Ulasan santai Forum Happy Family Till Jannah Anjuran Majlis Agama N.Sembilan

00.jpg b.jpgc.jpeg SMALLPort Dickson, 26 Disember 2013 bertempat di Auditorium Muzium Tentera Darat kami dijemput oleh Pejabat Agama Islam Negeri Sembilan untuk memberikan perkongsian tentang Tips Munakahat dan juga Parenting. Temanya sangat menarik iaitu “Happy Family Till Jannah”.

Bagi rakan-rakan yang meminta perkongsian dari peogram tersebut, berikut ini sedikit laporan kami dari apa yang telah dilalui sepanjang hari itu. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (PD). Kami dihubungi oleh Ustaz Ahnaf semuanya melalui facebook kami. Agak ringkas dan tidak berprotokol manapun, kami sangat suka cara begitu kerana kita semua manusia biasa di sisi Allah. Bila Allah sudah permudahkan urusan kita, mengapa kita mahu susahkan urusan manusia lain.

Berhubung hanya melalui facebook message dan whatsapp sahaja telah berjaya menjadikan program ini satu yang realiti. Sangat menarik dan tahniah kami ucapkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Apa yang kami perhatikan, semua Pegawai Agama yang terlibat, dari urusetia penganjuran, Moderator, VIP bahkan Yang Arif Tuan Hakim Mahkamah Syariah sendiri adalah dari golongan muda yang sangat berminda terbuka dan energetik.

Seawal jam 6.30 pagi, kami sudah bertolak, segerombolan dari Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang menuju ke PD. Anak-anak sangat teruja untuk ke Port Dickson. Bukan teruja untuk pergi tengok laut tetapi teruja kerana nak tengok bapak-bapak mereka berforum secara LIVE (Siaran Langsung terus menerus depan mata mereka). Sebelum ini mereka pernah hadir di RTM dalam forum bertajuk ‘Si Tanggang Moden’.

Selama ini, anak-anak seumur 7 tahun dah kami dedahkan dengan pengucapan umum termasuk berforum sesame mereka dan semuanya dilakukan secara dalaman di RPWP. Hanya kali itu, sekali lagi anak-anak dapat lihat sendiri contoh hidup di hadapan mata mereka bagaimana bapak-bapak mereka itu berforum dikhalayak umum pula.

Kami sampai sekitar jam 8.10 pagi. Setibanya kami di sana, kami rupanya kumpulan yang terawal selepas kumpulan catering dan beberapa pegawai Jabatan Agama Islam. Ketua rombongan yang dipimpin terus oleh Ayahanda Pengetua RPWP, Dr. Haji Masjuki Mohd. Musuri sendiri yang sampai bersama isteri beliau Cikgu Shakirah Abdullah dan Haji Saiful Nang. Mereka disambut oleh Ustaz Kahar, wakil Pegawai dari pejabat Agama Islam daerah PD.

Perbualan bersama beliau sangat menarik. Antara perkara pertama yang beliau tanyakan ialah “Apakah module yang kami gunakan untuk parenting dan munakhahat di RPWP?”

Soalan beliau disambut dengan muka blur “kelabu asap” En. Yazid dan Haji Saiful Nang dan setelah dijelaskan soalan itu semula oleh Ustaz Khahar barulah kami faham yang beliau bertanyakan tentang silibus yang kami gunakan di RPWP agar mungkin boleh mereka gunakan untuk sessi akan datang.

Soalan itu lalu dijawab oleh Haji Saiful dengan bersahaja “Sumber modul cuma Quran & Sunnah sahaja. Tetapi modul / pendekatan sebenarnya adalah bergantung kepada “subjek” di hadapan mata kita”.

Ustaz Khahar memang sangat pantas memahami, beliau terus jelas dengan itu. Pendekatan di RPWP lebih kepada pendekatan insitu yang tidak mempunyai satu modul rigid. Setiap masalah yang berlaku tidak mengira siapapun yang menjadi subjek dan atas apa asbab sekalipun, kami rujuk kepada Quran & Sunnah. Maka, apa perlunya modul jika semuanya kita mampu selesaikan dari Quran & Sunnah itu sendiri.

