MEMAHAMI AKHLAK HAIWAN UNTUK MENDIDIK MANUSIA

00 anjing ceaser milanMEMAHAMI AKHLAK HAIWAN UNTUK MENDIDIK MANUSIA

Menonton program Psikologi Anjing “Dog Whisperer” oleh Cesar Millan di National Geografi, kita seharusnya terasa malu dan hina untuk mengaku diri sebagai ‘manusia’. Kita yang beragama Islam ini telah dibekalkan dengan pedoman hidup oleh Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana. Segala manual kehidupan itu adalah peraturan paling baik untuk kita menikmati hidup sejahtera bersama-sama. Kita semua sekadar menumpang hidup sementara sahaja di bumi tuhan ini.

Cesar Millan boleh membuatkan pelbagai breed anjing yang berlainan, bahkan mampu mendidik kucing beliau untuk hidup bersama anjing tersebut. Beliau sendiri boleh hidup bersama lebih 40 ekor anjing yang berlainan spesis dengannya, dengan begitu teratur dan berakhlak sekali. Semua haiwan peliharaan beliau patuh dan akur dengan kehendak pencipta (al-kholiq). Mematuhi AL-KHOLIQ itulah falsafah disebalik AKHLAQ.

CUBA BANDINGKAN DENGAN PERIBADI DAN CARA HIDUP KITA?

Allah minta kita cari persamaan, Allah beri SATU kefahaman yang menyamakan kita untuk hidup bersatu. Malang sekali kita manusia yang ada akal, boleh melihat, mendengar, membaca dan berfikir semakin hari semakin hilang akal. Semakin hari kita semakin rakus mencipta fahaman sendiri dan semakin jauh meninggalkan faham Allah. Semakin hari kita semakin memecah belah bukan semakin bersatu. Fahaman yang semakin banyak ini telah mencetus SALAH FAHAM yang banyak.

Kita lihat hari ini umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang menunjukkan akhlak yang lebih teruk dari binatang yang dianggap najis itu. Kita semakin berpecah-belah, bercakaran dan berbunuhan sesama sendiri. Harimau yang ganas pun tahu menyayangi baby kera yang telah ditumpaskan sebagai mangsanya (merujuk video). Kita manusia menuba kimia pada anak kita lebih zalim dari singa.

Di dalam keluarga kecil pun kita tidak mampu menyatu. Bapa dan suami hanyut dengan haluan hidup dan hobinya yang tersendiri. Menjadi bapa dan suami hanya di atas katil, ibarat lembu jantan yang disewa untuk mengawan sahaja. Zina sudah tidak dirasakan berdosa dari anak kecil sampai datuk yang tua. Sudah tidak kira anak sendiri, anak tiri atau saudara mara.

Ibu dan isteri terbiar meraba-raba mengurus keluarga tanpa haluan dan bimbingan yang tegas dari suami dan bapa. Atas kelemahan jiwa laki, ramai isteri terpaksa bekerja menyara keluarga. Tidak kurang isteri yang menyerah tubuh semasa bekerja, bahkan ramai yang menjual diri dengan izin suaminya… MasyaAllah… kehidupan dunia apakah ini? Jangan sangsi berita ini kerana kami ada banyak bukti.

Akibatnya anak-anak terpaksa diletak merata-rata, akhirnya berselerak mengikut arus kemodenan dunia. Bila besar saja, anak-anak didorong dengan kerakusan cita-cita keluarga. Tersungkur-sungkur si anak ikut mengejar cita-cita dunia yang ditanam oleh ibu bapa dan nenek moyang mereka. Pendidikan agama sudah jatuh bukan lagi nombor dua, tapi entah nombor ke berapa.!

Islamnya kebanyakkan kita hanya di keyboard komputer, atau atas kertas di sini sana. Selebihnya Hanya pada had dan hari tertentu sahaja. Islam kita hanya ketika bersunat, menikah dan bila sakit atau mati saja. Quran hanya dibaca setelah mati atau bila ada upacara dan bencana, ataupun bila anak nak periksa, hanya untuk diraih tangkal azimatnya sahaja. Walhal quran itu adalah panduan hidup, rahmat paling besar hadiah dari Pencipta kita. Sewajarnya dibaca ia ketika hidup, agar boleh digunakan panduannya untuk hidup selamat dan sejahtera.

