KEMBARA BALING – PROJEK SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN

00 SEKOLAH ALAM BALINGPROJEK SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN

Pada 31 Januari 2014 sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu, kami di RPWP mengambil kesempatan untuk perlaksanaan Program Sekolah Alam kami yang ke-3 selepas Muar, Melaka. Kali ini kami menuju ke Baling, Kedah. Seramai 99 orang bermusafir ke Utara, melalui lebih 12 jam perjalanan dalam keadaan jalanraya yang sangat sesak sempena musim cuti perayaan.

Terima kasih kami dahului kepada semua pewakaf “Harakah Wakaf Bas” yang telah turut menitipkan amal melalui wadah yang kami sediakan. Dengan tambahan dana wakaf dari co-founders, akhirnya berjaya juga dicukupkan untuk pembelian bas sekolah yang pertama RPWP. Namun untuk dimuatkan 109 orang warga di dalam 1 bas pastinya tidak mencukupi. Maka, bas kedua masih dalam proses pengumpulan dana.

APAKAH PROJEK SEKOLAH ALAM?

Ia satu projek yang sangat menarik di mana anak-anak belajar lebih banyak dalam 3 hari perjalanan berbanding 3 bulan di dalam kelas. Hatta, impak pembelajaran menjadi 3000% lebih efektif dari pembelajaran secara qalam (bilik darjah).

Mungkin rumusan lawatan kami ini mampu membuka perspektif yang lebih luas kepada anda semua. Harapan kami agar anda faham mengapakah sebelum adanya bas sekolah, kami sanggup menggunakan 15 buah MPV, beberapa kali setahun membawa anak-anak keluar untuk pembelajaran insitu yang sangat bernilai. Namun, kos yang sangat mahal itu menghadkan perjalanan kami. Alhamdulillah, jelas sekali kos perjalanan dapat dikurangkan dengan adanya bas yang pertama ini. Di samping itu tausiah murobbi jauh lebih efektif sepanjang perjalanan dengan bas, puluhan jam masa perjalanan dapat diisi dengan program pembelajaran alam dengan berkesan. Doakanlah kami berjaya mencukupkan dana untuk mendapatkan sebuah lagi bas sekolah.

Perjalanan bermula jam 10.30 pagi menuju ke Teluk Intan Perak melalui jalan Kuala Selangor pada awalnya. Namun, atas sebab trafik yang sangat buruk, kami terpaksa membuat perubahan pelan untuk terus ke Baling, Kedah.

Perjalanan menjadi meriah apabila Baba Din (Che Din) dan Ayah Saiful (Saiful Nang) membuka celoteh perjalanan dengan pelbagai informasi yang anak-anak lihat dari tingkap mereka. Sekali sekala, keadaan menjadi gamat apabila soalan-soalan quiz dibukakan kepada anak-anak yang berada di dalam bas. Kasihan juga kepada anak-anak yang menaiki kenderaan biasa, mereka terkilan kerana terlepas maklumat yang disampaikan sepanjang perjalanan.

Setiap pelajaran adalah berharga. Anak-anak akan bertanya dan murobbi bertugas sebagai pemberi penjelasan akan terus menjawab dan memberikan informasi demi informasi. Yang menariknya, informasi yang agak tinggi tahap jawapannya dan hanya difahami oleh kakak dan abang-abang yang di sekolah menengah akan turut dijelaskan mereka kepada adik-adik kecil yang mereka apit dalam bahasa yang lebih mudah untuk difahami. Maka, tidaklah si kecil yang berada dalam bas termanggu-manggu tak tahu apa yang dibual bicarakan.

Anak-anak sehingga sekecil-kecil yang sudah pandai menulis akan bersama dengan buku nota kecil masing-masing. Mereka tak sabar untuk berkongsikan pengalaman sesama mereka bila balik nanti. Si kecil yang tidak pandai menulis lagi juga teruja untuk mencatit apa yang mereka saksikan melalui LUKISAN-LUKISAN pensil mereka. Itu sahaja sudah cukup menampakkan bermulanya proses pembelajaran kerana apabila kami tanyakan, mereka mampu menjelaskan.

