Ramai yang bersolat hanya dari tepi tingkap Istana dan Hotel dan bukannya di Masjid Al-Haram ataupun di lapangan tawaf.

Di Mina pula, mereka ini mendapat khemah yang hampir sangat dengan tempat melontar Jumrah. Mak Datuk mudahnya mereka dalam segala kemewahan membeli kesenangan pada tempat yang memang Allah mahukan kita merasai kesusahan dan ketidakselesaan. Si tua dan simiskin berpanas di Arafah, air mineral pun panas diminum, telur mentah pun boleh masak dijemur. Si tua terbongkok-bongkok dari khemah hujung berjalan kaki berdikit-dikit dengan kesesakan manusia untuk melontar. Ada juga yang tak sampai hajat, bahkan ada yang mati kelemasan terhimpit dan dipijak. Itu berlaku hampir saban tahun tanpa syak lagi, khasnya ketika mengucup HajarulAswad.

APAKAH KAITAN ITU SEMUA DENGAN IHRAM?

Lihat lagi, Jemaah haji kelas yang tinggi dibawa dengan kenderaan mewah. Hummer, GMC, Bentley, Chrysler, Limosin dan banyak lagi menjadi kenderaan mereka sementara Si Miskin bersesak-sesak berdiri berjam-jam dalam bas lama tanpa penghawa dingin. Jika ada penghawa dingin sekalipun, ia sering sengaja dimatikan sehingga jadi `sauna’ dalam `tin sardin’ itu, barulah pemandu buka penghawa dingin TETAPI dengan meminta wang “dalal” (upah) dari setiap Jemaah.

Hotel Zamzam Tower (Royal Clock), Hilton Mekah, Intercontinental & Royal Orchid, Assafwa dan banyak lagi hotel-hotel berkelas 5 bintang memberikan layanan istimewa kepada semua Jemaah kelas atasan ini. Caj penginapan beribu RM semalam. Siap ada SPA dan perkhidmatan Butler lagi.

Sampai bila-bila, Si Kaya tak akan mampu merasa kesusahan Si Miskin dan sampai bila-bila Sang Pemimpin tidak mampu selami perasaan Si Marhaen. Kelas dan dunia mereka diasingkan sama sekali tanpa ada pertembungan persamaan. Itulah benih kapitalis yang sudah berjaya tertanam dalam hati umat Islam sendiri di akhir zaman ini.

Salah satu sebab besar Haji dijadikan salah satu rukun dalam Islam ialah ia satu ibadah penyudah yang melengkapkan Islam melalui ibadah ritual dengan gerakkerja. Antara Gerakkerja yang terbesar ialah pemakaian ihram itu sendiri yang melambangkan PERPADUAN (SOLIDARITI) dan PENYATUAN UMMAH dari seluruh pelusuk dunia. Pelbagai warna kulit, bahasa, budaya dan fahaman politik. Mereka di SAWASIAH (disamakan) dengan pakaian ihram putih itu sendiri. Tiada lagi Gucci, Prada, LV, Salvatore Ferragamo, Chanel atau apa sahaja rekaan butik pereka ternama. Bahkan seluar dalam pun tidak dibolehkan. Yang ada dan boleh dilihat HANYA kain ihram putih 2 helai tak berjahit sahaja bagi lelaki dan pakaian ibadah asas bagi wanita.

Nampak gaya, ihram kini hanya jadi satu ritual dan retorik semata-mata dalam ibadah haji kita. Falsafah pendidikan di sebalik ihram itu sendiri tidak lagi berlaku. Kami tidak pasti samada mereka tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu? Si Kaya dengan Si Kaya, Si Miskin dengan Si Miskin. Sangat jelas KETIADAAN kesamaan, penyatuan dan solidariti dalam Islam yang tergambar dalam ritual keseluruhan ibadah haji di Mekah pada setiap tahun.

APA PULA KESAN RITUAL YANG DILALAIKAN ITU PADA HARI INI?

Adakah Islam kini bersatuhati dan kuat? Jangan tipu Allah jika kita tak mampu tipu diri sendiri tentang jawapannya.

