Parenting tips 16 : Bagaimana Membentuk AKIL BALIGH Anak
Sekumpulan pelawat dari Putrajaya mewakili sebuah jabatan tertinggi kerajaan bertanya sukarelawan kami, siapakah yang selama ini menulis artikel RPWP yang tidak putus putus. Penulis lain mengambil masa berminggu atau berbulan-bulan untuk mengeluarkan satu artikel berat. Prihatin boleh istiqomah mengeluarkan artikel SETIAP HARI. Kebetulan seorang anak berusia 14 tahun melintas dan kami terus tanyakan depan beliau,
“Hani tulis artikel apa hari ini?”
Beliau terkejut bila soalan itu dijawab spontan oleh Hani menyatakan tajuk artikel yang baru beliau post di laman kumpulan (group FB) kami.
Selama ini anda mungkin perasan ada pembaca yang bertalu-talu bertanya di ruang komen siapakah yang menulis di Page dan Blog Warga Prihatin. Ada juga yang bertanya melalui mesej dan email. Bahkan ramai yang datang sendiri hanya ingin berjumpa dengan penulis. Ada yang ingin mengucapkan terima kasih dan inginkan penjelasan lanjut. Ada juga yang bertanya untuk meminta izin menerbitkan KITAB, ada yang meminta kerjasama membuat motivasi. Tidak kurang juga yang berniat ingin mencari kelemahan penulis secara peribadi. Macam macam ada…!!
Ketahuilah pembaca yang dikasihi. Di Prihatin, kami satukan harta kami, tenaga, makan pakai bahkan buah fikiran kami. Setiap orang, termasuk anak 10 tahun diWAJIBKAN membaca seluruh terjemahan Quran minima 3 kali ulang dan mencari sebanyak mungkin hadis yang boleh dikaitkan dengan perlaksanaan wahyu secara lansung. Seumur Nurhani, 14 tahun sudah hampir 4 kami ulang baca Quran dengan minat sendiri. Apa saja yang kami lakukan adalah atas dasar KAMI bukan AKU, NAHNIAH bukan ANANIAH. Jika anda mencari peribadi di Prihatin, anda tidak mungkin berjumpa kerana apa saja yang kami lakukan semuanya atas nama institusi penyelidikan dan bukan atas dasar peribadi.
Mudahnya hari ini ingin kami umumkan bahawa kebanyakan artikel kami adalah hasil tulisan anak-anak didik kami sendiri. Cuma selama ini kami pilih dan kami perbaiki artikel mereka untuk disesuaikan dengan pemikiran orang dewasa.
Selepas ini, kami telah putuskan untuk turut memaparkan terus beberapa artikel terpilih dari anak anak kami secara langsung dan menamakan ia dengan sub-jenama
“Cetusan Zamzam Anak Prihatin”.
Ya, sekarang ni musim haji bukan? Zikir dan fikirkan bagaimana secara Mutasyabihat Allah yang ghaib telah tunjukkan aliran air yang tidak putus-putus dari usaha seorang anak, Ismail a.s. yang datang dari institusi Bapa, Ibrahim a.s. yang serius mencari dan mematuhi perintah Tuhannya dan institusi ibu, Siti Hajar yang merendah patuh dan bersungguh-sungguh berlari-lari ke sana ke mari mencari air untuk anaknya.
FALSAFAH DI SEBALIK AKIL BALIGH
AKIL adalah BERAKAL dan BALIGH ialah MENYAMPAIKAN. Salah satu kepastian yang anak kita sudah berakal ialah mereka mampu menyampaikan apa yang ada dalam minda mereka.
Dalam alQuran, banyak Allah nyatakan ciri syurga di mana
• Dalam syurga mereka saling “tanya menanya”,
• Tiada “perkataan yang sia-sia” dalam syurga,
• Ada sungai yang mengalir,
• Ada minuman dari buah terperam, mengasyikkan tetapi tidak memabukkan ,
• Ada berbagai buah buahan yang kita inginkan.