JAMUAN MAKAN ISTIMEWA DI BANGKOK STATION (DULUNYA BM TOMYAM)

Perjalanan yang melalui pelbagai kesesakan itu berjaya sampai ke Bangkok Station, Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam pada jam 8.30 malam. Ia sebuah kedai makan yang sangat sedap dimiliki oleh bekas anak didik Ayah Saiful melalui akademi beliau Saiful Nang Academy of Professional (SNAP) yang kini beroperasi di Sunway. Kami dijamu dengan masakan siakap masak pedas, otak-otak Utara, tomyam seafood dan pelbagai hidangan lagi. Paling menarik yang menjadi kehebatan Bangkok Station itu ialah “Siakap Stim Limau” resipi termahal berasal dari Thailand.

Jika dihitung pinggan demi pinggan, mungkin lebih RM2,000 untuk makan malam itu. Harga makanan masih tidak diberitahu oleh pemilik restoran yang dari mula hanya mengatakan “InsyaAllah, nanti saya cuba” apabila ditanyakan tentang kos per kepala.

Rupanya, setelah kami duduk makan, En. Syaafily yang merupakan pemilik restoran menghantar mesej kepada Ayah Saiful mengatakan, makanan malam itu adalah satu jamuan. Beliau rupanya dah lama menyimpan hajat untuk membelanja anak-anak RPWP untuk makan di restoran beliau. Makan malam itu diakadkan dan didoakan oleh anak-anak.

Sempat juga En. Syaafily yang tidak dapat bersama malam itu kerana bertugas di Kuala Lumpur menghantar pesanan mengatakan “jangan bagitahu orang lain saya belanja… takut tak afdhal sedeqahnya nanti”. Namun, kami sebagai penerima berfikir, jika ia dicanang oleh pemberi mungkin itu tidak baik, tetapi jika kami yang canangkannya di dalam rencana ini, maka ia menjadi satu tanda terima kasih kami kepada orang yang budiman dan seterusnya mampu untuk menjadikan beliau satu contoh kebaikan yang harus dipromosikan. Tidak hilang amal baik beliau kerana yang mengatakan kebaikan beliau itu ialah PIHAK PENERIMA.

Anak-anak tak habis-habis memuji kelazatan hidangan yang disajikan kepada kami. Terima kasih Bangkok Station Bandar Baru Perda. KAMI DOAKAN AGAR RESTORAN INI BERTAMBAH MAJU DI MASA DEPAN.

PENGALAMAN JELAJAH DESA

Perjalanan diteruskan sehingga ke Baling dan kami tiba disambut oleh pasangan Mak Tok AISHAH & Tok Wan ABDULLAH. Pasangan warga emas yang tinggal berdua inilah destinasi kami bermusafir. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, bas yang kami perolehi bukan untuk bawa anak-anak melawat Legoland ataupun Universal Studio, tetapi kami memberi keutamaan kepada sesuatu yang kini hilang dalam kemanusiaan iaitu “Kasih Sayang” dan “apresiasi alam”.

Itulah kali pertama anak-anak menziarahi Mak Tok & Tok Wan di kampungnya. Sebelum ini, Mak Tok & Tok Wan yang sering melawat RPWP. Ketibaan pada malam yang hening dengan suhu pada waktu Subuh hanya 18 darjah celcius cukup buat kami yang bermalam disuluh bulan menggigil kedinginan.

Bila fajar menyingsing pada pagi berikutnya, maka bermulalah kembara menerokaan desa secara rasminya. Pagi itu digawatkan dengan perbarisan anak-anak lelaki diiringi oleh bapa-bapa untuk bersolat di surau berhampiran. Selepas itu anak-anak rijal beriadah dengan merentas desa. Anak-anak nisak membantu ibu-ibu menyediakan sarapan.

