Tafakur Alam – Dari Lagu ‘Berita Kepada Kawan’

Tafakur Alam – Dari Lagu ‘Berita Kepada Kawan’

Ramai yang berminat dengan maksud tersirat dari ayat kasar (tadabur) melalui pemerhatian alam terhadap lagu ‘Berita Kepada Kawan’ yang kami kaitkan melalui artikel Pembelajaran Alam sebelum ini. Ramai yang minta kami huraikan lebih lanjut apa sahaja pemerhatian alam dari lirik dan footage video itu dan kaitannya dengan kondisi kita sekarang. Sila rujuk artikel berikut,

http://www.youtube.com/watch?v=OCHGgfuRCT4
http://prihatin.net.my/web2/2014/02/19/tanah-air-manusia-hasil-iqra-pembelajaran-alam/

LIRIK LAGU DAN FENOMENA KEMANUSIAAN:

PERJALANAN INI
TERASA SANGAT MENYEDIHKAN
SAYANG ENGKAU TAK DUDUK
DI SAMPINGKU KAWAN

BANYAK CERITA
YANG MESTINYA KAU SAKSIKAN
DI TANAH KERING BEBATUAN

Hidup ini adalah satu perjalanan. Setiap dari kita melalui jalan-jalan yang berbeza-beza. Namun begitu destinasi kita tetap sama. Setiap dari kita yang dijadikan dari tanah, bakal kembali semula ke tanah dan membawa cerita masing-masing disepanjang perjalanan itu ke hadapan Allah Robbul Jalil.

Menceritakan pengalaman sepanjang perjalanan kami mengkaji dan meneliti fenomena alam, banyak berita sedih yang kami temui. Sebahagiannya turut dilalui dan ditemui oleh anda juga di laluan hidup masing masing. Sebahagian dari kita juga turut memerhati dan memikirkannya. Sebahagian yang lain ada yang turut melihat namun tidak memperdulikannya.  Hanya mereka yang ikut serta dalam perjalanan bersama kami dalam usaha pengkajian dan pembangunan ini yang dapat melihat dengan pasti dan menghayati segala penemuan hasil iqra’ ini.

Sesungguhnya terlalu banyak cerita yang selayaknya sama-sama kita saksikan dengan mata hati dari apa yang kami temui dan rasai hasil pengkajian ini. Inilah pemerhatian di tanah kering yang merekah dan keras membatu. Inilah hakikat manusia yang kegersangan, tidak dibasahi ilmu dan menjadi sangat keras kepala. Inilah hakikat tanah liat yang kering dan amat keras tidak boleh dibentuk, ibarat manusia yang keras hatinya dan tidak mudah dibentuk di mana sahaja mereka berada. Inilah hakikat tanah liat yang telah merekah, retak seribu akibat kepanasan (ramadh).

TUBUHKU TERGUNCANG
DIHEMPAS BATU JALANAN
HATI TERGETAR MENATAP
KERING RERUMPUTAN

Sesekali kami sendiri turut dicabar, digugat kencang oleh puak-puak yang berhati dan berkepala batu ini. Apabila dilontarkan berita tentang kondisi ramadh umat saat ini, ramai yang menidakkannya. Ramai juga golongan cyber warior, khususnya yang ada sijil berjela-jela yang memaki hamun tidak tentu hala, tanpa usul periksa. Kesedaran yang ingin kami tanamkan dipandang dengan sebelah mata sahaja oleh golongan tanah yang kering membatu dan merekah ini.

Berhempas pulas juga kami dihempap oleh golongan seperti ini. Ada yang berhasad dengki, ada yang sanggup menipu, menindas dan mencuri. Terkadang mahu sahaja meluah rasa marah dan memaki hamun akibat dari tekanan dan goncangan ini. Namun itulah hakikat tabiat dari manusia yang mengalami kegersangan jiwa.

Dewasa ini, Islam yang seharusnya ada pokok iman, sebagai asas akidah yang kokoh sebagai naungan bersama sudah tidak kelihatan lagi di mana kekuatannya. Kita ibarat sudah tiada tempat berteduh dan dahan tempat berpaut lagi. Kita hanya ada sedikit lagi tumbuhan berupa rumput. Malangnya, itupun sudah kering layu. Itulah yang kami cuba sedarkan. Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak. Hijaukan dahulu rumput kering, sementara membesar pohon rendang. Sekurang-kurangnya agar bumi tidak terus ketandusan dan merekah kekeringan.

PERJALANAN INI PUN
SEPERTI JADI SAKSI
GEMBALA KECIL
MENANGIS SEDIH …

Perjalanan hidup sendirian mengendalikan urusan Rumah ini menyaksikan gembala-gembala kecil yang sentiasa sahaja menangis sedih. Orang-orang kecil dan kerdil, dari golongan marhaen inilah yang sedang membantu urusan pengkajian dan pembangunan segolongan kecil dari modal insan yang sekian lama kami usahakan.