Contohnya tawas (coagulant) untuk menjernihkan air kolam A mungkin tidak berfungsi untuk kolam B. Subjeknya lain, pendekatannya PASTI lain. Antibiotik juga ada berbeza-beza, ada yang boleh kita makan dan berkesan ada pula yang berkesan pada orang lain tetapi tidak kita. Apa yang kami dapati setiap permasalahan keluarga ada penyelasaiannya dalam Quran dan sunnah.

Tepat jam 9 pagi, kami semua telah bersedia di dalam auditorium. Dewan itu tiada sound engineer yang bertugas. Kebetulan kami bawa anak-anak kami yang memang telah terdidik menguruskan PA System, lalu mereka menguruskannya secara ad-hoc walaupun peralatan di situ jauh berbeza dengan apa yang mereka gunakan di RPWP.

Pentas dibuka dengan beberapa tayangan video sementara masing-masing mengambil tempat. Belum pun bermula ceramah dan forumnya, kami perhati beberapa “Kakak Army” sudah mengesat airmata apabila kami paparkan video dari dapatan kajian kami tentang gejala sosial yang disebabkan masalah utama dari parenting dan munakahat itu sendiri.

Langsung selepas ucapan pengerusi majlis dan bacaan doa, Ayahanda Dr. Haji Masjuki Musuri membuka gelanggang dengan ucapan beliau tentang “Tips Munakahat” sepertimana yang diminta. Penonton yang sebelum itu seperti tidak memberi tumpuan dan sebahagian berselang seli menguap panjang tiba-tiba jadi kejang dan terbeliak dengan perkongsian dari Dr. Masjuki. Sebahagian besar hadirin adalah imam masjid yang juga menjadi pendaftar atau jurunikah di Qariah masing-masing.

Seperti satu pembuka mata apabila Dr. Masjuki membukakan tentang RUKUN NIKAH yang lima dan memberi penjelasan. 45 minit ucapan beliau hanya mampu kupas rukun nikah yang PERTAMA sahaja dan itupun masih belum sempurna. Wakil kami mendengar bisikan perbualan imam di belakang mereka mengatakan…

“kita selalu Tanya pengantin rukun nikah sahaja, tapi tak pernah tanyakan mereka FUNGSI setiap rukun nikah itu”.

Mudah untuk hari ini orang Islam berkahwin dan memenuhi rukun nikah. Yang susah ialah nak kumpul duit banyak-banyak untuk dihabiskan dalam 1 hari perkahwinan. Kenduri besar, hantaran tinggi, persalinan yang jadi perkara paling susah pasangan nak berkahwin itu tiada langsung disebut dalam rukun nikah. Sedangkan yang rukun nikah itu sendiri ramai yang MAMPU HAFAL tetapi tak mampu menjelaskan fungsinya apatahlagi menjalankan fungsi RUKUN itu dengan tepat.

Rukun nikah ada 5. Pertama LELAKI, WANITA, SAKSI, WALI serta IJAB KABUL. Sesiapapun mampu hafal senarai pendek itu dalam tempoh kurang 1 minit. TETAPI dalam ceramah Dr. Masjuki, beliau menjelaskan bukan hafalannya, tapi FUNGSI LELAKI ITU yang sepatutnya yang dikira mampu untuk bernikah. Terlampau panjang perkongsian beliau untuk kita muatkan kesemuanya di sini.

Mudahnya, perkahwinan BANYAK BERAKHIR dengan perceraian kerana lelakinya tidak berfungsi seperti lelaki yang mampu memimpin dan wanitanya pula berfungsi menjadi pemimpin rumahtangga. Kes kata-kata keramat sang suami kepada isterinya “Ikut suka you lah Yang…I ikut jer” itulah salah satu perkara yang menafikan rukun nikah selepas ijab kabul dilafazkan.

Selagi Rukun Nikah itu berjalan, maka pernikahan yang diakadkan itu akan terus berjalan. Apa yang kita faham, jika selepas 10 tahun berkahwin, Si Lelaki bertukar jadi wanita melalui pembedahan MAKA terurailah pernikahan itu secara automatik. Itu semua orang tahu, tetapi ramai yang tidak tahu apabila Si Lelaki dah bertukar fungsi diri dari seorang pemimpin menjadi “pengikut” dalam rumahtangga, berapa ramaikah suami romantik ala-ala “ikut u lah yang…I follow” itu sebenarnya telah meleraikan akad pernikahan mereka itu.

