Sibuk kerja amal tak halang capai SPM cemerlang
Nurhani hanya buat persediaan tiga bulan sebelum peperiksaan
- Berita Harian
- 21 Mar 2017
- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi bhnews@bh.com.my Kajang
[FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH]
Sibuk mencurah bakti sebagai sukarelawan sepenuh masa di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) tidak menghalang Nurhani Masjuki, 18, cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Tidak pernah mendapat pendidikan rasmi di sekolah untuk SPM, rutin hariannya melakukan kerja amal di pusat kebajikan yang beroperasi sejak 2005 di Sungai Ramal Baru, di sini, yang menempatkan lebih 120 penghuni, termasuk anak yatim.
Mendaftar sebagai calon persendirian untuk SPM, Nurhani mengaku impiannya untuk cemerlang dalam akademik tidak pernah padam dan bersyukur apabila memperoleh keputusan 6A dan 3B dalam peperiksaan itu.
Ulangkaji waktu terluang
Anak keenam daripada tujuh beradik ini, berkata beliau hanya mengulangkaji apabila ada waktu terluang, terutama pada sebelah malam sambil dibantu tenaga pengajar di bawah program Akademi Insan Prihatin kelolaan rumah kebajikan itu.
“Saya tiada guru persendirian dan tiga bulan sebelum SPM barulah beri tumpuan, termasuk menghadiri kelas tuisyen selama lima minggu. Saya terpaksa mengurangkan kerja amal bagi menyelesaikan silibus pembelajaran subjek SPM.
Cita-cita jadi doktor
“Tuisyen membolehkan saya mendapatkan soalan ramalan. Memang waktu agak singkat dan persediaan tidak sempurna, namun saya percaya jika kita tekad dan fokus dengan apa yang ingin dilakukan dan dicapai, pasti boleh buat,” katanya.
Nurhani yang bercita-cita menjadi doktor sebelum ini turut cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dengan skor A dalam subjek ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, di sini.
Selepas SPM, beliau yang mengambil peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 14 (1) Putrajaya, kembali meneruskan kerja amal seperti memasak, mengemas dan membantu anak yatim di kebajikan itu.
Ibunya, Shakirah Abdullah, 53, yang juga antara penggerak rumah kebajikan berkenaan, berkata Nurhani memang minat bidang akademik dan mereka memberi galakan kepadanya untuk mencapai cita-cita menjadi doktor.
“Memang waktu agak singkat dan persediaan tidak sempurna, namun saya percaya jika kita tekad dan fokus dengan apa yang ingin dilakukan dan dicapai, pasti boleh buat” Nurhani Masjuki, Lepasan SPM.
http://prihatin.net.my/web2/blog/2013/08/29/pengorbanan-dan-impian-seorang-ayah/
http://prihatin.net.my/web2/blog/2012/08/29/nurhani-membentuk-jiwa-prihatin/