MENGKOBAR SEMANGAT MELALUI TAKBIR RAYA

MENGKOBAR SEMANGAT MELALUI TAKBIR RAYA

Tahun-tahun lepas, Ayahanda Pengetua RPWP hanya bawa nada rendah untuk takbir raya beliau. Tahun ini anak-anak sudah dilatih untuk takbir dan kebanyakan mereka bawa nada rendah yang biasa ayah bawa sebelum ini supaya lebih lunak, menyentuh hati, dan mudah dihayati.

Tahun ini Ayah seru dalam tausiah khas agar para murobbi dan anak-anak yang mampu cuba bawa nada tinggi. Oleh kerana ada tetamu luar yang ikut takbir, maka Ustaz Shauqi dan Ustaz Saiful diminta memberikan tausiah ringkas tentang takbir raya. Ayah pula tambah dengan rasional mengapa ayah minta bawa nada tinggi supaya tetamu tidak terkejut..

Sudah sampai masanya Warga Prihatin tinggikan nada suara sebagai menggambarkan isi hati dalam menyampaikan seruan melalui takbir raya. Ayah harapkan nada yang tinggi ini boleh diselarikan dengan penghayatannya. Dengan penjabaran maksud takbir yang jelas, alunan itu mampu membakar semangat seluruh warga yang mendengarnya.

Sementara itu, ayah minta semua warga sampaikan aura melalui nada tinggi itu untuk membesarkan Allah, mengikhlaskan diri untuk agama Allah, dan benar-benar berhamdalah memuji Allah. Turut diseru agar dipasangkan semangat yang sama untuk qowwam dan bertegas dalam menolak kutukan golongan kafir yang membenci cara hidup Islam yang sebenar.

Dengan pencapaian memberangsangkan RPWP, AIP dan Wakaf Enterprise, kebanyakan warga sukarelawan yang telah banyak berkorban harta dan diri itu lulus pelbagai ujian dari Allah selama ini. Dengan itu selayaknya mereka zahirkan dengan penuh semangat lafaz tahlil dengan sebenar-benar iktikad nafi dan isbat terhadap Allah.

Ayah juga minta masing-masing zahirkan rasa syukur dan berhamdalah melalui lontaran suara takbir itu. Syukurilah dengan ikhlas segala rahmat berupa petunjuk, taufik dan hidayah yang diberikan Allah. Hanya petunjuk Allah itu yang memungkinkan WP mampu mengislahkan warga dan anak-anak jagaannya. Tanpa petunjuk yang tepat dan berkesan dari Allah, kami juga akan gagal dan teraba-raba.

Untuk memberikan contoh nada tinggi kepada yang lain, maka ayah telah rakamkan contoh nada itu dan dimainkan di audio sistem RPWP sehari lebih awal supaya kami boleh ikuti dan melatih diri.

Malangnya ada sesuatu yang melucukan telah berlaku. Di kalangan Murobbi hanya beberapa orang sahaja yang mampu bawa nada tinggi. Seorang daripadanya diberi peluang untuk menyampaikan takbir dengan nada tinggi sebelum Ayahanda. Rupanya nada beliau lebih tinggi dari apa yang Ayah harapkan. Lebih malang lagi ayahanda sudah terpengaruh dengan nada itu. Maka, berhempas pulaslah beliau mempertahankan suaranya dengan nada yang ‘terlajak tinggi’ itu.

Apapun, kami benar-benar dapat rasakan aura seruan yang dizahirkan melalui takbir raya ayahanda kali ini. Sama-samalah kita hayati.

Tidak perlu minta izin untuk share selagi mana ianya untuk tujuan dakwah dan tidak dijadikan fitnah. Demikian juga dengan takbir yang begitu syahdu dari anakanda Hayat (10 tahun) yang kami upload malam tadi.

Salam Syawal, Salam Aidilfitri. Maaf Zahir Batin (sama makna dengan lafaz baru ‘kosong kosong’)

Tapi maaflah, pendapat kami lafaz maaf begini ini hanya sekadar lafaz adat di kad raya untuk kita nampak berbudi bahasa sahaja semasa buat ucapan raya. Tiada maknanya sedikit pun selagi kita tidak nyatakan satu persatu salah dan dosa kita dengan rendah hati, sungguh-sungguh serta penuh insaf untuk tidak mengulanginya.

Biar siapapun kita, mari ambil sempena Syawal dan Aidilfitri. Mari kembalikan fitrah manusia, fitrah hamba di tempatnya semula, sesuai dengan kehendak Allah, Pencipta kita.

WARGA PRIHATIN

[fb-e url=”https://www.facebook.com/wargaprihatin/videos/10154040762442786/”]