Warga Prihatin curi perhatian
Warga Prihatin curi perhatian
|
ACAPKALI kita dengar keluhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengenai kekurangan pendedahan dan sokongan daripada masyarakat umum. Keadaan ini pada kebanyakan masa menyukarkan badan-badan tersebut menjayakan sesebuah acara demi manfaat komuniti naungan mereka.
Kesukaran itu bagaimanapun tidak melemaskan niat murni sebuah badan NGO berjiwa besar, Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) untuk menganjurkan satu karnival amal sekali gus acara rumah terbuka khusus untuk penyokong mereka.
Setelah lama dirancang, tarikh 25 Disember 2013 menjadi detik bersejarah bagi badan itu apabila hampir 3,000 orang menghadiri kedua-dua acara berkenaan.
Dilaksanakan pekarangan Sekolah Agama Rahmaniah di Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor, karnival itu turut menghimpunkan lebih 23 buah gerai dan 40 orang peniaga.
Cuaca baik ternyata mengiringi usaha murni RPRW. Pada masa yang sama, kelihatan beberapa buah kenderaan ulang-alik membawa tetamu dari tapak karnival ke bangunan RPWP yang berjarak kira-kira 200 meter.
Lebih istimewa, penganjur acara itu turut menerima rombongan khas dari Brunei Darussalam.
Menurut ketua rombongan tersebut, Hasnan Abdul Rahman, pihaknya memang bercadang untuk melawat RPWP apabila berada di Malaysia.
“Wakil kami telah menghubungi pihak RPWP melalui laman Facebook mereka tentang hasrat kami. Alhamdulillah, mereka menyambut dan mempelawa kami dengan baik sekali,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada majlis berkenaan.
Beliau yang mengetuai rombongan keluarga yang terdiri daripada hampir 40 orang itu berada di Malaysia selama enam hari.
“Di Brunei, persatuan seperti ini masih kurang dan saya tidak terkejut jika RPWP mendapat perhatian yang cukup istimewa di Malaysia,” tambah lelaki yang berusia 57 tahun itu.
Karnival amal tersebut menyediakan gerai-gerai jualan yang menawarkan pelbagai barangan yang sebahagian besar terdiri daripada hidangan lazat seperti kuih-muih dan nasi beriani.
Selain itu, barangan lain seperti kosmetik, novel, pakaian Muslimah dan pakaian terpakai turut ditawarkan kepada pengunjung.
Sokongan ramai
Selaku Pengasas merangkap Pengetua RPWP, Dr. Masjuki Mohd. Musuri menzahirkan rasa syukur dengan sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak dalam menjayakan sambutan rumah terbuka dan karnival amal tersebut.
“Saya telah diberitahu, hampir 3,000 orang hadir memeriahkan program ini dengan kebanyakan daripada mereka datang dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Tokoh yang lebih selesa digelar ‘ayahanda’ atau ‘ayah’ itu turut memberitahu, bilangan kehadiran pengunjung itu telah terbukti melalui koleksi gambar, rakaman video dan buku daftar tetamu yang disediakan oleh sukarelawan RPWP.
“Objektif utama kami mengadakan rumah terbuka ini adalah untuk meraikan penyokong-penyokong di Facebook kami yang kini mencecah hampir 65,000 orang.
Tambahnya, penganjuran acara ini juga membuka pintu kami memperkenalkan misi dan visi RPWP kepada masyarakat umum.
“Sementara itu, karnival amal yang kami jalankan adalah hasil kerjasama dengan sukarelawan dari Universiti Malaya. Ia bertujuan untuk mengutip dana bagi kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan membina sebuah sekolah untuk anak-anak asnaf ini,” terangnya penuh bersemangat.
Karnival yang bermula seawal pukul 8.30 pagi sehingga 6 petang itu turut mengadakan beberapa aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna dan bercerita bagi kanak-kanak.
RPWP, yang ditubuhkan sejak tahun 2005, menerapkan konsep keluarga besar bagi menjadikan persatuan tersebut berbeza dengan pusat jagaan anak-anak yatim dan asnaf yang lain.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai RPWP di laman web www.prihatin.net.my.