Dari apa yang berlaku di lapangan ibadah Haji, kita sudah mampu lihat BAINAT (bukti) yang nyata bahawa Islam sudah tiada solidariti dan hilang kekuatannya. Warna ihram sahaja sama putih tetapi falsafah penyatuan langsung tidak diendahkan. Si Kaya mampu “beli” syurga dan mampu bayar DAM lalu tak kisah langsung jika ada Jemaah lain selamba sahaja dimaki hamun (rafatz) oleh Si Kaya. Banyak wajib haji yang sengaja ditinggalkan, hanya kerana mereka mampu bayar DAM. Kan bagus jika mereka ini beli saja terus tiket untuk masuk ke syurga dengan kekayaan mereka?

Hari ini, Saudi sendiri membiarkan penyembelihan orang Islam di Palastine, Syria, Mesir, Libya, Afghanistan, Iraq dan lain-lain Negara tetangganya. Itulah satu tanda besar tiadanya solidariti. Jika musuh Islam menyerang Bahrain, mungkin mereka akan melenting dan membela. Kerana apa? kerana Bahrain itu Negara kecil yang mempunyai bilangan hotel lebih ramai dari rakyatnya. Banyak Hotel yang di dalamnya dipenuhi segala jenis pelacur, minuman keras yang dihalalkan kepada pelanggan tetap mereka yang berjubah dan berserban kemas sambil di tangannya memegang tasbih. Mereka itu semua dari ARAB SAUDI dan mereka percaya Allah mampu ditipu dengan “kemaksiatan di Bahrain dan bertaubat di Masjidilharam” (Nauzubillah).

MENDALAMI FALSAFAH DI SEBALIK KAIN IHRAM

Ikhram mengingatkan bahawa kita ini hanya HAMBA ALLAH dan bukannya TUAN YANG BERTUHAN atas mukabumi ini. Pemimpin yang zalim, si kaya yang bermewah dan bersenang lenang sepatutnya mampu ditundukkan dengan ritual kesemua rukun Islam termasuk ikhram Haji ini jika mereka dapat merasai kesusahan yang dialami Jemaah yang miskin secara sama rata.

Kami geleng kepala mengetahui pelbagai pakej Haji ditawarkan sehingga ratusan ribu untuk satu kepala. Adakah ibadah mereka itu akan jadi lebih mabrur berbanding Si Miskin yang menggunakan proses haji Muassasah? Ataukah mungkin haji mereka lebih bernilai dari Jemaah Somalia yang berlapar dan menginap di kaki lima? Yang berjalan kaki berbulan-bulan, memikul dagangan dan menumpang kenderaan orang untuk sampai ke Mekah?

Bukankah anda lihat, pola ini sama dengan pola Abu Jahal semasa Jahilliyah? Yang kaya dilayan baik, yang miskin pula “pandai-pandailah” nak hidup. Jika anda fahaminya, anda pasti mampu jawab siapakah Abu Jahalnya pada waktu ini.

Yang nak pergi haji selepas membaca artikel ini kami sungguh-sungguh anda dapat Haji Mabrur. Betulkanlah niat kita. Carilah redha Allah sepanjang mengerjakan ibadah haji di sana dan kembangkan ilmu bersama keluarga dan masyarakat sekembalinya nanti. Bersilatulrahimlah bersama sang fakir dan rakyat yang sedang tertindas di merata dunia. Jika tidak faham bahasa mereka, lihat dan perhatilah “body language” mereka. Habis tidak selami rakan dari negara tetangga yang sama bahasa dan budaya. Kemudian kita rumus bersama bagimana kita-kita boleh jadi begini dan cari apakah kaedah terbaik mengatasinya.

Inilah peluang keemasan yang kita ada. Islam itu agama ilmu, kaya dengan HUJJAH dan penuh strategi. Kutiplah ilmu dan hujjah sesama kita semasa BERIHRAM nanti. Barulah secara sains sosial, sains psikologi dan teologinya haji kita InsyaAllah membawa kebaikan (mabrur) kepada diri, keluarga dan ummat melalui pengumpulan HUJJAH tentang agama ini.

Dari kotak fikir
WARGA PRIHATIN