Tips Munakahat – Apakah Ciri Suami Kesukaan Rasulullah s.a.w.?

00 isteri sujudTips Munakahat – Apakah Ciri Suami Kesukaan Rasulullah s.a.w.?

Permintaan Artikel parenting tips kami dianggap minuman lazat dari syurga. Walaupun kami rasakan ROHIK itu belum cukup masak peramannya, namun penghuni neraka keluarga merasakan ia sudah cukup lazat dan mampu menghilang dahaga. Artikel yang asalnya menjurus kepada pemulihan porak perandanya institusi keluarga sedia ada telah didesak untuk membantu pasangan baru. Malah ada yang minta kami buat kursus perkahwinan.. Subhanallah… sabar saja lahhh.!

WANITA TERTEKAN

Dalam siri artikel kami yang menyentuh soal parenting, khususnya yang menyentuh soal wanita bekerjaya, banyak merasakan yang wanita tertekan. Masing-masing menyuarakan yang artikel itu tidak adil dan mereka merasa teraniaya. Ramai yang seolah-olah menjerit kononnya ingin berhenti kerja tapi tiada upaya kerana kerjaya mereka menjadi tulang belakang nafkah keluarga. Tak pasal pasal kami pula yang kalian maki..! itulah nasib kami.

Amat kasihan kami melihat rintihan para isteri dari ribuan respond yang kami terima dari kupasan isu dalam artikel tersebut. Ramai yang nampak kebenaran cadangan yang diutarakan namun tidak mampu berbuat apa-apa. Tidak mengapalah para isteri sekalian, jika anda dalam keadaan TERPAKSA, itu adalah darurat namanya. Banyak perkara yang haram menjadi harus dalam situasi darurah. Begitulah juga sebaliknya bagi yang halal.

Warga Prihatin ini bukan penulis atau KLINIK RUMAHTANGGA yang bersifat individu. Kami menulis secara berjemah, mengemukakan hasil kajian yang mendasar dan telah kami sendiri laksanakan hasil kajiannya.

Kami tulis atas dasar kasih agar anda tidak sengsara seperti apa yang kami rasa sebelumnya. Kami gunakan subjek keluarga kami sendiri, bercampur dengan rujukan-rujukan yang hadir kepada kami. Kami dedahkan semuanya untuk membantu anda membuat islah dalam keluarga, bukan untuk mencari publisiti atau royalti. Jika kami sedang mengupas permasalahan golongan isteri, tugas kami adalah menelanjangkan segala kepincangan yang kami temui. Begitu juga halnya bila kami mengupas isu suami.

HAKIKAT MASJID & SUJUD DALAM RUMAHTANGGA

Selama ini kita dengar ungkapan bahawa mendirikan rumahtangga adalah ibarat MENDIRIKAN MASJID. Malangnya tidak ramai yang mengkaji apakah kaitan MASJID dengan RUMAHTANGGA.

Masjid adalah satu gabungan prakata MA-SUJUD (tempat-sujud). Sebelum mendirikan rumahtangga harus kita sama-sama berusaha menyenaraikan apakah pengisian yang wajib diadakan bagi melengkapi institusi masjid dalam rumah tangga kita.

Hadis dalam gambar di atas seolah-olah meminta seorang isteri itu sujud kepada suami. Itulah tempat sujud secara umumnya. Cara sujud bagi seorang isteri sebagai syarat menempati syurga ialah mengerjakan rukun Islam yang biasa dan mematuhi perintah suaminya – itu sahaja hakikat sujud dan syarat masuk syurga bagi isteri.

Soalnya layakkah dipatuhi jika sang suami masih tidak sedar diri? Masih leka dan sibuk menyembah berhala?