Penyampaian Dr. Masjuki menyentap jiwa beberapa imam kampung yang kemudiannya semasa makan tengahari datang berjumpa wakil kami dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah mendengar ceramah sekeras ini TETAPI mereka juga tidak dapat menafikan sebaliknya dengan jujur mengatakan ITULAH YANG SEBENARNYA TERJADI. Mereka juga kongsikan pemerhatian sehingga ada yang bernikah hari ini, esok datang jumpa imam untuk ceraikan isterinya kerana isterinya tidak perawan lagi pada malam pertama dan mengakui telah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain. Tetapi ramai juga suami dah boleh kompromi dengan isteri tiada dara sekarang ini kerana mereka sendiripun kaki “melantak”, atau jadi tukang koyakkan “plastic” anak dara orang.

Itu realiti yang ramai penceramah tak berani ketengahkan. Dr. Masjuki menjelaskan kepada mereka kerana kita tak perlu takut untuk berkata benar. Realiti memang pahit tetapi jika beliau sekadar nak berceramah untuk jadi penceramah selebriti, lebih baik tak payah berdakwah. Bercakap apa yang mahu orang lain dengar dan bukan menyeru apa yang telah lari dari fitrahnya.

Di bawah pentas, Ustaz Shauki dan Haji Saiful Nang sedang ditemuramah pula oleh moderator, iaitu Timbalan Pendakwa Syariah yang sangat fasih penyampaiannya. Beliau bertanyakan kedua-dua ahli panel “apakah soalan yang mahu beliau tanyakan?”. Itu satu prosidur biasa pada beliau bagi memberi ruang untuk ahli panel membuat persediaan.

Lalu dijawab oleh Ustaz Shauki, “Tanyalah apa-apa insyaAllah kami jawab. Jika tak tahu, kami jawab sahaja tidak tahu” sambil senyum.

Ucapan Dr. Masjuki berakhir tepat jam 10 pagi mengikut kadar waktu yang diberi. Seterusnya, anak-anak RPWP naik ke pentas untuk mendendangkan 2 buah lagu bertajuk “Ampuni Kami” dan juga “Baraqallah”.

Pentas dibuka semula selepas itu dengan forum yang dipimpin oleh Al-Fadhil Muhd Zulzaidi Mahmud. Topik forum pula tertumpu kepada TIPS PARENTING bagi mewujudkan “Happy Family Till Jannah”. Mungkin sangat banyak isu yang dikupaskan dalam sessi yang berlangsung sekitar 2 jam itu (Dari 10.30am-12.30pm).

Yang menariknya, Ahli Panel RPWP kesemuanya bercakap dengan BAHASA BAINAT ataupun bahasa perlaksanaan dan bukan bahasa halus dari Al-Quran. Mereka menyampaikan mengikut konteks, tidak berdasarkan teks. Hebatnya moderator pula kerana setiap bahasa perlaksanaan yang disampaikan oleh semua ahli panel, mampu beliau keluarkan ayatnya dari Al-Quran dan hadis dengan tepat. Di situ kami rasa berlaku titik pertemuan antara ahli panel dari RPWP dengan Minda Agamawan dari kalangan Ulamak Pejabat Agama.

Jika tidak faham perenggan sebelum ini, kami jelaskan lagi. Kami mengambil Al-Quran dan sunnah sebagai panduan perlaksanaan bagi setiap inci peraturan di RPWP. Semasa kami ceritakan tentang tips-tips parenting yang kami telah jalankan lebih 8 tahun di RPWP, dengan pantas tuan moderator mampu keluarkan ayat dari Al-Quran dan hadis yang selama ini kami rujuk dalam perlaksanaan itu.

Seperti seorang arkitek yang melakar sebuah rumah dan seorang kontraktor yang membinanya. Kami ini kontraktor dan arkiteknya ialah Allah sendiri. Kami tidak hafal “plan” arkitek seperti kehebatan moderator menghafaznya kerana kami bukan al-Hafiz. Tetapi kami sentiasa tekun merujuk dan cuba memahami pelan dari Arkitek yang Maha Hebat itu sambil kami membina rumah yang diplankan itu. Setelah kami siapkan rumah itu, lalu bila ada orang panggil kami untuk berkongsi pengalaman dalam membina rumah itu, maka, kami ceritakannya dari pengalaman kami secara telus walaupun pelan arkitek yang kami rujuk pada mulanya itu tidak kami hafal.

