Jakarta cadang ‘benarkan’ kegiatan pelacuran

PUBLISHED: May 28, 2015 12:46pm00 indo pelacuran

INDONESIA CADANG ‘LEGAL’KAN INDUSTRI PALACURAN

Dalam satu artikel berkaitan gejala sosial sebelum ini pernah kami kongsikan tahap kemaksiatan di negara jiran kita. Pemerhatian yang diceritakan Pengetua kami yang sering berkelana malah ada beberapa cawangan perniagaannya di seluruh Indonesia memang sukar diterima.

Dari 1995-2000, beliau menjelajah seluruh Indonesia untuk mengurus produk dan cawangan-cawangannya. Dari Batam, Tanjung Pinang, Dumai, Medan, Bukit Tinggi, jakarta, Pulau Gadong, Tanjung Periuk, Indramayu, Jepara, Ciribon, Bandung, Garut, Tasik Malaya, Jogjakarta, Surabaya, Malang sampailah ke Bali.

Menyentuh isu zina dan maksiat, beliau kongsikan suasana di mana arak dijual dan diminum secara terbuka di merata-rata. Toleransi terhadap zina dan maksiat terlalu tinggi. Setiap pelancung boleh mendapatkan khidmat seks dan urut dengan amat mudah. Dari abang beca, pemandu teksi sampai preman di jalan semua tahu dan ‘sudi membantu’.

Amat menyedihkan apabila beliau ceritakan betapa ahli ibadat yang kuat solat juga tidak berupaya menghalang maksiat yang berlaku siang malam di depan mata.

Di perkampungan ilmu, di mana ramai tahfiz dan guru agama, warung pelacuran, panti pijat dan pusat hiburan kecil-kecilan bersepah di kiri kanan jalan. Kita harus lalu di celah-celah ‘warung maksiat’ itu untuk ke masjid. Ada pelacur yang ‘sengaja’ berbogel mandi di telaga yang boleh dilihat orang luar dengan mudah.

Paling sadis ialah melihat sebuah taman pelacuran ‘pandu masuk’ di Surabaya. Tarian bogel juga banyak didapati di gedung hiburan yang besar-besar. Pelajar universiti dan janda muda banyak menjual tubuh secara terbuka di situ. Yang peliknya kebanyakan pelanggannya pula adalah usahawan tempatan dan pegawai tinggi negara.

Satu lagi yang diceritakan ialah warung pelacuran terbuka Di Tanjung Periuk. Kebanyakan pelacur di sini terdiri dari gadis belasan tahun.

Ada banyak lagi yang bermain di benak fikiran beliau. Barangan kulit babi pun boleh dikatakan kulit kerbau. Penipuan, kecurian dan rompakan terlalu biasa terjadi di depan mata tanpa mengira latar belakang pelaku dan mangsa.

Konsert lucah pun ada di kenduri kahwin. Beberapa penyanyi dan penari dangdut seksi dibayar untuk menghiburkan ribuan tetamu dengan pakaian separuh bogel. Pelik juga melihat pak haji dan hajjah yang bertudung lingkup  dalam majlis itu turut ‘meraikannya’ tanpa segan silu. Dengan songkok di kepala, selamba sahaja memegak secekak wang dan menyelitkannya di celah coli dan seluar dalam penari secara terbuka begitu.

Amat sukar mengenal orang yang baik dan buruk. Pepatah “Yang haram saja sudah habis dijual pak…” memang biasa di dengar dan itulah hakikatnya.

Dahulu aktiviti pelacuran dilakukan secara terbuka atau berpusat untuk memudahkan pelacur mendapat pelanggan. Kini ia telah dilakukan secara haram di bilik sewa serta pangsapuri mewah kerana pelanggan atau pelacur boleh dicari melalui talian serta media sosial. Akhirnya, aktiviti gelap itu membuka ruang jenayah. Ada kes pelacur yang dibunuh pelanggan.

Wajarkah atas asbab itu maka pelacuran langsung diizinkan secara legal oleh pemerintah?

Bagi kami, sebagai negara Islam ia amat keterlaluan. Apa yang dilihat selama ini sahaja sudah sukar diterima akal dan iman kita. Biarpun akan ada yang menentang, namun apabila ada pemimpin yang mula berfikiran begitu, maka itu tanda umat ini sudah terlalu teruk akidahnya.

Semuga pembaca dari Indonesia dapat mengorak langkah agar lebih proaktif membenteras jenayah syariah ini. Dalam banyak hal, banyak perbuatan dan tidak tanduk kita sudah terlalu hina di sisi agama. Janganlah ditambah lagi kerana bencana dari murka Allah bakal menimpa semua yang ada.

WARGA PRIHATIN

*  *  *  *  *
JAKARTA, 28 Mei 2015

Mengawal aktiviti pelacuran dengan ‘membenarkan’ pelacuran, begitulah cadangan yang dilemparkan pemerintahan Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta.

Akhbar tempatan melaporkan, aktiviti pelacuran mungkin dibenarkan di beberapa kawasan di Jakarta, sebagai usaha mengawal kegiatan pelacuran haram yang berlaku di bilik sewa dan pangsapuri.

Idea untuk membenarkan aktiviti pelacuran dan mewujudkan ‘pekerja industri seks’ berdaftar itu ditimbulkan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, ekoran pelbagai kejadian tidak diingini, termasuk kes jenayah.

Selain itu, kebenaran untuk aktiviti pelacuran di tempat tertentu juga dikatakan dapat mengawal kegiatan menawarkan perkhidmatan seks di kalangan gadis bawah umur.

Akhbar tempatan memetik Sekretaris Daerah Pemerintah Provinsi DKI Jakarta, Saefullah sebagai berkata, pihaknya sedang meneliti cadangan membenarkan sebahagian bangunan di pangsapuri dijadikan kawasan pelacuran.

Katanya, ia sekadar satu cadangan untuk mendapat reaksi pelbagai pihak dan gabenor itu akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum melaksanakannya.

Aktiviti pelacuran di Jakarta dikatakan dilakukan secara haram di bilik sewa serta pangsapuri mewah dan pelanggan boleh mendapat maklumat dalam talian serta media sosial.

Baru-baru ini, seorang gadis berumur 26 tahun yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks menerusi laman sosial, ditemui mati dalam bilik sewanya, dipercayai dibunuh pelanggannya.

Pihak berkuasa juga membongkar kegiatan perkhidmatan seks remaja bawah umur, menerusi sebuah laman sesawang, selepas menyerbu sebuah pangsapuri mewah dan menyelamatkan kira-kira 10 remaja, termasuk seorang gadis yang sedang mengandung dan dijadikan pelacur untuk golongan kelas atasan.

Bagaimanapun, idea Ahok itu dibantah Wakil Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia, Ma’ruf Amin yang dipetik media sebagai berkata, cadangan membenarkan pelacuran adalah langkah salah dan menyimpang daripada ajaran syariat Islam.

“Maksiat itu harus diminimalkan, bukan dibenarkan,” katanya sambil menyeru semua pendakwah menggerakkan aktiviti kesedaran mengenai kesan buruk akibat pelacuran.

Foto hiasan : prostitutionrecovery.org