Selepas sarapan pagi, kesunyian desa dipecahkan dengan kawad kaki disiplin pagi anak-anak yang disampaikan “hukumannya” oleh Anakanda Azizul. Keluar baris dalam 2 kumpulan iaitu kumpulan anak lelaki (rijal) dan anak perempuan (nisa’). Anak rijal terus ke kebun untuk melihat sendiri pokok ubi, merasakan bagaimana mencabut ubi dan bagaimana menanam semula ubi yang telah dicabut.

Di sekitar itu, banyak pertanyaan yang wujud. Mengapakah dahulu kampung ini tidak berpagar dan kini semuanya telah dipagar? Mengapakah apabila adanya ubi mesti ada batasnya? Mengapa pula bila ada batas ada pula babi yang melanggar batas itu? (dari Quran), mengapa itu dan mengapa ini semuanya menjadi pokok persoalan yang ditanyakan anak-anak dan banyak sekali pelajaran yang mereka kutip. Menurut Tok Wan jika orang tidak ramai, kita boleh lihat babi hutan berjalan depan rumah untuk merosak tanaman ubi. Di samping itu lembu dan kambing juga berkeliaran sudah tidak boleh dikawal. Kerana itu semua kawasan rumah perlu dipagar.

Anak rijal kemudiannya turun ke sungai untuk membersihkan sungai yang kotor. Tetapi kami lihat, mandi sungai menjadi aktiviti utama dan membersihkan sungai jadi aktiviti sampingan pula. Anak nisa’ meneruskan perjalanan ke kandang kambing, kebun tebu, ternakan arnab, kolam ikan tilapia, melihat pembalak membuat papan dari kayu hanyut, melihat proses bagaimana buah pinang menjadi peluru, kebun jagung, kebun keledek termasuk juga melihat sendiri bagaimana pokok getah ditoreh.

Mungkin hari ini kita generasi X dan Y tidak heran dengan semua itu. Tetapi ada anak-anak yang diserahkan kepada kami mengenali ayam itu dengan melukis seketul “drumstick” (peha ayam) seperti dalam iklan KFC. Apabila ditunjukkan ayam yang sebenarnya, ada yang terkejut melihat bentuk asal ayam yang mereka makan.

Pelajarannya bermula selepas itu. Mereka berkumpul dalam kumpulan-kumpulan mereka dan berbincang tentang pengalaman mereka. Perkongsian tentang pemerhatian mereka tentang pagar yang dulu tiada sekarang sudah dipasang juga mampu mereka sintesiskan dengan kadar jenayah setempat. Jika lembu, kambing juga sudah seperti babi yang tidak boleh dikawal, berkeliaran membuat kerosakan, maka rumah dan tanaman kita pulalah yang harus dipagar.

Subhanallah, satu mena’kulan mantik yang kami lihat sangat indah. Babi juga mereka sifatkan sebagai haiwan yang melampaui batas dan atas sebab itu babi itu NAJIS. Ada yang mencelah, najisnya babi itu sehingga manusia tidak boleh menyentuhnya apa lagi MENIRU perangai babi itu sendiri yang sentiasa menyondol batas-batas yang telah disediakan. Disambung lagi oleh seorang anak berumur 7 tahun yang bertanya “Bukankah di dalam Al-Quran dinyatakan tentang Firaun juga adalah individu yang melampaui batas, adakah Firaun juga seorang “Babi”?”

Meriah kami dengar perbincangan mereka. Ya, Firaun mempunyai sifat babi yang melampaui batas yang Allah telah tetapkan namun, beliau seorang yang mempunyai fizikal seorang manusia. Seperti ada mentol yang menyala di kepala anak-anak ini untuk menyimpulkan bahawa manusia juga boleh menjadi seburuk babi jika manusia meniru sifat babi. Jika ada batas-batas / had-had (hudud) yang telah ditetapkan, hanya babi sahaja yang akan melanggarnya. Oleh itu, jika kita ini manusia, ikutilah batas-batasan yang telah ditetapkan.

