Campak bayi dalam longkang
October 4th, 2011 08:00 PM | by Informasi My | jenayah.
GOMBAK – Gara-gara mahu menyembunyikan kelahiran anak hasil daripada perhubungan haram, seorang pelatih restoran berusia 19 tahun, sanggup mencampakkan bayi perempuan baru dilahirkan dari tingkat dua, rumahnya ke dalam longkang di flat di Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru, di sini, pagi semalam.
Bagaimanapun, rahsianya terbongkar apabila, mayat bayi itu ditemui orang awam, yang melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, mayat mangsa yang masih bertali pusat itu berada dalam keadaan tertiarap dalam longkang tersebut.
“Polis mengesan ibu mangsa itu yang tinggal di flat terbabit.
“Kita tahan dia kira-kira jam 9 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.
Abdul Rahim berkata, hasil soal siasat awal, suspek mengaku melahirkan bayi terbabit kira-kira jam 4 pagi dalam tandas asrama yang disediakan pemilik restoran dia bekerja.
Menurutnya, suspek yang panik selepas mendapati bayi dilahirkan tidak bernyawa, bertindak membuang bayi itu ke dalam longkang.
Menurutnya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, seorang bekas askar, Zahrizan Shaari, 27, berkata, dia diminta jirannya melihat sesuatu dalam longkang perumahan tersebut.
“Saya baru sampai dari Jengka, Pahang lebih kurang jam 7 pagi tadi (semalam). Tiba-tiba ada seorang pak cik panggil, minta saya sahkan sama ada objek dalam longkang adalah bayi atau tidak.
“Bila saya tengok memang betul ada bayi perempuan dalam keadaan bogel tertiarap di situ. Saya terus maklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.
Zahrizan berkata, dia tahu remaja itu tinggal bersama kawan-kawannya di tingkat dua flat berkenaan.