SYAHID TGNA YANG MENGHIDUPKAN JIWA

00 tgna malikat

SYAHID TGNA YANG MENGHIDUPKAN JIWA

Semalam adalah hari dukacita bukan sahaja bagi umat Islam, malah kebanyakan rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia dan dunia. Murabbi ummah Allayarham Tuan Guru Nik Aziz bin Nik Mat telah selamat disemadikan. Jenazah diiringi puluhan atau mungkin ratusan ribu lautan manusia yang berhimpun bukan atas tiket politik mahupun keperluan protokol dalam jawatan awam.

TGNA hanya bekas Menteri Besar yang sudah tiada kuasa di tangan. Tetapi, kematiannya menjadikan seluruh saluran televisyen berkabung memberi penghormatan. Di corong radio kebanyakannya mengalunkan bacaan Al-Quran. Malah ada yang menyiarkan upacara pengkebumian secara langsung. Newsfeed media sosial juga dibanjiri dengan status penghormatan kepada TGNA.

Media Prima melalui TV3 yang menyiarkan siaran ulangan rancangan hiburan sewaktu upacara pengkebumian berlangsung ditegur banyak pihak kerana mereka seperti tidak cakna akan kematian ini. Alhamdulillah setelah ditegur, TV3 segera menyiarkan selingan bacaan ayat suci alquran.

Di samping itu, kita dukacita kerana masih ramai keyboard warrior yang meneruskan cercaan terhadap TGNA di saat yang lain merendah diri dan bersedih dengan pemergian tokoh agama itu. Antaranya termasuk status dari Ibrahim Ali yang mengguris jutaan hati yang menyayangi TGNA.

MATI SYAHIDKAH TGNA?

Ini merupakan persoalan utama yang ditanyakan oleh anak-anak apabila melihat tingginya aura kesedihan dan besarnya penghormatan yang diberikan.

Jika dilihat akan terminologi SYAHID itu sendiri bermaksud PENYAKSIAN. Berapa juta rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kematian TGNA? Berapa ramai yang berusaha hadir untuk memberi penghormatan dan mengiringi jenazah ke pusara? Berapa ramai pula yang mengikutinya melalui siaran langsung mahupun rakaman, lapuran media sosial dan akhbar?

Bagi kami, ini adalah satu contoh MATI SYAHID, iaitu kematian yang ingin sekali disaksikan oleh begitu ramai manusia. Untuk apakah begitu ramai manusia beria-ia hadirkan diri, datang dari jauh dan dekat atau mengikuti melalui media untuk menyaksikannya? Itulah nilai JIHAD TGNA yang istiqomah dan selama ini disaksikan oleh manusia sewaktu hayatnya.

Kebetulan kematian TGNA berlaku pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Umat Islam memang bercuti atau akan meninggalkan urusan jualbeli untuk berhimpun pada hari itu. Ramainya jumlah yang memberikan penghormatan sahaja sudah jadi satu tanda bahawa mereka redha dan bersedih hati dengan pemergian insan ini. Tidak mungkin mereka yang sanggup hadir itu tidak sanggup memaafkan TGNA. Maka kemaafan dari lautan manusia itu akan InsyaAllah disertai juga dengan keampunan Allah yang sememangnya MAHA PENGAMPUN.

PERSEMADIAN YANG DIIRINGI RIBUAN MALAIKAT?

Anak-anak juga bertanya adakah kematian itu diiringi dan diuruskan oleh ribuan malaikat sebagaimana ramainya lautan manusia? Secara mudahnya, Allah memang sentiasa utuskan malaikat untuk mencatat amal manusia. Sudah tentu ada 2 kali ganda malaikat bersama lautan manusia itu. Namun, kami jelaskan juga secara analogi dan sains sosialnya.

