Lengahkan aktiviti seks

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

PEMBUANGAN bayi akibat kehamilan tidak dirancang adalah bukti paling jelas menunjukkan semakin ramai remaja kita terbabit dalam aktiviti seks pada usia sangat muda.

Semua orang sedar perkara ini tetapi masih ramai sukar menerima hakikat bahawa seks menjadi aktiviti yang sangat dekat dengan remaja, sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat pada 2009 mendapati hampir 46 peratus pelajar sekolah menengah pernah mengadakan hubungan seks dan 14 peratus daripadanya mempunyai empat atau lebih pasangan sejak mula melakukannya.

Di negara kita, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-4 LPPKN (2004) mendapati 2.2 peratus golongan muda berumur antara 13 hingga 24 tahun (kira-kira 132,000 orang) pernah melakukan hubungan seks luar nikah.

Kajian di Negeri Sembilan (2006) menunjukkan 5.4 peratus remaja melakukan hubungan seks buat kali pertama pada umur 15 tahun, manakala kajian media LPPKN pada 1998 pula mendapati 27.2 peratus golongan muda mengadakan hubungan seks pertama ketika berusia 16 tahun dan umur paling muda pernah direkodkan ialah sembilan tahun.

Selain isu kehamilan tidak dikehendaki, pakar perubatan bimbang berlaku jangkitan penyakit kelamin di kalangan golongan muda disebabkan aktiviti seks rambang tanpa perlindungan.

Kajian CDC pada 2008 ke atas remaja di Amerika Syarikat mendapati 3.2 juta remaja perempuan berkemungkinan terkena sekurang-kurangnya satu daripada empat jangkitan penyakit kelamin paling lazim (virus humanpapilloma atau HPV, chlamydia, gonorea dan sifilis).

Dianggarkan 19 juta kes jangkitan baru berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat dan hampir separuh membabitkan golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun. Meskipun tiada data jangkitan penyakit kelamin di kalangan remaja kita, senarionya mungkin tidak jauh berbeza.  Di kalangan individu dijangkiti, bilangan yang datang mendapatkan rawatan boleh dikira kerana ia dianggap seolah-olah membuka pekung di dada, kata Pengarah Perubatan The Safe Clinic, Dr Raja Iskandar Raja Azwa.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila sesetengah pengamal perubatan kurang selesa merawat penyakit kelamin dan pesakit biasanya dirujuk kepada pakar kulit bagi rawatan lanjut.
Lebih menyedihkan, segelintir pengamal perubatan memandang sinis golongan terpinggir ini apabila mereka datang menjalani pemeriksaan atau mendapatkan rawatan. Ini antara faktor yang menyebabkan mereka semakin jauh daripada perkhidmatan kesihatan.

“Golongan muda, penagih dadah dan pelacur antara kumpulan paling sukar berjumpa doktor kerana malu dan kurang senang dengan tanggapan orang lain. Pernah seorang pesakit mengadu, keputusan ujian saringan HIV-nya diumumkan di bilik menunggu, sedangkan ia sepatutnya menjadi maklumat rahsia.

“Walaupun itu kes terpencil, ia memberi kesan besar, terutama pada golongan ini. Hukuman ‘tidak langsung’ seperti ini membuatkan mereka malu dan berat hati untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Bukan golongan ini saja, bahkan sesiapa saja yang terkena jangkitan penyakit kelamin malu berjumpa doktor,” katanya.

Kewujudan The Safe Clinic untuk memberikan perkhidmatan kepada golongan yang sering terpinggir ini, dianggap tepat pada masanya.

Ia bukan sekadar menawarkan saringan kesihatan dan rawatan untuk penyakit kelamin secara percuma, malah pesakit diberi kaunseling mengenai pencegahan dan cara mengurangkan risiko jangkitan.

