Parenting Tidbits 14: Bagimana Mengelak Musibah Keluarga

0 MUSIBAHParenting Tidbits 14: Bagimana Mengelak Musibah Keluarga

Parenting Tips pagi ini mengajak ibu bapa merujuk kepada kes kes kecuaian yang FATAL terhadap anak-anak. Kita semua sedih dan bersimpati. Kita ucapkan takziah pada keluarga yang terlibat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semakin kita sibuk mengejar dunia, semakin banyak gajet canggih yang kita ada, semakin banyak perkara yang melalaikan kita. Anak isteri juga jadi mangsa.

BERTAWAKKAL DENGAN BISMILLAH

Hidup ini Allah bekalkan dengan sistem dan aturanNya untuk menyelamatkan kita. Itu Allah nobatkan sebagai satu nama khas, itulah nama ALLAH. Itulah al-ilah, satu-satunya sembahan. ATURAN itulah asas “Bismillah’. Berbeza dengan BismiAna bila kita berbuat atas nama kita, BismiSyaitan dan seumpamanya.

Dengan Basmallah dan aturan Allah itu kita harus WAKILkan dan sandarkan kerjabuat kita. Maksudnya kita ikut saja aturan yang telah ditetapkan itu dalam kehidupan harian. Itulah asas berTAWAKAL dengan aturan Allah sebelum melakukan apa saja.

Itulah lafaz “Bismillahi tawakkalna ‘ala Allah – Dengan Nama Allah, bertawakkal aku kepada Allah”. Itulah ibu segala niat dan sandaran apa saja kerjabuat harian kita yang Allah dan Rasul ajarkan. “Barang siapa yang mengerjakan amal baik (apatah lagi yang tidak baik) tanpa diawali dengan Bismillah, pasti akan tertolak”, itu pesan Nabi.

Kesemua aturan itu telah dituliskan dan tetapkan dalam kitab. Ya, Itulah yang sudah tetap dan menjadi ketetapan kitab. Kita tiada pilihan. Itulah jalan hidup yang harus kita ikuti secara istiqomah. Itulah titian ke syurga hidup kita hari hari, itulah hidayah Allah berupa SIROOTOLMUSTAQIM yang kita minta 17x sehari.

BAGAIMANA ALLAH MENETAPKAN NASIB, QADHA’ & QADAR?

“LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAH.”
“Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah”. Tapi bagaimana?

KEKUATAN kita datang dari kefahaman tentang kaedah kerjabuat yang tepat, yang merujuk kepada semua aturan yang telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Bijaksana dengan cukup HAUL atau jumlahnya, dalam apa saja kerjabuat kita.

Kekuatan dan kejayaan itu juga adalah KETETAPAN yang telah dijanjikan Allah, yang PASTI akan Allah berikan, secara tunai atau tangguh. Itulah sains di sebalik QADHA’. Satu yang PASTI & TETAP akan terjadi.

QADAR pula itu adalah ukuran jumlah (haul) dan masa (asr). Ia merujuk kepada SEBANYAK MANA, setepat mana kita mendapat hidayah dan petunjuk itu, sejauh mana pula kita yakin dan mampu melaksanakannya dengan tepat, sabar dan istiqomah.

NASIB kita telah ditetapkan berdasarkan ketetapan itu, yang telah Allah tetapkan sebelum kita dilahirkan lagi.

BAGAIMANA NASIB BAIK & BURUK KITA DITETAPKAN?

Jika CUKUP QADAR tabiat kita yang sentiasa enggan, ingkar atau selalu mendustakan ketetapan ALLAH itu,  QADHA’ menetapkan pasti akan berlaku salah laku. Pasti hidup kita akan haru biru. Banyaklah musibah berlaku bertalu-talu. Hujungnya kita akan tergelincir dan terhumban jatuh ke dalam kesengsaraan neraka.

Begitulah juga kaedah NASIB BAIK kita ditetapkan Allah. Jika kita istiqomah meniti titian (jalan hidup) yang Allah hidayahkan itu, InsyaAllah kita akan sampai juga ke syurga. Akan kita dapat semua hasil baik dari apa yang Allah janjikan.