Syaitan dan malaikat itu adalah dua makhluk halus yang dikatakan tidak nampak secara fizikalnya. Namun dalam banyak ayat, Allah katakan bahawa SYAITAN ITU MUSUH YANG NYATA BAGIMU (QS:2/208). Ia mudah dikenali melalui tabiatnya, iaitu ingkar dan degil. Kepala batu itu yang asyik mencetuskan API (analogi kepada perbalahan dan kemarahan). Itulah NERAKA yang terhasil dari tabiat ingkar syaitan yang dijadikan dari API. Syaitan juga Allah katakan dari kalangan jin dan manusia yang suka membisikkan kejahatan ke dada manusia lain (QS:114, ANNAS).

Sebaliknya Allah jelaskan juga ciri malaikat yang dijadikan dari CAHAYA (analogi kepada petunjuk/ilmu) dan sentiasa pula tunduk patuh kepada Allah. Malaikat juga dikatakan tidak makan dan minum. Secara tersirat, ciri malaikat itu sentiasa berilmu, patuh dan tiada kepentingan diri dalam sebarang kerjabuatnya.

Sekian ramai manusia yang bersusah payah datang dari jauh dan dekat membanjiri Pulau Melaka itu ternyata adalah bukan atas urusan protokol kerana TGNA bukan lagi seorang MB. Bukan juga untuk melobi kerana TGNA tiada lagi kuasa. Bukan juga kerana wang ringgit atau dibayar untuk hadir kerana TGNA tidak tinggalkan harta berjuta.

Mereka yang hadir adalah manusia yang membawa ciri malaikat. Datang untuk mengiringi persemadian syuhada TGNA tanpa kepentingan peribadi. Kebanyakan mereka hadir kerana menghargai ilmu agama yang ditabur TGNA, termasuklah himpunan jemaah alumni anak didik beliau sekian lama. Inilah nilai ilmu yang bermanfaat sebagai tiket ke syurga.

KEMATIAN YANG MENYATUKAN & MENGHIDUPKAN

Semalam, seluruh Malaysia bersatu mengenang jasa seorang insan zuhud, tanpa mengira fahaman politik atau agama bangsa lagi. Baik yang Cina, India, Melayu atau yang lain-lain semuanya memberi penghormatan terakhir kepada jenazah TGNA. YAB PM, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak sendiri juga turut hadir, malah menghentikan ucapan beliau di dalam sebuah majlis pada malamnya bagi memberikan penghormatan sebaik sahaja menerima berita.

Sesungguhnya pemergian itu telah menyatukan kita semua dengan melucutkan label-label parti dan tanpa mengira bendera. Semuanya bersatu untuk menghormati kematian seorang pemimpin yang sangat disegani oleh lawan dan dihormati kawan. Benarlah kata Allah “Jangan kamu sangka syuhadak itu mati, sebenarnya mereka terus hidup” QS:3/169.

Datuk Seri Haji Hadi Awang antara yang kelihatan paling sugul. Beliau diberitakan hampir rebah sebaik sahaja tiba di Pulau Melaka. Apa tidaknya, sisa juang warga lama di dalam PAS kini kehilangan sayap kanannya. Maka beliau seperti burung kepatahan sebelah sayap. Ditambah pula dengan ucapan sinis Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dijatuhkan hukuman yang minta digantikan kepimpinan lama dengan generasi muda yang lebih bertenaga atau mungkin lebih liberal.

Kini tinggal TGHA yang juga mulai uzur itu bersendirian mengharungi haluan lama perjuangan PAS. Timbulnya PASMA yang diterajui golongan muda dan liberal pula menambah tekanan, menjadi jarum pemisahan antara golongan PAS lama dan PAS yang baru. Semakin berpecahlah umat Islam yang memang sudah sedia berpecah-belah ini.

Apapun kami perasan suatu yang amat positif dari peristiwa semalam. Kehadiran YAB PM juga begitu ramai pemimpin pusat, dan adanya siaran langsung TV1 yang mendapat kerjasama Kelantan TV semasa pengkebumian itu amat menyejukkan hati. Alangkah baiknya jika kerjasama ini diteruskan.

