Dua suspek culik, jual bayi ditahan

Dua suspek culik, jual bayi ditahan

Dec 15, 2013 7:39 pm

ANGGOTA Polis membawa dua suspek yang ditahan dipercayai telah menculik seorang bayi berusia tujuh bulan di Jalan Air Itam pada Khamis lalu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut. - Foto Muhammad Mikail Ong

ANGGOTA Polis membawa dua suspek yang ditahan dipercayai telah menculik seorang bayi berusia tujuh bulan di Jalan Air Itam pada Khamis lalu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut. – Foto Muhammad Mikail Ong

GEORGETOWN: Dua wanita yang juga suspek kes culik dan jual bayi perempuan berusia tujuh bulan berjaya ditahan polis di stesen bas Butterworth, dekat sini kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Kedua-dua wanita terbabit dikatakan baru sampai dari Kuala Lumpur dan polis berjaya mengesan mereka melalui talian telefon bimbit yang digunakan seorang daripada suspek.

Menurut sumber, suspek masih menggunakan nombor talian telefon bimbit yang sama kerana mahu berhubung dengan pembeli bayi berkenaan yang masih berhutang dengan mereka.

“Seorang daripada suspek itu melarikan diri ke rumah suaminya di Negeri Sembilan namun dengan menggunakan kaedah teknikal polis berjaya mengesan mereka melalui isyarat telefon bimbit.

“Hasil pemeriksaan isyarat talian telefon bimbit itu, polis berjaya mengesan mereka di kawasan stesen bas di Butterworth dan pemeriksaan lanjut berjaya menemui kedua-dua wanita itu dalam sebuah bas yang baru tiba dari Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

Jumaat lalu, polis berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang diculik daripada keluarganya sebelum dijual kepada seorang lelaki di Balik Pulau dengan harga RM3,500.

 

Bayi diculik diselamat polis

Syamsuhaini Samsuddin, tidak dapat menahan sebak sebaik anggota polis Timur Laut menyerahkan Nur Fairuz Izza Zahra Md Faizal, anaknya yang diculik seorang wanita di Air Itam di sini.

Syamsuhaini Samsuddin, tidak dapat menahan sebak sebaik anggota polis Timur Laut menyerahkan Nur Fairuz Izza Zahra Md Faizal, anaknya yang diculik seorang wanita di Air Itam di sini.

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan selepas diculik daripada jagaan keluarganya sebelum dijual dengan harga RM3,000 kepada seorang lelaki di Balik Pulau di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari selepas polis menerima maklumat dan sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Balik Pulau dan berjaya menemui bayi berkenaan bersama seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun yang mendakwa baru saja membeli bayi terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis menerima satu laporan kehilangan seorang bayi perempuan kira-kira jam 7 petang semalam daripada seorang wanita yang juga nenek bayi itu berusia 54 tahun yang tinggal di sebuah rumah di Paya Terubong.

Beliau berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian rumah mangsa didatangi dua wanita dan salah seorang suspek berusia 43 tahun mengenali nenek berkenaan kerana mereka pernah bekerja bersama sebagai pengawal keselamatan di sebuah bangunan kerajaan di sini.

Katanya, suspek memberitahu mangsa mahu membawa bayi berkenaan bersiar-siar di bawah blok namun selepas hampir 30 minit suspek tidak menghantar semula bayi berkenaan kepada nenek terbabit.

“Nenek itu cuba mencari cucunya namun tidak menemui dan usaha menghubungi rakannya juga gagal sebelum satu laporan polis dibuat selepas dia mengesyaki cucunya dilarikan kedua-dua suspek,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini hari ini.

Mazlan berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat nenek itu sepasukan anggota polis berjaya menahan seorang lelaki yang mengaku membeli bayi berkenaan pada harga RM3,000 selepas dijual oleh dua wanita terbabit untuk mendapatkan wang segera.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang berasal dari Tanjung Tokong itu ditahan bagi membantu siasatan selepas dia membeli bayi terbabit daripada kedua-dua suspek yang kemudiannya melarikan diri selepas memperolehi wang hasil menjual bayi itu.

Katanya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

“Polis berjaya mengenalpasti identiti kedua-dua suspek dan salah seorang suspek berusia 43 tahun itu dikenali sebagai Zuzita Ahmad, 43, dari Jalan Tanjung Tokong dan memiliki tiga rekod jenayah lampau bersangkutan kes curi di dalam bangunan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 379 kanun sama kerana curi.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang dan sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Polis ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis berhampiran.