Allah tidak akan MENGUBAH NASIB kaum, melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Bagaimana? Iaitu dengan melaksanakan hidayah, petunjuk, aturan kehidupan yang selamat dan telah sekian lama Allah berikan, yang sekian lama kita abaikan. Perlaksanaan yang betul dari petunjuk yang betul itulah yang mengubah nasib kita. Bukan sekadar baca petunjuk tanpa memahaminya atas sejadah saja dan mengharapkan Allah melakukan segalanya untuk kita, tanpa berusaha..!

APPLIED SAINS BAGAIMANA MENELITI MUSIBAH

Bila berlaku musibah, Allah ajar agar kita baca “Qul-Innalillahi Wainna Ilaihiroojiuun”- (Katakanlah sesungguhnya bagi Allah (yang menetapkan musibah itu)  dan sesungguhnya kepada Allah kembali segala RUJUKAN (sebab musabab musibah berlaku)”).

Allah katakan “Setiap keburukan itu adalah hasil perbuatan tangan tangan kamu sendiri”. Setiap yang berlaku pasti ada sebab, pasti ada rujukan yang harus kita cari. Dengan mengenalpasti rujukan penyebab kepada musibah itu kita akan mengakui itu kesilapan diri kita sendiri. Kita akan redha dan tenang, tidak prejudis terhadap ketentuan Allah. Yang penting ialah kita mampu mengambil hikmah besar, iaitu pelajaran dan tauladan dari setiap musibah dan berhati-hati untuk mengelakkannya dari berulang.

Pesan Rasulullah SAW, Tidak Islah, tidak Islam orang yang melakukan kesalahan yang sama 2x, atau yang dipatuk ular 2x di lubang yang sama, yang hari ini tidak lebih baik dari semalam (apatah lagi jika jadi semakin buruk) dan banyak lagi pesanan-pesanan yang seumpamanya.

SOLAT YANG KHUSYUK MENCEGAH KEJI DAN MUNKAR

Dalam solat, Allah wajibkan kita baca surah-surah alquran. Banyak pedoman dan aturan yang Allah ajarkan dalam alquran yang harus kita patuhi supaya kita selamat. Tapi kebnyakkan tidak minat baca Quran dan memahaminya. Ramai juga yang tidak mahu solat, atau tidak mahu cuba memahami bacaan dalam solat. Kerana itu Allah perintahkan agar kita “Jangan berbuat sesuatu tanpa ilmu” (QS: 17:36). Bahkan Allah katakan “Jangan solat sehingga kita tahu apa yang kita ucapkan” (QS: 4:43).

Zaman di mana kita suka-suka ambil mudah nasihat Allah sudah berlalu. Zaman untuk kita beribadah hanya semata-mata mengharapkan pahala berupa angan-angan kosong, ibarat mencari upah dari “ibadah seorang saudagar” perlu segera diubah. Ini zaman maklumat dan teknologi maklumat. Tanpa kefahaman yang mendalam, anak-anak kita tidak akan kekal berada dalam Islam dan mudah dipesongkan. Amalan tanpa ilmu tidak akan menikmati hasil yang baik, akan sia-sia dan merugikan.

ATURAN ALLAH MENJAUHI MUSIBAH KELUARGA

Sebelum ini kami ada ceritakan pasal fenomena mengenal “tanda-tanda” bakal berlakunya kecelakaan. Tanda-tanda yang tidak dipedulikan. Kelalaian akan mengakibatkan kecelakaan. Itu satu dari rujukan yang banyak Allah nukilkan dalam alquran. Kerana itu Allah minta kita baca Fatihah dan surah Quran dalam solat kerana itu cara Allah mentarbiah kita untuk sejahtera menjalani hidup.

Firman Allah, antaranya,

“Celakalah orang yang solat, yang lalai dalam solatnya, yang berbuat riya’. Enggan barang berguna”.  Hazanah paling berguna dari Allah ialah ATURAN hidup.
“Solat itu mencegah dari perbuatan keji dan munkar”.
“Dan minta tolonglah dengan sabar dan solat”.

Kehebatan Allah adalah pada Kebijaksanaan, pada Ilmu dan Wahyu PENGATURAN alamNya. Semua itu dihadiahkan kepada kita melalui Rasulullah SAW yang turut menunjukkan bagaimana ia harus dilaksanakan. Kerana itu kita disuruh selalu menghubungkan diri dengan Sunnah baginda melalui penelitian Hadis baginda. Itulah hakikat “Selawat ke atas Nabi”(yang juga dari kata pokok yang sama, iaitu PERHUBUNGAN – SILAH, SOLAH, SOLAWAT).

