Kelantan sedia beri penjelasan mengenai hudud

 Ahmad Yakob
  • Ahmad Yakob
 

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan bersedia untuk terus memberikan penjelasan mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) bagi memastikan semua pihak benar-benar jelas dan faham undang-undang Islam itu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, penjelasan berulang kali telah diberikan kerajaan negeri termasuk kepada wakil kaum lain bagi memastikan semua pihak menerima maklumat jelas mengenai usaha enakmen berkenaan.

“Namun, jika masih ramai yang belum jelas, kita ada urus setia penerangan yang akan membantu memberikan penjelasan supaya tidak timbul isu menentang kerana tidak faham.

“Sebenarnya tidak ada satu enakmen pun yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen seperti mana kita lakukan, dengan dedahkan kepada umum dan beri peluang kepada mana-mana pihak untuk melihat dan berbincang.

“Kita lakukan perkara ini secara jujur dan ikhlas, sebab itu mahu semua orang lihat dahulu, tak pernah buat seperti ini sejak tahun 1993,” katanya kepada media selepas pengumuman keputusan PRK Dun Chempaka di Putik, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, walaupun Pas dilihat bersendirian memperjuangkan pelaksanaan hudud di Kelantan apabila parti komponen PR secara terbuka menegaskan untuk tidak menyokong, namun parti itu akan berusaha mendapatkan majoriti mudah.

“Kita cuba untuk dapatkan majoriti mudah, tanggungjawab kita bawa (rang undang-undang persendirian ke Parlimen), parti tak sokong tak apa, yang penting ahli Parlimen sokong. Bagaimanapun kita tetap berharap semua ahli Parlimen Muslim akan bagi sokongan,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan calon Pas, Ahmad berkata, kejayaan meraih majoriti besar memberi semangat baharu kepada parti itu untuk membuat persiapan menghadapi PRU14.

“Apa yang kita lalui memberi satu input terbaik, apabila mendapat kerjasama semua pihak, jentera juga bekerja dengan baik.

“Insya-ALLAH keadaan ini akan berterusan dan kita lebih yakin pada masa akan datang, Pas akan terus menguasai dan mendapat sokongan daripada rakyat Kelantan khasnya,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan pada program sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan golongan yang masih menentang pelaksanaan hukum ALLAH di Kelantan sebagai tidak memahami pendirian kerajaan negeri dalam perkara tersebut.

Artikel Berkaitan