• Ada anak-anak yang belum pernah disentuh manusia
• Ada isteri, bidadari yang `bermata jeli’, bukan bermata `jegeh’
• Dan macam macam lagi.
Nabi S.A.W. sabdakan bahawa taman syurga ialah majlis ilmu. Orang yang berilmu akan kuat keyakinan, tepat tindakannya, teratur hidupnya dan tenang jiwanya. Ini kerana mereka ini ada rujukan yang tepat dalam segenap hal dan kerjabuat mereka.
Oleh itu kami juga simpulkan bahawa unsur terbaik yang menghasilkan syurga ialah ilmu. “Code breaking” dari kesemua contoh syurga di atas adalah ILMU, yang bersifat seperti air mengalir seperti sungai, buah fikir yang terperam menjadi minuman yang lazat mengasyikkan tapi tidak memabukkan. Buah adalah Buah fikiran apa saja yang kita inginkan. Tanya menanya adalah sarana pengaliran ilmu. Sentuhan manusia yang merosakkan anak kita juga kerana kesilapan memberi ilmu. Isteri berilmu jugalah yang akan bermata `jeli’, bukan yang bermata `jegeh’, akibat jahil lalu bertabiat seperti isteri jahiliah.
PERANAN PROSES IQRA’ & PEMBANGUNAN AKAL
Ayat pertama al-Quran dalam surah al-Alaq adalah IQRA’, iaitu bacaan strategik dari hasil pemerhatian keadaan sekitar. Iqra’ adalah proses pembangunan minda yang unik dan panjang. Ia melibatkan pemprosesan akal serta hati dari apa yang di dengar dan dilihat.
Di Prihatin, anak-anak dibawa mengembara sekali sekala. Mereka kerap bermajlis untuk memerhatikan gelagat manusia dan alam sekitar. Mereka juga digalakkan berada bersama-sama syuro mingguan ibu-ibu bagi anak nisak (perempuan) dan syuro bapa-bapa bagi anak rijal (lelaki). Ini untuk mendedahkan mereka dengan kedewasaan gaya fikir, juga menampakkan misi dan visi Warga Prihatin sebagai sumber inspirasi mereka.
Anak-anak juga digalakkan mengulas apa yang diajar di sekolah oleh para guru dan pelbagai ceramah para ustaz di masjid, apa yang didengar dari rakan sekelas, dari berita semasa di akhbar, TV, Astro, Filem dan muzik atau nasyid pilihan, juga pelbagai isu hangat di laman sosial yang dibenarkan.
Di samping itu, anak-anak juga digalakkan memerhati kerjabuat ibu-ibu bagi anak nisa’ dan bapa-bapa bagi anak rijal. Ini untuk membiasakan mereka dengan kemahiran tangan dan membina kreativiti dan `sense of ingineering, architecture and arts’. Segala penggunaan peralatan dan jentera juga kami dedahkan penggunaannya kepada mereka. Ini semua adalah proses membuka minda dan akal untuk mereka.
KREATIVITI KERJA, BERSOAL JAWAB, PEMENTASAN, PIDATO & PENULISAN – MELATIH PENYAMPAIAN (BALIGH).
Hari ini anak-anak Prihatin berganti generasi mampu mengurus sepenuhnya PA System, alatan musik, kompang, komputer dan sebagainya. Baik pulih gejet elektronik, basikal, motosikal telah bermula awal. Anak-anak yang remaja sangat cepat mampu mengendalikan jentera berat dan peralatan canggih dalam industri pertukangan dan pembinaan di RPWP sendiri.
Sebagaimana kesemua pendokong RPWP bersatu hati dan satu faham, hampir semua yang telah berprogram atau bertemuramah dengan anak-anak kami juga sepakat mengatakan kesemua anak-anak kami mempunyai minda fikir yang sama. Mereka seolah-olah kehairanan kerana apa saja soalan yang diajukan kepada mana-mana Warga Prihatin akan mendapat jawapan yang senada.
