FENOMENA KEROSAKAN ALAM DAN KEPERLUAN MEMULIHKANNYA
FENOMENA KEROSAKAN ALAM DAN KEPERLUAN MEMULIHKANNYA
Antara hasil pemerhatian “Program Sekolah Alam” di sepanjang “Kembara Baling” baru-baru ini mendapati memang benar apa yang Allah kata. Terlalu banyak kerosakan alam berlaku dan dapat dilihat sepanjang perjalanan itu.
Beberapa tempat perhentian yang kami singgahi mendapati longgokan sampah sarap sisa makanan dan bekas bungkusan makanan di sana sini (rujuk gambar di album berkaitan). Sesetengahnya berbau sangat hancing di sana-sini, walaupun zahirnya prasarana yang disediakan kelihatan lengkap dan canggih.
Anak sungai di belakang rumah yang kami ziarahi mengalirkan air segar dari atas bukit di Lata Bayu yang sangat tercemar. Pelbagai sampah sarap berupa botol-botol minuman, polisterin dan plastik bungkusan makanan, pampers bernajis dan kain-kain buruk tersangkut di tebing dan celah-celah rumpun buluh.
Di mana sahaja kami pergi, inilah fenomena yang kami temui tentang pencemaran alam dan sungai. Di Melaka, anak sungai yang tidak melalui penempatan manusia pula telah dicemari dengan keladak lumpur dan daun kayu hanyut kerana tanah bukit telah ditarah dan pohon tutup bumi sudah tiada. Sebelum boleh mandi manda, kami terpaksa ajak anak-anak berkerjasama membersihkan sungai tersebut terlebih dahulu.
Air yang turun dari langit dan yang terkumpul dari rembesan celah batu itu kesemuanya bersih dan suci belaka. Sepanjang perjalanan turun dari bukit dan gunung, ia membentuk lata dan air terjun yang menjadi kegemaran manusia untuk berkelah dan mandi manda. Mereka sukakan suasana itu kerana airnya bersih dan segar.
Malangnya manusia juga yang tidak tahu mensyukuri nikmat tuhannya lalu membuatkan ia binasa. Semua yang datang berkelah meninggalkan pelbagai sisa kotoran yang menjijikkan. Akhirnya Lata bayu mengalami wabak kencing tikus dan ditutup oleh pihak berkuasa. Ini semua akibat rosaknya akhlak manusia.
Sepanjang laluan sungai dari Lata Bayu sehingga ke rumah tempat kami ziarah terdapat beberapa perkampungan. Tidak dapat dipastikan berapa banyak rumah-rumah di sepanjang sungai tersebut, namun yang nyata jelas kekotoran yang disebutkan tadi adalah dari sisa buangan manusia.
Walaupun telah kami bersihkan anak sungai yang sangat kotor itu sebelum mengizinkan anak-anak mandi manda, namun ia tetap mengumpul kotoran yang dialirkan dari hulu atau mungkin dari bukit Lata Bayu itu sendiri. Kerana itu, walaupun airnya sangat sejuk dan segar, namun kebersihannya jelas tidak terjamin. Badan menjadi lekit, gatal dan perlu di bilas dengan sabun dan air bersih. Ini tidak lagi menggambarkan kebaikan air sungai yang sebenarnya. Untuk memulihkan kesuciannya kita tiada pilihan, ia harus dibersihkan dari hulu dan atas bukit lagi.
Ini semuanya memperlihatkan kerosakan alam sekitar hasil perbuatan tangan-tangan manusia. Segala sarana alam semulajadi itu sudah tidak dihargai sama sekali. Manusia sewenang-wenang mencemarkan hazanah alam itu sehingga ia tidak lagi dapat dimanafaatkan dengan baik seperti sebelumnya.
SUNGAI SEBAGAI ANALOGI ALIRAN ILMU
Sebelum ini telah banyak kali kami kongsikan analogi air dan Ilmu. Kedua-duanya bersifat mengalir, menyucikan dan memberikan kehidupan. Kerana itu, setiap kali Allah memperkatakan tentang syurga, pasti Allah kaitkan dengan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Selain dari sumber air hujan yang segar, air sungai juga berpunca dari rembesan yang keluar dari celah-celah batu di atas gunung.