Sudah terlampau panjang perkongsian ini, insyaAllah jika diizin Allah nanti akan kami kongsikannya lagi melalui asbab yang lain. Kami orang yang “kotor tangan” melaksanakan pelan yang dilakar oleh Allah dalam Al-Quran dan contoh yang kami ambil sebagai pedoman ialah sunnah nabi-nabi. Hari ini ramai juga penghafaz “pelan arkitek” itu tetapi tidak membinanya. Kami terpaksa kerana itu titah perintah Allah untuk ambil PELAN ALLAH dan laksanakannya hingga ia BERDIRI.

Hujung kata, kami ucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jemaah Penganjur dari Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (PD). Layanan mesra ala keluarga sangat membahagiakan kami dan anak-anak semua, biarpun tidak berprogram di hotel Lima Bintang lalu menjadi ‘anak tiri’ seperti pengalaman pahit anak-anak kami baru-baru ini.

Usai program kami dijamu makan tengahari yang terlalu enak dan nikmat dirasakan. Tidak kurang juga sumbangan tunai dihulurkan kepada setiap penceramah yang terus kami serahkan semuanya kepada bendahari untuk menambah tabungan anak-anak ini. Selepas itu kami dipelawa melawat Muzium Tentera yang bersebelahan di mana ia sangat bermakna bagi anak-anak menambah pengetahuan tanpa diduga-duga. Dalam perjalanan pulang kami sempat bawa anak-anak singgah sebentar di pantai untuk menghirup udara segar dan pandangan samudera luas.

Alhamdulillah. Segala puji untuk apa sahaja kebaikan dari program ini adalah bagi Allah jua. Segala yang buruk adalah dari kelemahan diri kami sendiri. Jika ada umur dan rezeki, insyaAllah kita bertemu lagi.

Perkongsian santai oleh
WARGA PRIHATIN

 

=======================

 

Sementara menanti rencana ulasan keseluruhan sepanjang majlis ini nanti… baca dulu ulasan ringkas dari Haji Saiful nang Yang sangat melucukan ini… 😀

Pagi tadi saya dijemput menjadi ahli panel sebuah forum anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (PD) di auditorium Muzium Tentera Darat bersama Dr Haji Masjuki Muhd Musuri (Founder Rumah Pengasih Warga Prihatin) dan Ustaz Shauqi. Topiknya adalah tentang Munakahat dan Parenting dalam Islam. Yang menariknya ada beberapa perkara…

Kali pertama moderator memanggil saya dengan nama “Tuan Haji Ustaz Saiful bin Nang”. Tiba-tiba rasa macam ada batu besar timpa bahu saya. Saya bukan ustaz, tapi saya adalah orang biasa yang mengambil Islam sebagai carahidup. Saya tak hafal ayat quran, tapi menggunakan quran sebagai sumber petunjuk yang dipraktis di RPWP. Saya hanya menceritakan hasil perlaksanaan ayat sahaja.

Seperti tidak hafal buku resepi buat kek tapi baca buku resepi dan ikut satu persatu sampai jadi kek. Maka saya tetap tak hafal resepi kek itu tapi saya boleh ceritakan macammana nak buat kek yg sedap selepas itu

Keduanya, seminar tentang Munakahat dan Parenting ini dihadiri oleh lebih ramai juga golongan “senja” ataupun Malaysia mengenali mereka sebagai “Warga Emas”.

Tiba-tiba saya senyum sorang-sorang memikirkan bahawa forum tadi patutnya bertajuk “GRANDPARENTING”

Kemudian saya berhenti senyum bila memikirkan bahawa ilmu-ilmu begini hanya diminati oleh mereka yang sudah tidak punyai masa yang lama untuk mempraktikkan berbanding mereka yang masih muda dan gagah.

Kemudian saya senyum semula. Kerana saya berbaik sangka bahawa program itu dibuat pada hari bekerja.

Apapun, enjoy juga dengan kemeriahan anak-anak Warga Prihatin yang turut memeriahkan suasana

SAIFUL NANG

p/s supaya tiada yang risau melihat saya ketika itu sekejap senyum sekejap tak dan sekejap senyum semula. Saya masih sihat.