Rumah diperteguh falsafah
Rumah Pengasih Warga Prihatin bukan sahaja menyediakan tempat perlindungan anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU), malah mementingkan perkembangan sahsiah, jati diri dan survival kehidupan kesemua penghuninya.
SEJARAH kewujudannya bermula dengan sebuah kediaman setingkat. Terletak di atas sebuah tanah persendirian seluas kira-kira dua ekar, apa yang boleh dilihat kini adalah fizikalnya yang sedang mengalami transisi.
Rumah di Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor ini sedang diperbesar menjadi sebuah kediaman tiga tingkat termasuk penyambungan beberapa binaan fungsi di sekelilingnya.
Biarpun kerja ubah elok masih jauh daripada sempurna, lebih-lebih lagi melihatkan timbunan kayu dan rangka keluli di halamannya yang berdebu pasir, tiada langsung ada petanda bahawa ia bakal menjadi projek yang tidak terbela.
Kalau dinilai tentang material binaannya, ia seolah-olah mencabar syarat minimum kualiti pembinaan.
Lalu terlintas di fikiran, mengapakah rumah ini begitu istimewa? Apakah pula tujuan pembinaannya?
“Rumah adalah unit asas yang menempatkan penghuni di dalamnya sekali gus menterjemah kepimpinan sebuah keluarga,” kata seorang lelaki yang duduk di kerusi roda di hadapan penulis.
Difahamkan bahawa tulang paha kirinya telah patah akibat terjatuh dari pelantar ketika sedang sibuk membuat kerja-kerja pembinaan rumah tersebut pada subuh 26 Oktober lalu.
Menurut pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin itu, bangunan kediamannya yang sudah ‘diwakafkan’ menjadi pusat aktiviti kumpulan tersebut begitu unik. Ini kerana kerana keseluruhan proses pembinaannya adalah hasil pengorbanan dan kerja tangan pendokong-pendokongnya sendiri.
“Kami berhempas pulas membanting tenaga membangunkannya dengan dana yang sangat terhad. Ada juga menerima tajaan ikhlas pihak tertentu, tetapi selebihnya adalah sumbangan sebahagian pendapatan daripada 20 keluarga asal Warga Prihatin,” ujarnya yang mesra menyambut sapaan isi rumah yang memanggilnya dengan gelaran ‘ayahanda’.
Tanpa bantuan kerajaan, rumah yang dijangka dapat menampung kehadiran lebih 200 orang keluarga besar Warga Prihatin ini dibangunkan secara berperingkat dengan memanfaatkan bahan terpakai dan terbuang, seperti kayu dan keluli yang diguna semula
“Sumber kewangan juga dikumpulkan daripada pengamalan konsep puasa secara hakikat. Konsep yang dimaksudkan itu adalah dengan mengoptimum perbelanjaan,” jelasnya.
PERHATIKAN pada wajah anak-anak muda ini. Siapakah idola yang mereka contohi untuk menjadi insan yang indah pekerti, tinggi pencapaian hidup, seterusnya kenal erti mencurah bakti?
Kata Masjuki, antara konsep puasa adalah dengan membelanjakan perkara yang perlu sahaja. Misalnya, warga Prihatin yang dahulunya membelanjakan sehingga RM200 sebulan untuk rokok, berjaya berfikir secara realistik untuk menyalurkan belanja itu ke dalam tabung pembinaan Rumah Pengasih.
Semua itu berkat pemahaman dan muafakat mereka dalam mendasari konsep kebajikan dan kebaktian, sebagaimana yang dianjurkan dalam pelbagai aktiviti komuniti mereka setiap minggu.
“Selain menjadi tempat berteduh dan makan minum golongan tersebut, rumah sudah pun memberi ruang memadani untuk mereka belajar tentang akhlak dan moral, ilmu dan amal, konsep keluarga Imran (surah Ali-Imran) serta banyak lagi,” ujarnya yang mengingatkan kalau rumah tanpa disertai didikan sedemikian, kesannya umpama membunuh generasi.
Tanpa disedari, setiap soalan tentang aktiviti yang dijalankan di rumah tersebut disulam falsafah yang indah dan berteraskan kemurnian Islam.
“Cuba lihat pada kualiti kayu yang dijadikan lantai aras dan dinding di tingkat dua dan tiga. Sekali pandang ia tidak sempurna bukan?” tanya Khalinan Mohd Tahar, salah seorang ketua keluarga Warga Prihatin yang bertanggungjawab dalam selok-belok pertukangan di Rumah Pengasih.