Perbincangan itu berlarutan dalam banyak suasana. Sukar untuk kami ceritakan semua itu tanpa menjadikan artikel ini lebih panjang. Semua perjalanan di dalam bas mahupun semasa berjalan kaki dan menerokai hutan dan pelbagai kebun tanaman, aktiviti membersihkan sungai, semua itu menjadi bahan tanya dan jawab antara anak-anak dengan murobbi mereka.

KESAN SUJUD YANG MERAHMATKAN ALAM

Aktiviti anak-anak di surau sewaktu solat berjemaah, juga majlis tahlil dan doa selamat serta celoteh anak-anak ala juruhebah radio dengan pembesar suara sepanjang berada di sana telah memeriahkan suasana. Keletah anak-anak yang menghujani orang kampung dengan pelbagai soalan, kemudian membacakan selawat/marhaban dan doa selamat sebelum beredar telah menyebabkan orang kampung sangat tersentuh hatinya.

Abang Jamil yang kami temui sedang menangkap ikan tilapia di dalam kolamnya menyerahkan lebih dari 200 ekor ikan tilapia kepada kami untuk makan malam. Tidak cukup dengan itu, isteri Abang Jamil yang mengusahakan kebun tebu pula menghantar 2 gelen besar air tebu asli yang baru dimesin untuk kami. Abang beliau yang juga berjiran turut mengirim sebakul rambutan untuk cuci mulut.

Perjalanan program turut menggembirakan Tok Wan dan Mak Tok sehingga berat untuk mereka melepaskan kami pulang. Aktiviti barbeque ikan tilapia pada malam hari, petik rambutan, mandi sungai yang terletak di belakang rumah Mak Tok, menebas belukar, membersihkan kawasan rumah dan banyak lagi menjadi aktiviti kami semasa di sana dapat menyumbangkan keceriaan buat mereka.

Warga Emas tidak meminta wang berjuta. Yang mereka mahukan adalah kemeriahan dalam berkasih sayang. Belum habis gembira itu, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada hari ketiga. Perjalanan pulang perlu dimulakan.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Felda Teloi Kanan, menziarah ibu dan bapa kepada salah seorang dari kami. Suasana sangat meriah, kami dijamu oleh bungkusan nasi-nasi lemak yang sangat enak. Hampir semua menambah bungkusan kedua nasi lemak itu.

Kami teruskan perjalanan pulang sambil menyinggah di Royal Belum dan menyaksikan kecantikan dan keindahan suasana di situ sebelum kami singgah untuk makan malam dan solat Maghrib & Isya secara jamak dan qasar.

KESIMPULAN

Ibarat sireh pulang ke gagang. Di bandar, mungkin tidak sekali dalam seminggu atau sebulan, di mana tapak kaki kita dapat menyentuh tanah, selaku asas kejadian kita. Semuanya sudah berturap atau berjubin. Oleh itu kita semakin jauh dari asal usul kejadian sendiri dan mudah lupa diri.

Pertanian dan ternakan desa, juga aliran sungai bersih yang tidak ada di bandar, membuatkan anak-anak kami meminatinya. Kerana itu, ke mana sahaja kami bawa mereka pergi, mereka akan bertanya ada sungai atau tidak? Jika ada, mereka akan berusaha membersihkannya lalu mandi manda menikmati kesegaran airnya. Malangnya kebanyakan sungai walau di mana sahaja sentiasa dicemari dengan pelbagai kotoran sisa buangan manusia yang amat menyedihkan.

Seperti biasa, pada penghujung setiap program, kami akan melakukan “Tahallul” (post-moterm) yang ringkas bagi mengambil pelajaran-pelajaran besar yang boleh dikutip dari program 3 hari yang akan berakhir itu. Alhamdulillah, ada terlampau banyak untuk diceritakan dalam program tahallul ringkas itu.

