ALBUM KHAS DI AMBANG SYAWAL – MOBILE UPLOAD

Kami kongsikan suasana di ambang Syawal tahun ini buat tatapan mereka yang tidak berkesempatan merasai suasana ‘memantai’ di RPWP.

Saban tahun inilah tradisi yang kami semua lalui. 20 orang pengasas RPWP menyambut hari raya dengan memantai di RPWP dahulu sedangkan semuanya mempunyai kampung halaman masing-masing.

Salam hormat dengan penuh kasih sayang kepada ibu bapa dan saudara mara kami yang telah menghalalkan dengan redho untuk kami menyambutnya dahulu bersama anak-anak yatim dan asnaf yang sebahagiannya tiada waris mahupun kampung halaman untuk dituju. Tiada riba untuk bermanja dan tiada dakapan hangat keluarga.

Sejak 10 tahun dahulu kami mulakan tradisi ini pada hari sebelum raya. Kami berbuka puasa sama-sama pada hari akhir berpuasa diikuti dengan takbir raya juga ditutup dengan tausiah hari raya sebelum masing-masing yang berpeluang memulakan perjalanan pulang ke kampung.

Semua ini dibuat atas dasar kekeluargaan. Sebak juga hati melihat anak-anak yang tidak pernah berhari raya dengan kemeriahan hidup dalam keluarga besar ini.

Oleh itu, kami yang bergilir untuk pulang ke kampung halaman masing-masing akan membawa pulang sebahagian anak-anak yatim ke kampung halaman kami warga pengasas RPWP yang 20 ini.

Ketupat, lemang, kuah kacang, rendang semua itu menjadi menu masakan utama. Persahabatan yang terbina kami adun dalam penyediaan makanan itu secara gotong-royong.

Dahulu mungkin kita biasa dengan acara memantai ini di kalangan ahli keluarga. Namun sekarang, semakin lama semakin banyak penjual lemang di tepi lebuhraya yang menjadi petanda juadah ini kini bukan lagi menjadi aktiviti penghubung kasih antara adik beradik, sahabat handai mahupun warga desa dan kampung. Lebih menyedihkan, di kampung-kampung tradisional juga telah banyak yang sekadar membeli dan bukan memasaknya sendiri.

Koleksi foto ini ialah gambaran kemeriahan memantai sempena hari raya aidilfitri tahun ini. Melihatnya sahaja boleh buat hati kami menjadi rindu akan riuh rendah ini. Yang baru menjadi yatim sahaja pun sudah terlupa kesunyian hidup tiada berbapa kerana di sini, mereka punyai bapa-bapa dan ibu-ibu pengganti kasih dan meriahnya juga tidak kurang gamatnya.

Sedikit klip video ada kami muatkan di video takbir yang kami post kelmarin.

https://www.facebook.com/wargaprihatin/videos/vb.176792972785/10154040762442786/?type=2&theater

https://www.facebook.com/wargaprihatin/videos/vb.176792972785/10154039710472786/?type=2&theater

Salam lebaran
WARGA PRIHATIN

 

[fb-e url=”https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10154043941272786.1073741942.176792972785&type=3″]