Dalam soal agama, Allah manualkan aturan kehidupan manusia dan untuk memperbaiki akhlak mereka. Sumber asal manual yang berupa wahyu itu datangnya dari langit. Ia dikumpul dan dirembeskan oleh para rasul, khalifah dan ulil-amri di atas sana. Semuanya amat bersih dan jernih dari punca asalnya.
Malangnya pencemaran berlaku sewaktu ia mengalir ke bawah membentuk sungai dan menuju ke hilir. Air yang tadinya JERNIH selalunya akan berubah menjadi KERUH apabila melalui kawasan bumi yang telah dirosak manusia. Yang tadinya BERSIH telah menjadi KOTOR, bercampur najis dan sampah sarap apabila melalui penempatan manusia yang TIDAK BERAKHLAK. Apabila sampai ke lautan manusia, air yang bersih, jernih dan segar tadi langsung berubah menjadi MASIN yang kekal, perlu dituras semula sebelum kita dapat meminum dan menggunakannya.
Kita semua telah membaca sejarah dan tahu betapa gemilang dan murninya agama kita sebelum ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Namun sepeninggalan Baginda berbagai-bagai gejala telah berlaku, samada berpunca dari luar mahupun dari dalam kalangan kita. Ratusan ribu umat Islam dibunuh begitu sahaja akibat perang saudara, Jamal dan Siffin belum lama selepas zaman baginda. Sahabat dan ahli keluarga Baginda SAW sendiri turut dibunuh. Demikian akibat dari kelalaian dan kerakusan manusia yang telah baginda didik akhlaknya.
Kini lebih teruk lagi. Islam yang seharusnya bersatu dengan satu faham menjadi berfirqah-firqah. Allah yang seharusnya menjadi satu-satunya sembahan menjadi beranak-pinak sembahannya. Sungai ilmu telah bercabang-cabang dan bersimpang siur. Islam yang syumul, indah berakhlak telah kelihatan amat menakutkan manusia dan membosankan pengikutnya. Kejadian murtad, jenayah, maksiat berleluasa.
Sewaktu solat di surau depan rumah di kampung itu, anak-anak memerhatikan satu fenomena yang amat pelik dan tidak Islamik sama sekali. Kami solat di surau yang terdekat. Tuan rumah pergi ke surau yang satu lagi, selang beberapa buah rumah jaraknya, melintasi depan surau terdekat yang kami singgahi. Semuanya kerana kedua-dua surau yang berjiran itu dikuasai oleh berlainan parti yang memisah ibarat minyak dengan air. Sudah Islamkah? Masih Islamkah kita sebenarnya?
KESIMPULAN
Kami telah menjawab apa yang ditanya oleh anak-anak kami setelah melihat fenomena ini. Selebihnya kami tinggalkan untuk kita fikirkan bersama. Kami tidak mahu bercakap soal politik, namun kami tidak boleh mengelak untuk tidak mengaitkannya dengan agama kerana itu pedoman hidup kita. Sekolah Alam membaca ayat kasar dari ayat halusnya, menampakkan, membenarkan fenomena alam, bahawasanya ia SEPADAN dengan apa yang dinyatakan oleh kalam yang Maha Pencipta.
Apa yang telah dirosak manusia harus dikaji semula apa sahaja punca dan bahan yang mencemarkannya sedari mula dan sepanjang perjalanannya. Ini satu tugas yang tidak mudah dan bakal memakan masa. Ini satu keperluan yang amat memerlukan kesabaran dan ketekunan. Semuga perkongsian bainat ini mampu sedikit sebanyak menyedarkan kita untuk mensyukuri dan memelihara hazanah alam pemberian Pencipta.
ALHAMDULILLAH ROBBIL AALAMIN – Segala puji bagi Allah, pengatur alam.
Kudap hujung minggu
WARGA PRIHATIN