Sesungguhnya gembala kecil ini sering sedih melihat anak-anak generasi diratah oleh pelbagai rupa fitnah Dajjal yang berada dalam rumah sendiri. Sedih juga kerana gembala besar, pemimpin besar, yang sedang memimpin organisasi besar berterusan memuja nafsu, bersengketa mengejar pangkat, kuasa dan harta. Sedih melihat bumi yang luas ini mengering, mengeras dan terus menerus merekah. Manusia di segenap lapisan, dalam keluarga, dalam masyarakat dan negara saling berpecah belah.

KAWAN COBA DENGAR APA JAWABNYA
KETIKA DIA KU TANYA MENGAPA
BAPAK IBUNYA TELAH LAMA MATI
DITELAN BENCANA TANAH INI

Anak-anak kecil yang terbiar dibaham mindanya oleh fitnah Dajjal ini telah ada yang sedar. Biar bapa mereka baru kelmarin sahaja meninggal dunia, namun ibu bapa dan ‘bapak pimpinan’ mereka sebenarnya telah lama ‘mati’ fungsinya. Ada yang terbiar kerana ibu bapa awal-awal lagi telah berpisah. Ada yang terbiar kerana ibu bapa tiada kesedaran dan mereka menjadi liar, berkeadaan jahil, malah diherdik semasa menjadi yatim ‘sebelum yatim’nya lagi.

Semuanya berlaku kerana kegersangan wahyu dan petunjuk pada ibubapa mereka semasa mereka masih hidup lagi. Semuanya kerana kegersangan (ramadhan) pada persekitaran dan masyarakat mereka. Itulah hakikat bencana pada alam, bencana di bumi yang sedang kita alami secara mutasyabihatnya waktu ini. Kerananya ibu bapa, ahli masyarakat dan rakyat di negara ini saling berpecah belah dan bermusuhan. Akibatnya anak-anak ini yang menjadi mangsanya.

SESAMPAINYA DI LAUT
KUKABARKAN SEMUANYA
KEPADA KARANG KEPADA OMBAK
KEPADA MATAHARI

TETAPI SEMUA DIAM
TETAPI SEMUA BISU
TINGGAL AKU SENDIRI
TERPAKU MENATAP LANGIT

BARANGKALI DI SANA
ADA JAWABNYA
MENGAPA DI TANAHKU TERJADI BENCANA
Kami cuba bawakan berita ini, kami sampaikan ia kepada semua. Kami ajukan pertanyaan fenomena bencana ini pada lautan manusia yang berbagai rupa dan upaya ilmunya yang telah mereka cerap dari lautan manusia sekian lama. Secara analoginya, kami tanyakan kepada karang yang telah sekian lama terjadi dari enapan kalsium hasil pukulan ombak air masin di lautan manusia

Kami tanyakan juga hal ini kepada matahari, kami perhati dan meneliti dengan cahayanya yang terang benderang. Namun semuanya diam membisu. Akhirnya kami teruskan menyendiri bertafakur sambil terpaku menatap langit. Ya! itulah sahaja pilihan yang ada. Kami tatap langit setinggi-tingginya. Kami cuba selami jawapan yang ada di langit paling tinggi. Itulah pencarian Ilahi, melalui pembacaan wahyu dan pemerhatian alam ini. Di situ kami dapat jawapannya.
MUNGKIN TUHAN MULAI BOSAN
MELIHAT TINGKAH KITA
YANG SELALU SALAH DAN BANGGA
DENGAN DOSA-DOSA

ATAU ALAM MULAI ENGGAN
BERSAHABAT DENGAN KITA
COBA KITA BERTANYA PADA
RUMPUT YANG BERGOYANG

Akhirnya kami dapati sesungguhnya tuhan sudah mulai bosan dengan tingkah manusia yang sentiasa menyalahi perintahnya, malah berbangga dengan himpunan dosa-dosa harian kita. Jelas tergambar apa yang telah Allah firmankan dalam kitabNya. Terlalu banyak kerjabuat tangan manusia yang tidak henti-henti merosak dunia.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah,

11. Dan bila dikatakan kepada mereka:”Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.”

12. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerusakan, tetapi mereka tidak sadar.

Yang paling nyata sekali ialah kerosakan terhadap hidayah dan petunjuk yang baik kurniaan Allah kepada kita. Cara hidup, hukum hakam dari tuhan sudah tidak sudi lagi kita jadikan manual kehidupan sehari-hari. Masing-masing dari kita hidup dengan mencipta cara dan selera tersendiri. Sedikit demi sedikit evolusi itu berlaku, sehingga akhirnya ‘habit telah menjadi habitat’. Tanpa sedar kita sudah terlalu jauh dari fitrah yang ditetapkan Allah.

