RAHSIA KAHFI 11 – PERANAN DAJJAL DAN AGAMA NENEK MOYANG

00 KAHFI 11RAHSIA KAHFI 11 – PERANAN DAJJAL DAN AGAMA NENEK MOYANG

Dalam musim cuti panjang di mana ramai di antara kita sibuk dengan program cuti Tahun Baru Cina bersama keluarga, kami terpaksa teruskan juga dengan perkongsian mesej ringkas rahsia al-Kahfi Jumaat ini kerana ramai yang menantinya dengan setia.

Dalam sesi-sesi yang lepas telah dinampakkan kedudukan surah al-kahfi yang berada di tengah-tengah musyhaf al-quran. Dalam Rahsia al-Kahfi ke 4 telah telah dikongsikan bahawa mesej surah al-kahfi juga menampakkan belahan atau pemisahan dua zaman, iaitu zaman berakhirnya satu kegemilangan (Akhirat) dan bermulanya sesi kebangkitan semula (Qiamat).

FITNAH AL-DAJJAL YANG BERJAYA MENGHAPUS KEBENARAN AGAMA

Dajjal dikaitkan dengan makhluk yang BERMATA SATU. Ia adalah tentera syaitan yang menghasut kita agar memandang suruhan agama ini hanya dengan sebelah mata. Ia telah dikenalpasti sejak dahulu lagi dalam misi menjatuhkan agama. Dalam terlalu banyak hadis yang menuntut kita membaca dan menjaga surah al-kahfi dan mempelajarinya secara berjemaah di setiap Jumaat, semuanya jelas menampakkan keterkaitan mesej al-Kahfi dengan ancaman al-Dajjal yang diutus semata-mata untuk merosak agama.

Jika kebetulan ketika membaca al-Kahfi kita berada dalam zaman kebangkitan, maka mesej dari surah ini akan mampu membantu kita mempertahankan kesucian dan kedaulatan agama dari fitnah yang Dajjal cuba tanamkan untuk merosak agama ini.

Jika kebetulan ketika membacanya kita sedang berada di saat terbahaginya dua zaman, maka kita akan mampu mengenal pasti dengan tepat apa yang telah dirosakkan oleh al-Dajjal. Walaupun wang perak yang disebut dalam ayat 19 itu sudah tidak laku dan dikenal lagi oleh mereka yang tidak memahami rahsia al-Kahfi, namun Allah akan ajar kita untuk mengenal dan menilainya.

Pada masa yang sama, kita juga bakal dapat mencari semula cahaya, itulah Nur Allah dan Nur Muhammad yang sudah hilang sirna sahingga kita kembali kegelapan dan meraba-raba. Dengan cahaya itu kita dapat merangka strategi untuk membangunkan semula agama yang telah dirosakkan oleh al-Masih al-Dajjal ini. Pelajaran dari kisah-kisah yang diceritakan mengenai pemuda kahfi, mengenai kisah Musa a.s. dan Nabi Khidhr, Zulqarnain dengan temboknya dan kisah kaum Yakjud, Makjud yang sudah tidak mengerti apa yang mereka kata, serta kisah yang lain-lain itu amat berguna sekali untuk kita merangka strategi.

FENOMENA AGAMA NENEK MOYANG

Dalam quran terlalu banyak diceritakan tentang fenomena ini. Ia dikaitkan dengan fenomena PIKUN atau NYANYUK nya agama yang kita anuti. Ini sesuai dengan apa yang telah terjadi pada kefahaman agama terhadap bangsa di luar gua oleh Pemuda Kahfi. Mereka sudah tidak mengenal saudara, tidak mengenal wang perak yang menjadi analogi nilaian kitab yang dahulunya mampu membeli iman manusia.

Minggu lepas telah kami kongsikan ayat 1, menyentuh fenomena kitab yang sudah dibengkokkan oleh kita hasil fitnah dan hasutan al-Dajjal. Dalam ayat ke 2 kami kongsikan hakikat meluruskan semula al-kitab yang sudah dibengkokkan. Allah sebutkan urusan menegak luruskan semula kitab itu menggunakan kata pokok Qowam dan Qiyam. Itulah fenomena meluruskan semula mesej agama, iaitu dengan menegakkannya semula melalui falsafah qowwam, qiyam, istiqomah dan mustaqim.

Ayat 1. Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al Kitab dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya;

Ayat 2. sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan siksaan yang sangat pedih dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal saleh, bahwa mereka akan mendapat pembalasan yang baik,

Ayat 3. mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

Jika kita sungguh-sungguh mempelajari ilmu yang sangat strategik dari surah ini, bersungguh pula kita menegakkan urusannya, maka kita akan dapat memperbaiki keadaan kita yang telah amat sengsara. Itulah amal soleh, menikmati hasil islah (koreksi/pembaikan) yang berkesan dan memberikan hasil yang kekal. Jika sebaliknya, maka kita akan kekal juga dalam kesengsaraan dan kemuduran, hari demi hari.

Antara fenomena agama nenek moyang ini ialah terlalu banyaknya fahaman dalam urusan agama yang memecahbelahkan umat. Sedangkan Allah perintahkan kita semuanya mengikut agama yang satu, membentuk umat yang satu, ummatun wahidah. Allah sahaja yang wajib di sembah dan diutamakan. Allah perintahkan kita agar mengikut hanya Islam, agama yang lurus, yang dicetuskan oleh bapak agama ini, Ibrahim a.s.