Khalinan menerangkan, setiap kayu yang lemah ada kaedah tersendiri untuk menguatkannya. Kayu yang bengkok boleh diapit supaya lurus, yang kasar boleh diketam, yang meleding boleh diragum dan diratakan, manakala yang rapuh boleh disokong dan dipasak dengan kayu lain. Akhirnya setiap kayu menjadi lebih kuat dan berguna.
“Bukankah itu juga ibaratnya sikap dan sifat manusia? Kalau seseorang itu sesat haluannya, dia perlu dirapati untuk membimbingnya ke jalan yang lurus.
“Kalau peribadinya tidak elok, seseorang boleh menasihati dan membantu menghaluskannya. Kalau dia lemah bersendirian, jemaah di sekelilingnya boleh menyokongnya dan memberi kekuatan,” kata seorang lagi ketua keluarga, Johari Ibrahim.
Kagum dengan penjelasan itu, penulis kembali meliarkan mata memandang ke sekeliling kawasan. Tatkala terlihat sebuah takungan konkrit yang berbentuk linear, seperti tab mandi yang panjang, penulis bertanya: “Bagaimana dengan kolam itu?”
Masjuki cermat berhujah: “Kolam renang itu bukan sekadar untuk anak-anak berekreasi dan berseronok semata-mata. Di sebalik latihan pernafasan dan renang, kemahiran itu sendiri sebenarnya suatu yang relevan dengan realiti kehidupan.”
Menurutnya, dalam anak-anak itu membesar dan mengenal dunia, mereka perlu ‘berenang’ dalam lautan manusia yang penuh cabaran.
“Setiap daripada mereka juga perlu ‘mengapungkan’ diri kewujudan mereka dilihat,” terang Masjuki yang menyifatkan orang yang gagal dalam kehidupan adalah sama seperti mangsa lemas di air.
Mengadaptasi konsep itu, antara aktiviti yang dianjurkan untuk kanak-kanak di Rumah Pengasih adalah bersangkut-paut dengan skil personaliti, seperti pengucapan awam dan komunikasi berkumpulan.
Nah! Sampai begitu sekali perincian teladan dan iktibar bagi setiap sudut fizikal Rumah Pengasih dan aktiviti yang dijalankan di dalamnya.
Itu membuatkan apa sahaja pertanyaan berikutnya menjadi lebih asyik untuk didengar dan ditelusuri. Mungkin tidak ramai yang pernah memikirkan bagaimana setiap suatu yang dipandang, dilafaz, didengar dan dilakukan itu adalah sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar pemahaman ibadah.
Di Rumah Pengasih ini, difahamkan bahawa ibu bapa dan anak-anak sering disyorkan untuk bersama-sama dalam majlis ilmu dan aktiviti gotong-royong. Tanpa diasingkan, setiap anggota keluarga berpeluang memahami sisi peribadi masing-masing seterusnya mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
“Masalah wanita dan para ibu, pasangan suami isteri, anak remaja, hinggalah kepada golongan fakir dan golongan kurang upaya, mereka ada tempat dan peranan masing-masing di rumah ini. Mereka memiliki antara satu sama lain untuk berkongsi masalah dan mencari penyelesaian,” kata Masjuki.
Besar harapan Masjuki serta himpunan orang kepercayaannya agar Rumah Pengasih Warga Prihatin berjaya sebagai wadah pembentuk konsep keluarga contoh.
“Falsafah kami adalah Al-Quran sebagai sumber rujukan dan makanan harian untuk menyelesaikan masalah keluarga, manakala sunah Rasul pula sebagai panduan khususnya dalam pendidikan keluarga,” ujarnya.
“Kami tidak memandang dari mana mereka datang atau siapa mereka sebelum ini. Lebih penting adalah dengan hasil asuhan di sini, mudah-mudahan mereka berubah menjadi insan yang lebih baik,” terangnya.
Apa yang dimaksudkan adalah anak-anak yang tinggi sahsiah, institusi keluarga yang murni arah tujunya, serta semangat kemuafakatan yang kukuh dan kekal. Semua itu demi menjalani kehidupan yang senantiasa diberkati dengan pesan-pesan ke arah kebaikan.
HASRAT jemaah Warga Prihatin terhadap fungsi dan bakti rumah ini begitu tinggi hinggakan mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang untuk membangunkannya.
Sesungguhnya setiap sen yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah Warga Prihatin ini tidak pernah sesekali diminta pulangan dalam nilai mata wang. Kepuasan matlamatnya adalah apa yang disebutkan tadi.
Barangkali di dalam rumah ini, tiada yang menyesali akan setiap kudrat yang diperah, titik keringat yang tumpah, ataupun tulang paha yang patah.