“Sambutan memang memberangsangkan dan kami teruja menerima kedatangan pelacur berumur antara 25 hingga 40 tahun kerana ini adalah golongan yang sukar dicapai (untuk diberi pemeriksaan dan maklumat kesihatan). Malah saya terkejut apabila ramai lelaki muda (25 hingga 35 tahun) turut datang untuk pemeriksaan kesihatan.

“Pembukaan klinik ini untuk mengajak orang ramai, terutama golongan berisiko tinggi, menjalani saringan kesihatan sebelum mengalami sebarang gejala jangkitan.
“Ini kerana ada penyakit jangkitan kelamin tidak mempunyai tanda atau gejala, contohnya Chlamydia, tetapi ia menyebabkan wanita dijangkiti tidak boleh mengandung.

“Chlamydia antara penyakit jangkitan kelamin paling lazim, justeru program saringan (melalui ujian air kencing) diadakan untuk wanita di bawah umur 25 tahun.

“Di Britain ada klinik khas di hospital untuk saringan penyakit jangkitan kelamin yang terbuka kepada sesiapa saja. Malah ada program latihan untuk doktor yang mahu membuat pengkhususan dalam bidang ini.

“Perkara paling penting ialah memberi pendidikan seks. Kaunselor akan membincangkan kaedah pencegahan jangkitan seperti penggunaan kondom.

“Walaupun tahu kondom boleh mencegah penularan penyakit kelamin, mereka terpaksa akur apabila pelanggan enggan berbuat demikian sebab bimbang kehilangan pendapatan.

“Begitu pun, kami tetap beritahu kepentingan penggunaan kondom dengan harapan maklumat ini dapat disampaikan kepada pelanggan mereka.

“Ramai percaya mereka tidak akan mendapat jangkitan jika melepaskan air mani di luar faraj. Anggapan ini tidak benar kerana semua perlakuan seks sama ada di kemaluan, dubur atau mulut boleh mendapat jangkitan jika mengadakan hubungan dengan individu dijangkiti,” katanya.
Dr Raja Iskandar berkata ibu bapa juga perlu mengambil tanggungjawab memberi pendidikan seks kepada anak sebelum mereka melakukan hubungan seks iaitu pada umur 15 atau 16 tahun; bukan hendak menggalakkan mereka mencuba tetapi mengajar supaya remaja menghormati diri sendiri dan orang lain, kepentingan mengamalkan seks selamat dan pengetahuan kaedah pencegahan kehamilan.

Namun, cara lebih baik ialah sentiasa mengingatkan anak untuk melengahkan aktiviti seks hinggalah tiba masa dan berjumpa calon sesuai.

Lebih baik maklumat mengenai hubungan seks datang daripada ibu bapa (ibu-anak perempuan dan bapa-anak lelaki) kerana itu dianggap ‘persekitaran selamat’ untuk membincangkan perkara ini secara terbuka.

“Remaja sangat mudah terpengaruh dengan kawan. Jika mereka berbincang sesama sendiri, tidak mustahil akan ada yang terpengaruh untuk mencuba. Banyak kajian menunjukkan pendidikan seks mampu melengahkan aktiviti seks ke umur lebih dewasa, sekali gus membantu mencegah kehamilan tidak dirancang dan dikehendaki.

“Pendidikan dan pesanan ibu bapa akan menguatkan remaja untuk sayangkan diri sendiri. Sayang diri sendiri bermakna anak tidak akan melakukan sesuatu yang boleh membuatkan mereka terperangkap dalam gejala yang boleh merosakkan maruah dan masa depan.

“Pendidikan ini juga membolehkan mereka berfikir rentetan masalah yang bakal terjadi jika terbabit dalam seks sebelum nikah,” katanya.

Yang lebih menarik, kajian terbaru dijalankan Universiti Brigham Young di Utah, Amerika Syarikat, mendapati pasangan yang melengahkan hubungan seksual sehingga berkahwin hidup lebih bahagia kerana sepanjang percintaan mereka lebih banyak berkomunikasi dan memahami keperluan masing-masing.