Benarlah firman Allah. Jika Ayat-ayatnya sudah tidak mampu difahami dan diikuti, memang benarlah akan jadi begini. Kita telah mati dan mematikan fungsi diri sebelum kita dimatikan. Terlalu banyak firman Allah yang merujuk kepada haiwan. Alquran ini diturunkan untuk memperbaiki akhlak, itu sabda baginda saw. Pastinya akhlak haiwan ini yang harus kita iqra dan baca untuk diambil pelajarannya.

JANGANLAH KITA IKUT AKHLAK ANJING yang Allah tidak suka. Menjelir lidah sahaja kerjanya, di ajak tidak datang, dihalau tidak mahu pergi. Diajak melaksana sebagai muslim tidak mahu, disuruh mengaku sahaja kafir juga tidak mahu.

JANGANLAH KITA JADI KERA yang berkelakuan sumbang. Datang ke kampung hanya untuk cari pisang. Hadir kepada Islam bila ada habuan dan keperluan saja. Jauhilah perangai kera yang suka mengejek-ngejek dan mencela. Wajah dan perangai huduh tapi tidak mahu pakai bunga, analogi sistem kehidupan yang lebih baik untuk dirinya. Lebih malang lagi bunga pemberian itu juga direnyuknya.

JANGAN JADI SEPERTI BABI yang degil dan najis sampai ke dalam diri. Yang banyak beranak tapi tidak ada budi pekerti. Yang suka tempat kotor dan makan tahi sendiri, yang suka menyondol batas untuk memakan ubi. Sedangkan batas itu satu tanda dan larangan, agar babi tidak menceroboh perkara larangan dan yang bukan haknya.

JANGANLAH JADI MACAM KELDAI yang suka memikul kitab yang banyak, tapi tidak memikul perintah yang ada dalam kitab yang dibaca. Yang Allah perintahkan ialah kefahaman dan perlaksanaan dari isi kitab itu. Bukan bacaan dan hafazan hurufnya!

JANGANLAH JADI LEMBU JANTAN yang hanya mampu mengawan dengan 20 betina. Yang hanya tahu mengumpul betina dan makan minum sahaja. Yang tidak peduli apa jadi pada rakan jiran dan saudara mara serta keluarganya. Rakan jiran, anak isteri disembelih pun dia masih buat tak tahu sahaja, masih terus rakus makan dan minum juga.

JANGANLAH JADI SEPERTI ULAR yang suka membelit. Jangan jadi BUAYA DARAT yang memakan mangsa bersama baju, kasut dan topinya. Jangan jadi macam BIAWAK yang lidah bercabang.

JANGAN JADI MACAM NYAMUK yang hanya suka buat bising, yang mengambil peluang membiak dari air yang bertakung. Yang menyebarkan fitnah dan virus yang membunuh.

JANGAN JADI MACAM LALAT yang sangat suka makan dan bertelur atas benda kotor dan busuk serta amat sukar ditangkap.

SEMUA PERUMPAMAAN DI ATAS TERDAPAT DALAM QURAN. Bahkan ada terlalu banyak ayat dan surah yang menggunakan nama haiwan dan ternakan. Beberapa potong ayat ini mungkin boleh menyedarkan kita.

QS al-Maidah 5:60. Katakanlah, “Apakah aku memberitahu kamu, tentang yang lebih buruk daripada itu? Pembalasan di sisi Allah, orang yang Allah telah melaknat dan murka padanya, dan dia menjadikan antara mereka kera dan babi, dan penyembah-penyembah Thagut – mereka itu lebih buruk tempatnya, dan lebih tersesat daripada jalan yang betul.”

QS Al Jumu’ah 62:5. Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

QS Al A’raaf 7:179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (tafaquh) dan mereka mempunyai mata tidak dipergunakannya untuk melihat, dan mereka mempunyai telinga tidak dipergunakannya untuk mendengar. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Banyak lagi contoh-contoh haiwan yang Allah ceritakan dalam quran yang memberi pelajaran akhlak baik dan akhlak buruk untuk pedoman hidup kita. Antaranya ialah baik buruknya LEBAH, LABAH, SEMUT, KUTU, BELALANG, KATAK, dan banyak lagi.  Semuga cetusan ini ada kebaikan sebagai renungan buat kita semua…
WARGA PRIHATIN