RAHSIA AL-KAHFI 12 – BERITA SEDIH YANG SUKAR DIPERCAYA
RAHSIA AL-KAHFI 12 – BERITA SEDIH YANG SUKAR DIPERCAYA
Dalam siri yang lalu telah dapat kita fahami banyak fakta dari penjelasan rahsia al-Kahfi yang merujuk kepada berita yang menyedarkan kita akan kelalaian menjaga agama oleh orang-orang terdahulu. Akibatnya nilai agama ini jatuh dan penjelasannya tidak lagi mampu membeli iman dan membina akidah manusia.
Dahulunya, telah Allah berikan al-Kitab yang menjadi bahan rujukan utama dalam urusniaga kita dengan Allah. Kitab itu sangat berharga dan laku untuk membeli iman dan syurga, yang Allah nilaikan lebih mahal dari emas sepenuh bumi. Kini kefahaman kita sudah menjadi pudar lalu kitab itu hilang nilai hidayahnya. Ia menjadi ibarat wang perak yang layak dijadikan perhiasan adat sahaja. Ini dijelaskan dalam ayat 19, yang terletak di tengah-tengah musyhaf alquran yang kita baca.
Al-Kahfi juga merujuk kepada fenomena terbelahnya dua zaman, di mana berakhirnya satu kegemilangan dan keperluan untuk merangka usaha membangunkan semula kegemilangan agama. Dalam siri 11, telah kami kongsikan fenomena fahaman NENEK MOYANG dalam urusan agama. Kefahaman Agama yang tidak terjaga ini telah menjadi semakin pudar dan sukar difahami penjelasannya. Amalan-amalan agama kita sudah tidak mampu memberi kesan ISLAH yang nyata. Kualiti umat menjadi semakin mundur akhlaknya walaupun kelihatan masih beragama. Itulah yang menjadi ukuran AMAL SOLEH dalam urusan agama kita.
Saat ini, alim ulamak sudah kembali kabur tentang penjelasan ayat muhkamat dan mutasyabihat. Akibatnya mesej penting yang terselit dalam ayat-ayat mutasyabihat itu telah dijelaskan secara muhkamat sahaja. Segala kisah yang berbentuk Israeliat dan mutasyabihat hanya dijelaskan untuk menggambarkan kebesaran dan kekuasaan Allah semata-mata. Walhal di sebalik ayat mutasyabihat itu terselit hidayah yang boleh kita ulang secara strategik untuk mengatur semula program pembangunan agama.
Fenomena ini juga telah disentuh dalam siri sebelumnya tentang wujudnya kaum Yakjuj dan Makjuj, yang masing-masing sudah tidak mengetahui bicara mereka. Juga telah disentuh tentang fenomena keperluan pembinaan tembok kukuh untuk memisahkan pendirian dan halatuju hidup kita dengan mereka yang sudah kembali jahil sejahil-jahilnya dan enggan bersama membangun agama.
BERITA SEDIH TENTANG KEJATUHAN AGAMA
Orang-orang yang cintakan Allah, rasul dan agamaNya pasti akan bersedih apabila tersedar hakikat bahawa dakwah yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan susah payah dahulu, telah tercemar kesuciannya.
Islam yang susah payah nabi tegakkan dahulu itu pernah menjadi perhiasan dunia melalui kefahaman, keimanan dan amal harian yang membina dengan cara hidupnya. Dahulu, Umat Islam sangat berilmu, sangat memahami hal ehwal agamanya. Umat dahulu telah berakhlak mulia, sopan santun, sangat amanah, pemurah, berkasih sayang dan sangat prihatin. Ilmuan Islam sangat kreatif dan unggul di mata dunia.
Hari ini Islam tidak lagi menjadi perhiasan dunia. Ilmu Islam gagal memberikan kefahaman dan praktik yang murni, yang mampu mewujudkan suasana syurga yang sejahtera di rumah dan dalam sebuah negara. Umat Islam menjadi sangt ganas, berpecah belah, suka berperang, merusuh, tipu menipu, rampok merampok dan tidak berakhlak lagi.
Hari ini, Pemimpin Islam tidak lagi menunjukkan ciri keprihatinan mengikut acuan Islam, bukan lagi dipegang amanahnya oleh insan yang berjiwa rakyat dan prihatin. Perlantikan pemimpin tidak lagi dibuat oleh pihak atasan, melalui majlis syuro oleh pihak penguasa yang berdaulat dan tidak berkepentingan, tetapi dilantik melalui kaedah undi. Calun para pemimpin masing-masing berebut-rebut menawarkan diri, bahkan sanggup bermusuh dan melakukan perebutan kuasa. Ini semuanya sudah tidak Islamik lagi.
