Lelaki noda kenalan ketika isteri tiada di rumah

MELAKA: Seorang ibu kepada dua anak menempuh detik hitam apabila diikat tangan, kaki dan leher sebelum dirogol seorang lelaki yang juga kenalannya di rumah lelaki berkenaan di Malim Jaya, dekat sini, Sabtu lalu.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa berusia 38 tahun itu keluar bersama suspek berusia 28 tahun sebelum diajak ke rumahnya dan dipaksa melakukan hubungan seks.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/Operasi), Superintendan R Gunarajan, berkata dipercayai berang ajakan mengadakan hubungan itu ditolak suspek mengikat dan merogol mangsa.

“Mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak tetapi tinggal berasingan dengan suaminya, keluar bersama suspek pada lewat malam sebelum diajak ke rumahnya di Malim Jaya.

“Suspek kemudian memaksa mangsa mengadakan hubungan seks, tetapi mangsa enggan sebelum suspek mengikat tangan, kaki dan leher mangsa dan merogolnya. Ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, isteri suspek tiada di rumah” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di Pokok Mangga berjaya melepaskan diri dan hanya membuat laporan polis pada Selasa lalu di Balai Polis Malim.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.