KEBEBASAN SEBENAR ADALAH BILA TAK TUNDUK DENGAN NAFSU DAN AKUR DENGAN ATURAN AGAMA DAN RESTU AYAH IBU

Rasa terkejut dan hiba bertandang apabila mendengar berita tentang dua remaja yang tergamak melarikan diri dari rumah semata-mata mahu mengejar kebebasan. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan paling selamat ditinggalkan begitu sahaja demi kebebasan ilusi yang disangka indah.
.
Hakikatnya, dunia di luar sana tidak semudah dan seindah yang dibayangkan di media sosial atau fikiran rekaan. Dunia luar bukan babak indah dalam drama jam 7 malam. Bukan juga dari video pendek di socmed yang menjadi kegilaan remaja. Bagi yang telah terfikir untuk mengambil langkah drastik seperti ini, ketahuilah bahawa bahaya besar sentiasa mengintai apabila kalian melangkah keluar tanpa perlindungan keluarga:
.
1. Risiko Menjadi Mangsa Eksploitasi dan Jenayah
Dunia luar penuh dengan individu yang bersikap pemangsa (predator). Tanpa wang, tempat tinggal dan perlindungan keluarga, remaja melarikan diri menjadi sasaran paling mudah untuk dieksploitasi. Risiko menjadi mangsa pemerdagangan manusia, pemerasan, kancah pelacuran atau dipaksa menjadi keldai dadah amat tinggi. Orang asing yang kelihatan ‘baik’ pada awalnya kerap kali mempunyai niat jahat yang terselindung.
.
2. Terjebak dengan Masalah Sosial dan Jenayah
Untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti membeli makanan atau menyewa tempat tinggal, remaja yang terdesak mudah terdorong melakukan perkara di luar batasan undang-undang dan moral. Menyertai geng haram, mencuri atau menjual bahan terlarang sering kali menjadi jalan pintas yang merosakkan masa depan dan berakhir di balik tirai besi atau pusat perlindungan juvana.
.
3. Kehilangan Keselamatan, Makanan dan Perlindungan Asas
Mengejar kebebasan tanpa persiapan kewangan dan kematangan hidup hanya membawa kepada penderitaan fizikal. Hidup gelandangan, tiada makanan yang sempurna, serta ketiadaan tempat tidur yang selamat mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya kesihatan, kebuluran dan ancaman keselamatan fizikal terutamanya pada waktu malam.
.
4. Kerosakan Masa Depan dan Penyesalan Sepanjang Hayat
Keputusan emosi yang diambil dalam sekelip mata boleh menghancurkan impian dan masa depan yang dibina bertahun-tahun. Pelajaran terhenti, kerjaya terbengkalai dan hubungan kekeluargaan terjejas teruk. Penyesalan yang datang kemudian hari sering kali sudah tidak mampu mengubah semula masa yang telah hilang.
.
Nasihat untuk semua remaja yang MUNGKIN telah sampai penulisan ini ke pembacaan kalian :
.
Ini Bukan Pengakhiran Hidup: Jika kalian TERSILAP, pulanglah kembali ke pangkuan keluarga. Atau, sekurang-kurangnya, carilah balai polis terdekat untuk bantuan segera. Jika kalian tersilap, jangan diulangi lagi. Berkomunikasilah dengan ayah ibu dengan baik dan carilah jalan penyelesaian bersama.
.
Kebebasan Tanpa Syarat Adalah Perangkap: Jangan terpedaya dengan bayangan kebebasan mutlak. Kebebasan sebenar hadir bersama tanggungjawab yang amat berat.
.
Selesaikan Masalah Melalui Saluran yang Betul: Jika ada perselisihan faham dengan ayah ibu, carilah orang dewasa yang boleh dipercayai (seperti guru, kaunselor atau ahli keluarga terdekat) untuk menjadi perantara. Melarikan diri bukanlah jalan keluar, sebaliknya ia hanya menambah masalah yang jauh lebih besar.
.
Hargai Perlindungan Ayah Ibu: Bumbung tempat berteduh dan makanan yang disediakan ayah ibu mungkin nampak biasa, tetapi itulah benteng keselamatan paling mahal yang tiada nilainya di luar sana.
.
PULANG KE RUMAH YA, ANAK-ANAK.
Ayah ibu menanti kalian pulang.
.
Semoga Allah pelihara kamu, sebaiknya.
WARGA PRIHATIN