Tragedi Ngeri Balik Kampung


Mendengar berita pagi tadi dan beberapa hari kebelakangan ini amat menakutkan. Baru saja beberapa hari musim cuti ini bermula, sudah begitu banyak kemalangan maut terjadi.

“Innalillahi wainnailaihi rooji’uun – Sesungguhnya bagi Allah dan sesungguhnya Kepadanya segala nya menjadi rujukan”.

Mari kita iqra’ kembali, kita cari rujukannya berdasarkan sistem Allah, Basmallah, mengapa ini terjadi, atau bagaimana Allah menetapkan ianya terjadi.

PERANAN MASYARAKAT & PENGUATKUASA TANPA KEPENTINGAN:

Setiap kali pulang raya, dapat kami lihat betapa kenderaan besar, khasnya bas ekspress sangat bermaharajalela di jalanraya. Ada bas 2 tingkat yang pecut kekal 140km/jam, sentiasa di lorong paling kanan. Berapa banyak pemandu wanita, warga emas yang dihimpit sesuka hati, khasnya perjalanan malam hari.

Banyak rakaman video dan gambar yang sangat jelas dibuat. Pernah juga Warga kami kirim secara rasmi hampir 100 keping gambar sebagai bukti kepada pihak berkuasa, namun email ber ‘cc’ kepada pelbagai agensi penguatkuasa, satu pun tak berbalas.

RUJUKAN SISTEM PENGATURAN ALAM ALLAH DI SINI ialah, apabila Allah turunkan satu aturan atau perintah, akan dikirim malaikat yang tidak berkepentingan untuk mengekori kita. Mencatat & Melapur kerjabuat kita untuk diHAKIMI kemudian hari.

Jika kita masing-masing tidak ambil peduli, maka sistem kehidupan kita tidak Islamik kerana tidak menjalankan tugas ingat mengingati, mencatat, merakam & melapur sebagai usaha untuk turut membantu pihak berkuasa yang tidak akan sekali2 mampu mengekori semua bas dan lori-lori yang banyak itu.

Tapi apabila tanpa kepentingan kita kirim maklumat dan tidak di layan, maka ada yang perlu diperbaiki pada efisiensi penguatkuasa di situ.

KONSEP DOA SEBELUM MEMULAKAN PERJALANAN:

“Doa itu otak ibadah”. Ia mententeramkan jiwa dan tumpuan hati. Apabila kita mulakan perjalanan dengan doa, secara psikologinya kita akan menjadi tenang dan merasa siap sedia untuk memandu. Apabila rakan seperjalanan mengaminkan doa, maka ia seharusnya faham apa tujuan doa itu dan bersiap untuk saling ingat mengingati pemandu.

Sebaik-baik doa ialah BASMALLAH. Kita tekadkan perjalanan kita atas nama Allah, ingin mengikut tabiat yang Allah suka, bukan ikut tabiat yang syaitan suka. Kita inginkan rahmat dan kasih sayang dari Allah dan manusia di sepanjang perjalanan kita.

Sepanjang perjalanan, jika kita tersasar atau lalai dalam pemanduan, kita akan kembali kepada frame pemikiran awal tadi. Rakan, keluarga yang ada bersama juga turut sering ingat mengingati, menzikirkan keselamatan sepanjang perjalanan itu.

Secara mudahnya, itulah hakikat doa, seru, seruan, dakwah, secara `amalan perlaksanaan’ sains sosial dan sains psikologinya.

PERANCANGAN SEBELUM MEMANDU:

FIRMAN Allah
59:18. Wahai orang-orang yang beriman, takutilah Allah. Hendaklah tiap-tiap diri merenung apa yang ia ingin dahulukan untuk esok. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah menyedari apa yang kamu buat.
59:19. Janganlah menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Dia menjadikan mereka melupakan diri mereka; mereka itu, merekalah orang-orang fasiq.

Rujukan ayat di atas juga terkait. Banyak punca kemalangan dikatakan kerana tidak merancang perjalanan. Tidak membuat persediaan yang cukup, keadaan angin, bunga tayar, brake dan sebagainya. Ramai juga yang terlibat kerana tabiat lupa diri, apabila tidak merancang, terkejar-kejar, jadi tidak aman dan macam orang gila, mabuk (lupa diri), marah-marah dll.