BAGAIMANA RUKUN ISLAM MENJADI TIANG, PENEGAK AGAMA
Daripada apa yang dikongsikan di atas, kita dapati pada hari ini Islam tidak lagi menjadi agama yang indah dan mampu mencipta bahagia dan kesejahteraan kepada penganutnya. Sedangkan orang yang membunuh diri kerana terlalu sakit akibat cedera dalam perang sahaja pun nabi larang, bakal hilang syahidnya, inikan pula yang terang-terang mengebom diri atas nama agama. Akibatnya Islam telah menjadi agama yang ditakuti, ibarat hantu yang menyeramkan, sehingga wujud fenomena Islamofobia.
Surah Al-Kahfi, ayat 7:
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai PERHIASAN baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik PERBUATANNYA.
Orang yang meneliti dengan mendalam situasi ini akan menyedari hakikat di atas dengan jelas. Kita akan nampak bagaimana amalan beragama kita saat ini secara umumnya tidak lagi termasuk dalam katagori AMAL SOLEH, amal yang menghasilkan ISLAH pembaharuan dan pembaikan kepada kehidupan kita.
Ukuran ‘AMAL’ pada kita adalah dalam bentuk ‘LAFAZ DAN KATA-KATA’ yang TIDAK DILAKSANA. Amal kita tidak memberi kesan nyata kerana kata-kata itu tidak diterjemahkan dalam bentuk ‘PERBUATAN’ atau ‘GERAK KERJA’. Kita lupa mengkaji apakah AKTUAL perlaksanaan di sebalik LAFAZ zikir-zikir dan bacaan quran kita, juga rahsia di sebalik RITUAL dari rukun bacaan dan rukun perbuatan dalam solat kita, juga AKTUAL dari RITUAL ibadah puasa, haji, syahadah dan zakat kita.
Hamba yang takutkan Allah dan rasulnya, yang sayangkan agamanya akan merasa sangat sedih dan menggeletar ketakutan apabila menyedari bahawa apa yang selama ini menjadi tabiat amalan kita itu sebenarnya satu kebencian yang sangat besar pada Allah.
Surah 61. Ash Saff,
2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.
Allah katakan bahawa “solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar”( QS:29/45). Tetapi hari ini banyak sekali golongan yang solat namun melakukan perbuatan keji sewenang-wenangnya. Ramai yang solat tidak lagi kerana Allah, bahkan ramai yang hanya untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Allah katakan “Jangan berbuat sesuatu tanpa ilmu” (QS:17/36), “Jangan kamu solat sehingga kamu tahu apa yang kamu perkatakan..” (QS:4/43) namun rata-rata dari kita masih tidak tahu makna apa yang kita baca dalam solat kita. Kita beramal seperti orang mabuk yang tidak tahu apa yang dikata dan dilakukan.
Banyak sudah kita lihat berita di media sosial di mana pak haji atau jemaah yang solat jumaat beratur di kedai 4 digit untuk membeli nombor ekor dengan berpakaian solat. Apabila sujud di masjid maka berterabur tiket nombor ekor jatuh bersama resit pajak gadai dari poket mereka. Ya mereka juga solat.
Banyak juga kes yang dirujuk kepada kami menggambarkan situasi yang lebih menyedihkan. Contohnya, apabila kawan tiba di halaman rumah untuk mengajak suami atau anak lelaki ke kelab malam, di mana arak, pil goyang, gadis GRO, girl friend dan segala sarana maksiat sedang menunggu, sang lelaki masih mampu jerit sampai didengar jiran meminta rakan menunggu sebab nak solat dulu.
Selain itu, banyak sekali kes dilapurkan di mana datok, bapa, ustaz, guru penolong kanan, pak imam, bilal, jawatan kuasa masjid, atau orang tua yang telah bergelar pak haji sekalipun melakukan jenayah pecah amanah, maksiat, zina dan sebagainya. Mereka itu semuanya solat, namun solat mereka tidak mampu mencegah kemungkaran dalam diri sendiri, apatah lagi untuk mencegah pihak lain?
TINDAKBALAS ALAM
Jika tadi berlaku tindakbalas di mana kita merasa sedih dengan berita kejatuhan ini, maka secara semula jadi orang yang merasa sedih itu menjadi golongan yang akan bangkit semangatnya untuk mengkaji dan meneliti, mencari jalan bagaimana untuk membangun agama semula.
Jika ilmu untuk menegakkan agama ini telah Allah berikan dalam kitab, juga telah Allah bimbing Rasulullah SAW menegakkannya dengan sempurna, pastinya ilmu ini masih boleh didapati di mana-mana. Allah tidak zalim untuk membiarkan hambaNya melakukan usaha untuk agamaNya tanpa dibekalkan dengan pertolongan petunjukNya.
Golongan yang merasa sedih ini juga yang merasa takut untuk menghadapi akibat yang amat perit dari apa yang dikaji dan diteliti jika usaha membangunkan agama tidak dilaksana. Seolah-olah siksa Allah itu dapat diperlihatkan di depan mata dengan jelas sekali di dunia ini lagi, apatah lagi di akhirat yang kekal abadi nanti.