Jika kita solat tanpa memahami apa yang kita baca, maka solat itu tidak akan mampu mendidik kita untuk hidup dengan peraturan yang telah Allah jelaskan dalam alQuran. Jika itu yang kita amalkan selama ini, maka fadhilat ilmu, faham dan memperoleh petunjuk dalam solat tidak akan kita perolehi. Oleh itu solat tidak akan mampu menolong kita. Sebab PETUNJUK itulah bentuk pertolongan yang ingin Allah berikan. Dengan melaksanakan petunjuk itulah kita akan selamat.

APA ITU HAKIKAT PAHALA DALAM SOLAT?

Allah ceritakan di dalam syurga, tiada perkataan yang sia-sia. Majlis ilmu adalah taman-taman syurga. Jadi fadhilat atau kebaikan dari solat ialah kefahaman atau ilmu (alim, maklumat) dari apa yang kita baca di dalamnya. Solat dengan kefahaman yang khusyuk sebanyak 5x sehari juga mampu mengingatkan kita untuk istiqomah MELAKSANA apa yang kita baca. Dari kefahaman dan kepatuhan (rukuk dan sujud) itu kita mampu memperbaiki diri. InsyaAllah setelah sempurna mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW dan Ibrahim a.s. dan ahli KELUARGA mereka (wa’ala ali Ibrohiim) kita akan mendapat SALAM (sejahtera). Itulah juga sains di sebalik konsep Selawat dalam tahiyat awal dan akhir.

Itulah solat yang menghasilkan amal SOLEH, iaitu amal yang membawa pembaikan (ISLAH) hari demi hari. Itulah solat yang mampu mencegah dari perbuatan keji dan munkar. Itulah yang membawa kita kepada kejayaan (al-falah) yang hakiki dalam pembentukan KELUARGA.

CONTOH RUJUKAN MUSIBAH KELUARGA

KES IBU YANG MENINGGALKAN ANAK DALAM KERETA UNTUK BERMESYUARAT.

Rujukan yang harus kita ambil ialah, Allah arahkan agar isteri tetap di rumah, menjaga rumahtangga, anak-anak dan suami. Itulah JIHAD ISTERI. Tapi kini kebanyakan isteri bekerja. Ada yang kerja kerana ingin kaya dan berkerjaya. Ada yang kerja kerana membantu pendapatan keluarga. Selain dari fitnah anak terabai kerana cuai, juga didera amah dengan cara yang berbagai-bagai. Isteri juga tidak terlepas dari fitnah Nusyuz dan gangguan seksual berbagai rupa. Kisah suami yang digoda dan meniduri maid juga sudah sangat biasa. Hasilnya NERAKA.

Rujukan juga Allah berikan agar suami jadi pemimpin, pelindung kepada isteri. Suami harus kerja keras dan mencari jalan untuk memenuhi nafkah keluarga, itulah JIHAD SUAMI. Jika kita terpaksa kerana tidak mampu mendapatkan harta yang banyak dan isteri tetap mahu mematuhi arahan Allah, maka jalan keluar ialah berpuasa & berjimat cermat. Hidup sederhana dan redha dengan apa yang ada. InsyaAllah rezki yang sedikit akan jadi berkat dan keluarga akan selamat.

GODAAN TEKNOLOGI DAN MENCARI POPULARITI

Hari ini semua keluarga ada kereta. Banyak video kita lihat adanya ibu bapa yang bangga bila anak boleh pandu kereta seumur 7 tahun. MHI TV3 pagi ini kata ada anak darjah 1 yang memandu kereta bapa sampai ke Tol selamba saja.

Anak-anak sekolah rendah di kampung, taman dan felda merempit motor abang dan bapa tanpa soal. Jangankan lesen, helmet pun tak pakai. Kerana dibiarkan itu, maka ada anak 15 tahun yang ditembak polis jam 2 pagi memandu proton dengan curi-curi. Tak pasal-pasal Polis pula yang dimaki. Kalau anak di rotan di sekolah Cikgu pula yang kena caci. Di mana peranan dan kesedaran ibu bapa? Mengapa biarkan anak seumur itu berkeliaran di awal pagi begitu? Itulah fenomena  sekarang, jari yang satu itu sentiasa menuding pada orang. Kita lupa yang 3 lagi menuding ke belakang.

