Lapuran Khas Karnival Jualan Amal RPWP 2013

00 GARAGE small
Karnival Jualan Amal anjuran sebuah NGO yang diketuai oleh Dr Azma pada 25 Disember 2013 merupakan satu program yang sukar kami lupakan. Ia seperti sebuah mimpi bagi kami yang tidak menyangka ia bakal menjadi begitu menarik dan mendapat kehadiran yang sangat memberansangkan.

Cuaca pula tidak seperti yang dijangkakan di mana ramalan kajicuaca meramalkan hujan lebat tahap kuning pada hari itu, namun dengan izin Allah cuaca kekal redup dan cerah sepanjang hari. Ini telah membuatkan para peniaga mudah menjual dan tetamu dapat hadir berbelanja dengan selamat dan selesa sekali.

Wartawan KOSMO! Yang datang jam 3 petang menganggarkan kehadiran melebihi 1,000 orang tanpa melawat tapak karnival. Namun selepas meneliti gambar-gambar, video dan buku daftar tetamu, didapati kehadiran melebihi 3,000 orang sejak seawal 8.30 pagi hingga jam 7 malam. Ini disokong oleh lapuran dari beberapa peniaga, khususnya peniaga makanan, minuman dan permainan yang mana jualan mereka habis terjual semuanya.

Apa yang menarik dari acara yang dirangka sejak 3 bulan sebelumnya itu bukanlah jumlah jualan semata-mata, tetapi bagaimana program ini dapat menyatukan hati-hati manusia. Beberapa mesyuarat bersama urusetia dan Warga Prihatin telah diadakan sebelum program berjalan. Program ini juga turut merapatkan hubungan antara RPWP dengan warga masjid, masyarakat setempat, dengan pihak Sekolah Agama, pihak Polis dan sebagainya.

Lebih menarik sekali bahawa Karnival ini turut dihadiri oleh rakan-rakan dari pelbagai bangsa seperti India dan Cina. Tidak ketinggalan serombongan 40 orang dari Brunei Darussalam juga turut hadir. Jurang pangkat dan darjat benar-benar telah dapat dihapuskan dalam program ini. Kecil besar, tua muda, kaya dan miskin, asnaf dan yatim kesemuanya gembira bekerjasama membuat persiapan dan menguruskan jualan.

Turut hadir ialah Bikers Club Affin Investment Bank yang turut memeriahkan majlis dengan menghadiahkan 10 buah basikal baru untuk anak-anak RPWP. PA SYSTEM yang canggih telah disumbangkan sebahagiannya oleh saudara Dika. Ini menambah lagi kemeriahan Karnival yang berlansung di padang letak kereta dan seluruh komplek Sekolah Agama Rahmaniah Sungai Ramal Baru itu.

Dari maklumbalas pembeli, ternyata apa yang dijual terlalu murah harganya sehingga ada pembeli pelbagai bangsa yang mengulang sehingga 6 kali dalam masa beberapa jam itu. Mereka turut mengajak rakan-rakan sejiran mereka untuk datang membeli. Paling manis bila mereka harap agar karnival ini dapat dibuat lagi sekerap mungkin.

Jualan paling laris ialah buah potong dan Aiskrim Malaysia yang dibuat dengan berhati-hati dan dijual sendiri oleh anak-anak RPWP sebagai latihan keusahawanan mereka sempena Kem Cuti Sekolah tahun ini. Apapun yang paling membuatkan kami sangat gembira ialah melihat terzahir dengan jelasnya keikhlasan semua pihak yang terlibat sehingga ada yang datang berniaga barang sendiri, jual sendiri, menyewa gerai dan sebelum berangkat pulang mewakafkan KESELURUHAN JUALAN mereka di rumah ini.

Hanya Allah dapat membalas amal budi semua yang terlibat. Ketahuilah, ramai masyarakat memuji usaha kalian kerana mereka dapat berbelanja sambil beramal. Rata-rata terpegun dengan kesungguhan dan keikhlasan yang ditunjukkan. Kredit ini bukan sahaja dari pemerhatian kami, malah juga hasil ulasan pihak sekolah dan ketua masyarakat setempat. Mereka harap Karnival ini boleh diulang setiap musim cuti sekolah kerana tapak itu sangat sesuai untuk jualan amal. Surau dan tandas sekolah juga semakin bersih selepas digunakan ujar kebanyakan mereka.

Insyaallah kami berhajat untuk menjemput kesemua urusetia dan para peniaga yang terlibat untuk satu majlis kesyukuran sedikit hari lagi. Sewaktu program berjalan mungkin ada kekurangan di sana-sini yang terlepas pandang akibat kesibukan masing-masing, khasnya dalam melayani semua insan budiman yang terlibat. Jadi dalam majlis itu nanti insyaallah kita boleh beramah mesra dengan lebih akrab lagi.

Kami kembalikan kepada Allah untuk membalas jasa kalian semua. Mohon ampun dan maaf atas apa sahaja kekurangan layanan dari kami selaku tuan rumah dalam membantu menyempurnakan Program yang anda anjurkan untuk membantu Projek Amal rumah ini.

Luahan kesyukuran.
WARGA PRIHATIN