KETENANGAN SEMASA MEMANDU:

Bagaimana mahu memandu dalam suasana SYURGA, mengelakkan ketegangan NERAKA sepanjang perjalanan.

Firman Allah,
89:27. Wahai jiwa yang tenang (tenteram, damai),
89:28. Rujuklah kembali kepada Tuhan (Rob) kamu, dengan redo, agar kamu diredoi
89:29. Maka Masuklah kamu di kalangan ABID ku (yang tunduk merendah diri)
89:30. Dan (selepas itu) Masukilah kamu syurga Ku!”

Ciri Syurga yang Allah lakarkan dalam al-qur’an adalah satu tempat yang aman, sejahtera, air (hidayah) sentiasa mengalir, saling tanya menanya, tidak ada perkataan yang sia-sia, isteri yang bermata jeli (bukan mata jegey, juling), anak anak yang suci bersih, banyak air minuman (buah fikir) yang mengasyikkan tapi tidak memabukkan (rohik).

Nah gunakan pendekatan syurga itu, elakkan ketegangan. Banyakkan senyum. Merendah diri dan banyak mengalah. Berilah laluan kepada yang memerlukan. Jika sesak, bawa berbincang sesama sendiri, cipta suasana syurga dalam perjalanan itu. Lambailah tangan, ukirlah senyuman sebagai tanda persaudaraan & terima kasih kepada pemandu lain. Bukankah kita semua bersaudara,? semua baru lepas puasa dan nak sama-sama kembali fitrah berhari raya? Berkasih sayang ibarat bayi yang baru lahir, ibarat saudara yang selesai bermaaf maafan.?

Cukuplah setakat ini dulu. Semuga coretan ini dapat membantu. Jika anda akan memulai perjalanan sekarang, bayangkan dan zikir zikirkanlah pesanan ikhlas ini. Janganlah sampai ada berita dari kita yang tidak dapat bertemu lagi selepas raya nanti, hanya kerana kelalaian memandu dan mengawal nafsu.

KAMI SAYANG ANDA SEMUA. SEMUGA ALLAH SELAMATKAN ANDA MELALUI HIDAYAHNYA, DAN ANDA IKUTI PULA HIDAYAH ALLAH ITU DENGAN ISTIQOMAH (IHDINASSIROOTOL MUSTAQIIM). SEMUGA KELUARGA ANDA MENDAPAT NIKMAT PERJALANAN YANG MENYENANGKAN DAN SELAMAT INI.

TIPS: Allah tidak akan mengubah nasib kita, yang Allah beri hanyalah cara hidup, hidayah yang menunjukkan hidup selamat. Keselamatan ujud bila kita ISTIQOMAHKAN hidayah itu.

Demikian hidangan kuih raya buat perkongsian kefahaman konsep DOA & SERUAN, HIDAYAH & ISTIQOMAH, NIKMAT SYURGA & NERAKA DUNIA ini, buat menemani perjalanan anda. Doa khusus untuk anda yang pernah bersedekah dalam apa jua bentuk di RPWP. Anda beri anak-anak kami makanan jasmani, kami kembalikan dengan sajian rohani. Semuga Allah merestui.

Jika ada kebaikan, Alhamdulillah, sama-sama puji Allah kerana itu bukan milik KAMI, itu HIDAYAH dan milik ALLAH semuanya, silalah SHARE & sebarkan. Jika tidak baik, sila abaikan saja. Itu adalah atas kelemahan dan kejahilan kami sendiri.

Selamat mengakhiri situasi panas, Ramadh di bulan Ramadhan yang bakal pergi meninggalkan kita tidak berapa hari lagi. Berlalunya Ramadhan, bermakna kita akan berubah topik dan kenikmatan menzikirkan fadhilat Ramadhan, Nuzul Quran, lailatul Qadar, sedekah, anak yatim, fadhilat terawih dll akan tidak kedengaran lagi.

Subhanallah, akan tenggelam ‘sementara’ nikmat ilmu, nikmat pristiwa dan asbab turunnya AlQur’an tanpa RAMADHAN. Sedihnya…

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Ma’af Zahir Batin

Doa selamat dari
WARGA PRIHATIN

– mari sama-sama kita AMIIN kan.