BAGAIMANA INI BOLEH TERJADI?
Ini kerana mereka semua digalakkan duduk bersama dan ikut membincangkan apa saja tanpa had. Anak-anak sekecil 5 tahun sudah ikut berhujah dalam syuro bersama abang dan kakak mereka. Seawal 7-10 tahun sudah didedahkan dengan syuro bersama para ibu dan para bapa. Sebesar 10-14 tahun sudah dilatih untuk memimpin dan melalui proses membuat keputusan dan mengajukan cadangan. Selepas SPM, mereka sudah diberikan tanggungjawab dan tugasan kerja di bawah bimbingan. Hasilnya mereka mampu mandiri untuk mengurus diri dan mengendalikan tugas semasa di universiti.
Sekali sekala memang kami sengaja minta pendapat mereka. Selain dari pendapat untuk mengulas isu semasa, ia juga meliputi hal hal teknikal sewaktu melaksanakan kerja gotong royong. Sesekali kami mengalah, membatalkan cadangan kami dan ikut cadangan mereka. Sebab itu mereka sangat kreatif dan kuat bekerja.
Aktiviti pentas mingguan, kelas kelas pidato khusus sangat membantu. Di samping menyuarakan pendapat dalam syuro harian di kalangan mereka, kami juga turut melatih mereka menyampaikan cadangan dari apa yang telah diproses oleh akal mereka.
JIKA WAHYU PERTAMA MENITIKBERATKAN PROSES “IQRA’”. MAKA SURAH KEDUA MERUJUK PULA KEPADA PENULISAN, SURAH “AL-QALAM”.
Oleh itu, bidang penulisan adalah satu proses latihan penyampaian yang memang telah kami lakukan sejak dulu lagi. Dari situlah kami dapat mengenalpasti apa yang ada dalam minda mereka.
Pendedahan inilah menjadi proses yang mematangkan akal dan melancarkan penyampaian yang terbit secara lansung dari dalam hati anak-anak. Kerana itulah apabila Setia usaha Politik meminta teks anak-anak kami yang berhajat untuk membacakan doa bila bertemu dengan YAB Perdana Menteri baru baru ini, spontan mereka kata tiada teks kerana mereka akan membacakan isi doa langsung dari akal dan hati mereka.
Inilah sunnah yang telah dilalui oleh para Nabi Alaihissalam, iaitu pendedahan akal sejak kecil. Antaranya sepertimana Musa yang belajar hasil usaha Asiah, Syuaib dan Hidir. Isa dengan ibunya Mariam. Sulaiman dengan ayahnya Daud, Ismail dengan Ibrahim dan Siti Hajar, Muhammad S.A.W yang terdidik oleh ibunya Aminah (yang dibentuk oleh ayahnya Abdullah) dan ibu angkatnya Halimah, juga dari Ninda dan Bapa saudaranya. Begitu juga dengan rahsia kegemilangan Sultan Ahmed Al-Fateh dengan bapa dan Sheikh nya. Semuanya mampu jadi hebat untuk melaksana kerana mendapat pendedahan dan latihan amali sejak kecil lagi.
Kesimpulannya – dedahkanlah anak kita dengan sebanyak mungkin input yang berfaedah. Ikut susunan langkah pendidikan yang sangat cantik dari Allah melalui tertib NUZUL QURAN. AKIL dari hasil Iqra tentang penciptaan dan tabiat manusia harus disahkan dengan BALIGH melalui proses Al-Qolam (penulisan). Ini akan menghasilkan pengembangan ilmu yang positif dan bakal melahirkan generasi yang mempunyai pola fikir yang sangat bagus. Bersoal jawablah dengan anak secara istiqomah untuk memupuk dan mengukur kematangan “Akil dan Baligh” mereka.
Kudap-kudap
WARGA PRIHATIN.