Masih terlampau banyak yang anak-anak catatkan untuk mereka kongsikan. Tak sempat untuk kami ceritakan kesemuanya. Kami hanya menganggarkan apa yang mereka pelajari dalam 3 hari secara ALAM (Program Sekolah Alam Prihatin) itu melebihi apa yang mereka dapat dengan cara QALAM (bilik darjah) selama 3 bulan bahkan lebih lagi.

Jika anda sukar nak fahami mengapa kami katakan ia begitu, cuba sahaja bayangkan jika anda masih ingat lagi apakah soalan-soalan matematik dalam kertas soalan akhir semasa anda dalam darjah 1? Kami sendiri pun tidak dapat mengingatinya. Tetapi jika ditanya kepada anda, apakah warna beg atau apakah jenama kasut sekolah yang anda pakai semasa darjah satu pasti anda akan ingatinya. Ada banyak yang dipelajari di dalam bilik darjah hilang dari fikiran anak-anak kami kerana tidak diperjalankan dalam bentuk ALAM yang memberi pengALAMan.

Jika anda masuk ke dewan peperiksaan dan anda ditanya soalan geografi tentang PETA NEGERI KEDAH, anda mungkin perlu menghafalnya untuk mampu menjawap peperiksaan itu. Anda mampu jawapnya dengan baik tetapi tidak pasti samada minggu-minggu selepas peperiksaan itu, anda masih mengingatinya. Tetapi anak-anak dalam Program Sekolah Alam Prihatin ini tidak menghafal peta sebaliknya menerokai alam menggunakan peta itu.

Sama juga dengan Islam, ada orang menghafaz Quran tetapi tidak pula memperjalankan perlaksanaan Al-Quran itu sendiri, bahkan ada yang tidak tahupun makna apa yang dihafazkan. Nabi Muhammad SAW ialah seorang pelaksana, dan perlaksanaan itulah yang Allah ambil kira. Apabila ia telah dilaksanakan, pastinya nabi mampu untuk bercerita tentang perlaksanaan itu dengan tepat dan yakin.

Itulah ringkasnya tentang PROGRAM SEKOLAH ALAM Prihatin yang akan terus kami jalankan sekerap yang boleh. Agak rugi anak-anak kami jika cutinya dihabiskan dengan tidur, menonton TV, menghadap tablet, permainan komputer, merayau dan pelbagai lagi.

Setiap anak ditanyakan dan berkongsikan pelajaran yang mereka kutip di sepanjang program ini dan itu adalah salah satu garisan yang membezakan samada mereka BERTEBARAN ataupun mereka BERKELIARAN. Di dalam Al-Quran sendiri menyatakan, Bertebaran untuk MENCARI KURNIA Allah tetapi berkeliaran MEMBUAT KEROSAKAN. Walaupun tindakannya nampak seperti sama, tetapi sistem DIPAN-DIPAN yang kami jalankan membuatkan anak-anak menjadi pemerhati yang kritis. Mereka juga kongsikan pelajaran masing-masing dengan sahabat yang lain. Boleh jadi anak ini nampak apa yang anak itu tidak nampak, lalu perkongsian begitu membuatkan ilmu itu berkembang.

Beralainan sekali dengan BERKELIARAN yang menggunakan tindakan yang serupa tetapi akhirnya ia tidak memberi apa-apa pelajaran kepada pelakunya.

InsyaAllah, program ini akan terus kami lanjutkan. Kami juga berharap tabung wakaf bas untuk unit yang kedua dapat segera dicukupkan, agar program seperti ini mampu dijalankan dengan kos yang lebih murah.

Rumusan Perjalanan
WARGA PRIHATIN

BAGI MEREKA YANG INGIN MEMBUAT WAKAF BAS KEDUA sila baca perinciannya di pautan ini http://prihatin.net.my/web2/2014/01/07/wakaf-bas-menunjang-program-pembelajaran-islam-sepanjang-hayat/