Kini, Anak-anak dibelikan gajet berbagai rupa. Dengan gajet itu anak lupa menghormati tamu dan orang tua, anak lupa menolong ibu, anak juga sudah hilang malu. Dalam bilik anak guna smart phone ambil gambar bogel, rakam video telanjang hantar pada jantan. Tahu tahu satu dunia gambar anak kita sudah beredar. Kalau sudah berani bogel di kamera, pasti berani serah diri bila berjumpa. Belum cukup banyakkah? belum cukup ngeri lagikah dengan berita dan wawancara pengakuan terbuka yang dipaparkan di tv dan akhbar? Termasuk apa yang keluar dalam “Wanita Hari Ini” pagi tadi? Belum cukup ngerikan ratusan ribu kes buang bayi? Bersepah video lucah anak isteri di sana sini?

Terlalu banyak untuk di tulis semua, kerana jika semuanya kami suap, anda tidak akan ada kemahuan untuk cari dan fikir sendiri, guna akal dan muhasabah situasi keluarga dengan pendengaran, pengelihatan dan hati, dengan akal yang Allah beri.

Ingatlah, kelalaian membawa celaka. Semua musibah itu berawal dengan banyak tanda. Kita harus peka dan sensitif membaca tanda. Ada tabiat yang wajar(patut), ada pula yang tidak sesuai untuk seorang anak. Jangan berbangga dengan kepandaian anak, yang belum waktunya tanpa berfikir panjang. Adakalanya ia bagus, adakalanya ia membawa musibah.

Rujuk kepada artikel BEDUNG semalam. Tidak salah kita bedung anak walaupun ia sudah pandai meronta. Tidak salah kita halang anak walaupun dia sudah pandai bawa motor dan kereta seawal usia. Kerana jika kita tidak mematuhi ketetapan TABIAT yang wajar untuk seorang anak, kita akan lihat anak buang tabiat (berperangai pelik). BUANG TABIAT itu biasanya orang tua tua kaitkan dengan musibah atau maut.

Kami yakin anda boleh sambung zikir dan buah fikir ini untuk melengkapkannya, khasnya merujuk kepada SITUASI keluarga anda sendiri. lain keluarga lain masalahnya, tapi semua itu telah Allah beri cara mengatasinya.

Contohnya jika anak buas dan mungkin kerana kelalaian isteri mendidik akibat kesibukan kerja, atau amah mungkin tidak mampu menjaga, apa lagi jika isteri agak gedik, seksi seksa atau ada kemungkinan berselingkuh dan nusyuz, nasihatkan saja untuk berhenti agar anda tidak digelar DAYUS. Itu pesan Nabi. DAYUS tidak cium bau syurga.

Jika anak suka main kunci kereta, main hand fone, suka main wire letrik, suka panjat dapur, suka main api, suka main pisau, suka lari depan kereta bila kita balik, anak suka berpakaian seksi seksa dan macam-macam lagi tanda, jangan LEKA dan TENGOK SAJA. Cepatlah sedar dan cegah. Jangan tunggu anak dilanggar kereta, anak salah guna handfone, anak mati kena renjatan letrik, anak tersimbah air dan minyak panas, anak diratah jantan dan sebagainya baru kita nak mengeluh dan minta tolong pada Allah.

SESAL DAHULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIADA GUNA

Perbaiki kefahaman ungkapan “Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali” kerana ia kurang tepat dari sudut harfiah, makna dan maksudnya. Ungkapan lama itu tidak mampu menandingi teknologi maklumat dan gagal meyakinkan anak anak kita. Ungkapan itu hanya berbentuk angan angan dan tiada sains perlaksanaannya. Rujuk ejekan intelek Muslim & pelajar Sekolah dalam Klip video Lambaian Haji, posting Semalam.

Islam itu agama ilmu. Islam agama praktis dan sangat logikal, bukan agama angan-angan dan magik.  “Be practical & rational”. Itulah yang bakal menghasilkan SALAM (sejahtera) dari ISLAM (cara hidup) untuk semua MUSLIM (yang serah diri) yang InsyaAllah akan mampu mengislamkan yang lain (TASLIM).

Kudap-kudap Parenting
WARGA PRIHATIN