4 dari 6 rakan wanita dirogol rakan FB, 5 darinya isteri orang
SEREMBAN – Empat wanita dirogol, seorang dicabul dan seorang lagi terkena gangguan seksual, selepas dipukau seorang lelaki yang dikenali mereka melalui laman sosial Facebook (FB).
Menurut sumber, kesemua mangsa yang berusia 40-an itu, baru sahaja belajar menggunakan laman sosial berkenaan, sebelum aktif di sebuah kumpulan (group) FB yang disertainya.
Katanya, kejadian bermula apabila seorang lelaki yang sama berkawan dengan kesemua wanita berkenaan.
“Bermula dengan berkawan, mereka kerap berhubung melalui ruang bual di FB, kemudian bertukar-tukar nombor telefon antara satu sama lain.
“Hasil hubungan mesra itu, lelaki berkenaan kemudiannya mengajak wanita ini untuk berjumpa, ada yang jumpa di sekitar Seremban, dan ada pula yang bertemu di luar daerah ini.
“Apa yang menghairankan, daripada enam wanita berkenaan, lima daripadanya adalah isteri orang, yang sudah mempunyai anak, malah ada yang bercucu, seorang lagi janda.
“Saya difahamkan, ada antara mereka bergaduh besar dengan suami, dan ada yang hampir bercerai disebabkan tindakan isteri bertemu dengan lelaki dikenali melalui FB itu,” katanya.
Katanya, mangsa sehingga kini masih lagi tidak membuat laporan polis kerana bimbang rumah tangga mereka musnah, selain takut dan malu dengan suami masing-masing.
Tambahnya, dia kini sedang mengumpul beberapa bukti untuk membantu wanita berkenaan dan berharap mereka ini dapat diberi keadilan, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya kepada lelaki berkenaan.