Golongan ini jugalah yang akan merasa gementar dengan tanggung jawab untuk mengajak saudara mara bangkit berusaha keras untuk membangunkan semula agama yang telah dibinasakan oleh al-Dajjal durjana. Inilah golongan yang berakal dan ikhlas terhadap agamanya. Mereka membaca petunjuk, ayat halus yang berbentuk KALAM dalam kitab tuhannya dan membandingkan kesemuanya dengan ayat kasar yang berbentuk bainat / bukti ALAM dengan penuh hati-hati.
Ada pula golongan yang bertindak balas dalam bentuk sebaliknya.
Mereka ini Allah katakan tidak mahu berusaha untuk MEMBACA BUKTI ALAM yang Allah kemukakan melalui ayat halus dalam bentuk KALAM kitabnya. Mereka ini tidak boleh menerima hakikat berlakunya pusingan atau pergantian siang yang terang nyata, dengan malam yang gelap gelita (QS:3/191, 192).
Mereka juga tidak dapat menerima hakikat pusingan zaman di mana ada keperluan PUASA, zaman panas (ramadh), dimana umat bercelaru, hidup lintang pukang, saling bertelagah dan huru hara. Kemudian diturunkan alquran, malam LAILATULQADAR, manusia mendapat petunjuk dan di bulan Syawal bermaafan semula. Seterusnya, manusia meneruskan puasa, melalui Zulkaedah dan Zulhijjah untuk mendapat semula kaedah menyatupadukan manusia sebagai hujah besar tentang agama dalam ritual haji.
Harus juga diingat bahawa semua nabi terdahulu telah banyak kali menemui kebenaran, sesuai dengan tahap yang Allah izinkan di zaman mereka. Namun selepas beberapa ratus tahun, semuanya sirna dan kembali menjadi fahaman lama yang meluntur. Allah bahasakan situasi ini sebagai fahaman nenek moyang yang PIKUN atau NYANYUK.
Yang terdekat dengan kita ialah baginda Rasulullah SAW. Ayahanda baginda sudah bernama ABDULLAH, bermakna “Hamba Allah”. Amru bin Hisyam, nama asal Abu Jahal itu sendiri membayangkan maksud urusan/perintah/pemerintah. Begitu juga dengan nama-nama bercirikan Islam seperti Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman, Ali, Abu Tholib dan sebagainya. Mengapa Nabi SAW terpaksa susun semula keIslaman mereka?
Begitu juga halnya dengan Nabi Ibrahim a.s., Ismail a.s. yang telah Islam sejak dahulu. Musa a.s. majukan Islam melalui Taurat, namun kembali jatuh semula menjadi agama nenek moyang bani Israel ketika itu. Isa a.s. tegakkan Islam melalui Injil, juga jadi begitu. Kaabah sudah ada sebagai pertanda Islam sudah tersedia, namun akhirnya jatuh semula dimusnahkan Dajjal lalu nabi terpaksa hidupkan semula.
Untuk pedoman generasi kita pula, sebelum nabi SAW wafat, baginda turut berwasiat akan situasi yang sama yang bakal berlaku. Baginda katakan Syaitan dan Dajjal ini sudah ada sejak nabi Adam a.s. lagi. Mereka akan terus menguji kita sampai bila-bila. Nabi telah jelaskan tanda-tanda situasi di mana agama Ibrahim a.s., agama Islam warisan baginda kepada kita ini akan jatuh semula. Pesan baginda ialah agar kita bangkitkan semula dengan sarana ilmu yang diwariskan secara berjemaah bersama-sama.
Atas dasar ilmu yakin, ainul yakin dan haqqul yakin, maka pihak pertama akan merasa sedih jika apa yang mereka nampakkan kepada golongan kedua ini tidak diterima, sedangkan mereka itu adalah dari kalangan saudara mara mereka juga. Sepertimana kisah berulang yang berlaku pada para nabi dan rasul terdahulu, semua mereka bahkan bakal dikatakan gila dan dimusuhi pula.
KESIMPULAN
Berusahalah untuk mengembalikan keindahan cara hidup Islam yang Allah jadikan sebagai perhiasan dunia. Jadikanlah Islam dan umatnya sebagai utusan, sebagai pemerintah / khalifah atau wakil (wali) Allah yang memberi rahmat kepada manusia di muka bumi dan alam ini (QS:21/107).
Janganlah kita terlalu kecewa dan berhenti berusaha jika berita yang kita terima dan sampaikan kepada rakan taulan ini ditolak oleh mereka yang tidak percaya. Jika kita kecewa dan berhenti berusaha, maka kita juga akan turut binasa seperti mereka yang tidak percaya, tidak beriman dengan apa yang Allah ancamkan ini. Lebih malang lagi bila nikmat ilmu dan furqon yang Allah kurniakan ini akan ditarik balik dari kita, bahkan kita bakal dilaknat dan disumpah Allah kerana tidak melaksanakan hidayah dariNya.
KUDAP JUMAAT – RAHSIA AL-KAHFI
Warga Prihatin