Pelajar Wanita Islam Bertudung Bersukan Memakai Seluar Pendek Dikecam

PAS Kecam Pelajar Wanita Memakai Seluar Pendek Dalam Acara Sukan

Published on Tuesday, 10 March 2015 16:20

Gambar : FMTGambar : FMTPETALING JAYA: Tindakan sebuah sekolah di Johor yang memaksa pelajar perempuan yang beragama Islam memakai seluar pendek dalam acara sukan lumba jalan kaki dikecam Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.

Suhaizat berkata, tindakan memaksa pelajar wanita memakai seluar pendek adalah tidak wajar kerana perbuatan itu menyebabkan pelajar terbabit mendedahkan aurat di khalayak.

“Walaupun dalam peraturan acara lumba jalan kaki pengadil perlu melihat lutut peserta untuk membezakan di antara jalan kaki atau berlari, tetapi bukan dnegan cara meminta peserta memakai seluar pendek. Ini sama sekali bertentangan dengan syariat Islam khususnya bagi peserta perempuan Muslim,” katanya ketika dihubungi oleh FMT.

Tegasnya, Pihak Kementerian Pendidikan perlu memantau dan mengambil perhatian serius terhadap peraturan tersebut.

Justeru, beliau mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan memberi pilihan untuk memakai seluar set lengkap jenis ‘tight’ yang berwarna gelap demi memastikan pelajar perempuan Islam sentiasa menutup aurat walaupun dalam acara sukan.

“Saya telah meminta Ketua Pemuda PAS Johor untuk menyiasat perkara tersebut dan jika benar, saya mahu Pemuda PAS Johor mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kulai Jaya, Johor pada kadar segera untuk membuat teguran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata beliau berasa terkilan dengan kejadian tersebut,

“Dalam keadaan kita sebut negara Islam dan sebagainya, perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku. Jika benar perkara itu berlaku, pihak Kementerian Pendidikan perlu memperhalusi peraturan sukan tersebut,” katanya ketika dihubungi oleh pemberita.

Jelasnya lagi, pelajar perempuan itu tidak boleh dipersalahkan kerana mungkin memang peraturan sukan tersebut yang memerlukannya berpakaian sebegitu.

“Namun kita sangat kesal dengan kejadian itu lebih lagi pelajar tersebut memakai tudung dengan seluar pendek dan ini jelas tidak manis untuk dipandang.

“Buat masa ini kita sedang menyiasat dan jika benar satu pertemuan dengan PPD Kulai Jaya dan sekolah tersebut perlu dilakukan bagi menegur perbuatan tersebut,” ujarnya.