Namun kita boleh lihat dewasa ini, bukan sahaja begitu banyak pecahan-pecahan fahaman agama, malah banyak pula sembahan yang tercipta. Manusia tidak lagi mengerjakan sesuatu hanya untuk Allah semata-mata, tetapi melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, untuk anak isteri, untuk meraih pangkat, harta dan wanita. Ramai juga di kalangan kita sudah menyembah personaliti manusia melalui perbuatan dan turut bicara tanpa kita menyedarinya. Inilah antara perbuatan keji yang sudah amat berleluasa.

Ayat 4. Dan untuk memperingatkan kepada orang-orang yang berkata: “Allah mengambil seorang anak.”

Ayat 5. Mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah buruk/kejinya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan sesuatu kecuali dusta.

FENOMENA AL-MASIH DAN PEMESONGAN NENEK MOYANG OLEH AL-DAJJAL

Fenomena al-Masih Isa sebagai anak Allah hanyalah satu kejadian yang dikisahkan untuk kita mengambil pelajarannya. Walaupun penganut Nasrani masih mengakuinya dengan jelas, namun kita jangan lupa bahawa kita umat Islam juga tidak terlepas daripada gejala mengambil anak-anak Allah melalui kerjabuat kita, walaupun bibir tidak mengatakannya seperti orang Nasrani.

QS: 9. At Taubah, 31. “Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah danAl Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Jika dalam ayat 31 surah At-Taubah tadi Allah katakan kita telah “menyembah Allah DAN sesuatu yang lain selain dia”. Ini bermakna kita masih menyembah Allah, cuma kita JUGA menyembah selain Dia. Kita juga menyembah berhala Latta, Huzza DAN Manna (harta, tahta dan wanita) secara praktik harian. Otak dan fikiran, hati dan wajah kita tidak habis-habis memikirkan tiga berhala itu walaupun mulut kita melafazkan ikrar yang berbeza dalam iftitah solat harian yang kita amalkan.

Perhatikan juga cara kita memuja Nabi hari ini. Bagaimana rambut nabi diusung, dimandi, dipuja ke sana sini. Sedangkan Allah katakan nabi itu bukan untuk dipuja rupa paras dan batang tubuhnya. Yang Allah dan rasulullah SAW minta ialah agar kita meneruskan sunnahnya, mengembangkan ajarannya. Itulah Nur Muhammad, Nur Allah, cahaya yang seharusnya menyuluhi kegelapan hidup kita masa ini.

Selain itu lihatlah bagaimana kita menyembah begitu banyak peribadi, dari kalangan orang alim, para pemimpin (imam), parti, bangsa dan sebagainya. Itu belum tolak pelbagai kerja syirik yang nyata, yang menampakkan Islam sudah berubah wajahnya. Kubur alim ulamak dipuja. Air jampi, kurma jampi, tangkal, zikir boleh diiklankan oleh para ustaz dengan sewenang-wenang. Isu penyelewengan pekej umrah dan haji, zakat dan kurban ghaib oleh ustaz-ustaz menjadi-jadi. Isu tentang sihir diwar-warkan untuk melakukan khidmat rawatannya. Ya, agama ini sudah dikomersialkan. Wajarlah Allah cemburu.

KESIMPULAN

Jika fitnah al-Masih al-Dajjal ialah berupa fahaman jahat, maka al-Masih al-Mahdi itu bakal diutus untuk membawa hudan (petunjuk yang benar) untuk melawan regim syaitan itu. Itulah qur’anil Hakim. Alquran yang penuh hukum, yang penuh hikmah kebijaksanaan, yang menjadi hakim kita. Kemudian al-Masih Isa a.s. pula diturunkan untuk menghidupkan semula orang yang mati hatinya, walaupun tubuhnya hidup mundar mandir. Bacalah semula falsafah di sebalik AL-MASIH dalam siri-siri yang lalu.

Apabila disebut al-Masih, maka janganlah cari tubuhnya yang kini digambarkan dengan begitu banyak dongengan paras rupa. Gambaran-gambaran yang diceramahkan dan ditulis dengan hebat inilah yang kononnya menakutkan manusia.

Akhirnya kita semua asyik menanti-nanti kehadiran susuk tubuh itu, sedangkan tanpa kita sedar regim syaitan itu sudah lama sebati masuk dan meresap ke dalam diri. Itu amat jelas sekali sehingga generasi kita sudah tidak lagi kenal agama sendiri. Itulah hakikat kehalusan syaitan dan iblis yang meresap tanpa jisim ke dalam diri kita. Hembusan asap dan angin yang dianalogikan dengan kaburan mata dan berita ke dada kita itulah yang menjadi soal pokoknya.

QS: 5. Al Maa’idah 104. “Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul.” Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya.” Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak mendapat petunjuk?”

QS: 36. Yaasiin 6. “Agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang bapak-bapak mereka belum pernah diberi peringatan, karena itu mereka lalai.”

Bacalah semula surah Yasin di malam jumaat bersama terjemahannya. Iqra’lah, kaji dengan teliti agar kita mampu menghayatinya. Penghayatan itulah yang bakal menghidupkan semula jiwa yang sudah lama lena. Pukulkan semula tongkat Musa a.s. ke lautan manusia, biarpun ia akan terbelah dua. Pukullah semula ilmu dari tongkat Isa a.s. agar yang mati hidup semula, agar hati-hati yang sakit sembuh semula. Dapatkanlah semula kekuatan Tongkat Ali r.a., berkhutbahlah menggunakan ilmunya agar Islam mampu bangkit dan kuat semula.

Kudap Jumaat
WARGA PRIHATIN