Akibatnya kini kita terlalu terasing dengan alam. Kita semua redah dan ambil sahaja apa yang kita suka. Kita tidak lagi prihatin terhadap alam yang telah memberikan sumber kehidupan untuk kita. Kehijauan bumi yang banyak memberikan kehidupan dan hasil mahsul telah kita musnahkan.

Kita kini tidak lagi hidup seperti orang asli atau generasi tua zaman dahulu. Mereka tanam semula batang ubi yang mereka cabut untuk memastikan kesinambungan sumber kehidupan keluarga dan kejiranan mereka. Kerana itu mereka menjadi insan yang berbudi dan berakhlak. Mereka hidup bermuafakat untuk saling mempertahankan anggota keluarga dan kejiranan mereka dari ancaman luar. Mereka bekerjasama membina rumah, membina masjid, jalan, menanam dan pokok. Mereka memburu dan memukat bersama-sama dan membawa pulang hasil buruan untuk dinikmati bersama-sama.

Generasi kita waktu ini sukar memahami keterkaitan kita dengan bumi dan alam ini.  Bila kita google ‘Amazon’, kita akan dapati banyak video dokumentari tentang kehidupan manusia asli. Terharu melihat bagaimana mereka menghargai alam semulajadi. Mereka tidak membunuh binatang makanan mereka pada waktu mengawannya untuk mengelak kepupusan.

Sepertimana amalan orang tua kita di desa lama, mereka tanam semula batang ubi yang telah mereka cabut agar sumber makanan kekal berterusan untuk anak cucu mereka. Mereka yang bongkok tua masih berusaha menanam durian dan nangka walaupun sudah pasti tidak akan menikmati buahnya. Demikian sifat prihatin orang lama yang Allah ajarkan kepada kita melalui kitabnya.

Amat menarik meneliti kaedah orang asli memelihara sungai dan mencari ikan. Mereka cipta tuba khusus yang hanya membuatkan ikan pening beberapa jam sahaja, cukup sekadar memudahkan mereka mendapat sedikit makanan. Tidak seperti kita yang menuba ikan sampai satu tasik, sedangkan kita hanya perlukan beberapa ekor sahaja.

Kenapa mereka sangat memelihara sungai dan hazanah sungai itu?

Kerana kesedaran sivik mereka amat mendalam.  Mereka sedar dengan semulajadinya bahawa sungai itu yang memberi mereka kehidupan untuk mandi, minum, untuk mendapatkan ikan dan sebagainya.

Mengapa kita suka mencemarkan sungai dan menuba ikan tanpa belas ehsan?

Kerana kita rasa kita tidak perlukan sungai untuk mandi dan minum. Segalanya kita perolehi dari paip besi di rumah kita. Kita tidak perdulipun suasana kemarau yang melanda, sehingga ramai yang sengsara. Kita tetap membazir air, berendam di bath tab rumah kita. Semuanya kerana kita berada dalam alam ciptaan kita, dengan hawa dingin dan tidak tahu cuaca di luar sana jika tidak tv sampaikan berita.

Sebahagian dari kita malah tidak mencecahkan kaki ke tanah pun sepanjang minggu dan bulan. Walhal itulah asas kejadian kita. Itulah tanah yang akan menerima kita setelah matinya. Rumah kita berlantai simen dan jubin, jalan yang kita lalui berturap,  kenderaan kita pula bergolek tidak mencecah tanah, tempat letak kereta dan laluan ke pejabat juga berturap dan berkapet. Kerana itulah kita tidak menghargai tanah dan mudah lupa asal usul.

PELAJARAN ALAM DARI PAPARAN VIDEO

Landasan Keretapi itu ada dua jalur. Mari analogikan ia sebagai landasan dari sumber Quran dan Sunnah, dari NUR ALLAH dan NUR MUHAMMAD. Telah Nabi SAW sabdakan bahawa semua kita adalah pemimpin yang bakal ditanya akan kepimpinan kita. Maka jadilah kepala keretapi yang melalui landasan yang lurus, agar mampu memacu gerabak pimpinan kita di atas landasan yang sama. Itulah asas syahadah sebagai paksi kepada akidah kita.

Ada banyak yang ingin dikongsikan sepanjang perjalanan yang merentasi tanah kering berbatuan yang menyedihkan ini. Alangkah baiknya jika kita semua mudah mengerti akan segala analogi ini. InsyaAllah akan kami kongsikan lagi dan lagi hasil pemerhatian alam sekembalinya dari kembara Pembelajaran Alam ke 4 ke Tanjung Karang, Sungai Besar dan Teluk Intan di hujung minggu ini nanti.

Ulasan seni, iqra’ alam

WARGA PRIHATIN