SEJARAH KEHADIRAN SEORANG LELAKI DI BUMI

Inilah soal pokok yang paling berat sekali. Hasil penelitian kami, dunia ini sedang dilanda bencana kepimpinan keluarga yang paling besar. Dunia sedang dibuai leka di mana ketiadaan cukup lelaki yang ada fungsi halkum dan suara untuk menjadi sarana sujud bagi kaum wanita. Lelaki sekarang sangat rendah kelelakiannya di sisi Allah.

Jika Islam telah tegak sebelumnya, namun Rasulullah s.a.w. itu dilahirkan dalam masyarakat yang telah jahil semula. Baginda memerhati pusingan zaman, sejak zaman Adam sampai zaman baginda. Kerana itulah baginda mampu dengan yakin menyatakan jahiliyah itu akan BANGKIT semula. Dari mana baginda dapat menelek dan meneka? Ia dari kajian pusingan sunnah zaman berzaman.

Kajilah dengan mendalam apa yang terkandung dalam kitab Hadis Akhir Zaman. Anda akan lihat bagaimana kegemilangan Islam yang telah Rasulullah s.a.w. tegakkan dahulu juga telah jadi begitu. Ia mengulangi pusingan kejatuhan yang sangat jelas dan nyata sekali. Kita semua sudah kembali berada dalam syurga kayangan, ibarat Adam dan Hawa di langit sana dulunya. Syurga hayalan yang sedang dikuasai oleh malaikat bernama syaitan yang nyata.

Dalam syurga itu, Adam tiada suara dan pendirian yang tegas. Adam hanya mengikut sahaja kehendak isterinya Hawa. Segala buah yang ada di syurga kayangan itu Hawa nak ajak Adam rasa. Larangan Allah sedikitpun Adam tidak ambil kira. Apabila telah tercekik dengan buah khuldi barulah Adam bersuara dan sedar semula.

Kesedaran dan ketegasan halkum Adam itulah yang menyedarkan Adam dari hayalan di syurga yang sebenarnya neraka syaitan. Setelah tercekik dan mampu bersuara itulah Adam terdampar di Bumi. Malangnya di bumi Adam hanya sendiri. Amat sunyi dan pilu sekali, tidak mampu berbuat apa-apa tanpa kehadiran isteri. Lalu Allah hadirkan kepadanya isteri kesayangannya Hawa di Arafah sana. Dikatakan selepas 200 tahun lamanya. Itulah titik pertemuan atas dasar ilmu, Arafah yang terkait dengan arif dan hujjah.

Siapa Adam? Ya dia adalah lelaki yang pernah menjadi ketua keluarga yang mengikut telunjuk isterinya di syurga kayangan dahulunya. Adam disedarkan untuk bersuara setelah tertelan buah khuldi dari pohon syurga hayalan lalu Allah minta mulakan kehidupan semula di dunia. Allah letakkan Adam di alam nyata dan Allah ajarkan Adam semula segala nama-nama. Inilah analogi re-instalasi.

Wahai kaum Adam. Sedarlah diri. Segala bencana keluarga dan dunia ini hasil dari kebodohan atau kelalaian kita sendiri. Ini semua telah membuatkan institusi keluarga duduk di bawah telunjuk dan kuasa isteri. Itu tidak fitrah sama sekali. Mari kembali kepada fitrah Allah bahawa lelaki itu pemimpin keluarga dan bukan sebaliknya. Mari sedar dari lamunan dan kembali mempelajari ilmu agama untuk memimpin keluarga. Lihatlah di ruang komen yang nyata, semua kesedaran datang dari golongan wanita. Di mana Adam?

Kami rasa ini baru intro sahaja tapi sudah cukup panjang untuk satu penulisan bertaraf tips. Jadi kami terpaksa berhenti di sini. Ciri suami yang dijanji terpaksa kami tulis dalam siri berikutnya kerana setiap artikel kami akan ada yang komplain – terlalu PANJANG!.

Bersambung dalam siri yang bakal mengupas falsafah RUKUN NIKAH…

Kudap Munakahat
Warga Prihatin