KEMATIAN INI TELAH MENYATUKAN TETAPI DAJJAL AKAN MUSNAHKANNYA

Kematian ini menyatukan banyak jiwa-jiwa tanpa mengira ideologi politik parti-parti yang ada. Namun, sistem demokrasi berasaskan UNDI tajaan DAJJAL ini mempunyai satu ruang besar untuk perpecahan ini berlaku semula dengan sekelip mata.

DUN yang diwakili oleh TGNA akan diishtiharkan kosong. Pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Tunggu sahaja 1-2 minggu dari sekarang apabila kekosongan kerusi ini diumum, maka kita akan lihat drama cakar mencakar, tuduh sana dan tuduh sini akan berulang lagi..

Islam adalah agama yang berlandaskan kekuatan ilmu, faham dan yakin. Kerana itu untuk memenangkan Islam tidak perlu ramai. Kita hanya perlukan pemimpin/umarak yang berilmu dan berintegriti. Perlantikannya harus dibuat oleh jemaah orang alim (ULAMAK) yang berkecuali, yang mewarisi peranan para rasul dan nabi. Jemaah merekalah yang mampu memilih, mendidik, membimbing dan mengawal selia para wali/pemimpin umat ini agar sentiasa berlaku adil dan bijaksana.

Sebaliknya, sistem undi pula akan memenangkan yang ramai. Jika umat ramai yang jahil, maka mereka akan memilih dan memenangkan pemimpin jahil yang mereka suka kerana sesuai dengan selera jahiliyah mereka. Yang penting calun itu banyak wang dan sanggup berjudi, melabur harta untuk membeli undi, pandai pula memainkan propaganda dan adudomba. Itu yang membuatkan pengikut jadi taksub dan mabuk dalam memuja calun idola mereka. Isu panas dan dendam yang diperam serta berita fasik akan disajikan, sampai pengikut jadi mabuk dan marah.

Apabila sudah mabuk dan bermusuh, maka kebenaran dari Allah dan Rasul pun boleh diketepikan buta-buta. Akhirnya umat semakin berpecah belah, saling memutuskan silah dan kasih sayang. Itulah keseluruhan methodologi syaitan dalam memilih pemimpin melalui kaedah UNDI. Pangkat dan harta dijadikan gula-gula oleh syaitan untuk membuatkan kita bersengketa dan berpecah-belah.

Dalam sistem UNDI, yang menang juga akan kekal terperangkap dengan sistam itu. Mereka bakal dicabar atau dikalahkan semula setiap 5 tahun sekali. Itu membuatkan propaganda memancing UNDI terpaksa diteruskan walaupun lepas pilihanraya. Rakyat juga semakin tersiksa. Situasi ini sama seperti nasib Nabi Yunus a.s. yang menang undi, tetapi ditelan dan terperangkap dalam PERUT IKAN BESAR. Itulah tekanan dari barat yang menaja sistem demokrasi undi ini. Perhatikan firman berikut, QS: 5. Al Maa’idah

90. Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya apa saja khamar (minuman memabukkan), dan judi, dan idola, dan MENGUNDI, adalah perbuatan keji dari SYAITAN. Maka jauhilah ia agar kamu beruntung/menang (AL-FALAH = MATLAMAT SOLAT)

91. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan syaitan hendak menimbulkan di antara kamu permusuhan dan kebencian pada/lantaran khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat /zikirkan Allah dan solat, maka apakah kamu mahu berhenti?

92. Dan kamu taatilah Allah dan kamu taatilah Rasul dan berhati-hatilah kamu. Maka jika kamu berpaling, maka ketahuilah sesungguhnya apa yang di atas Rasul Kami, penyampaian yang terang nyata.

KESIMPULAN

Sampai bilapun penyatuan tak mungkin akan berlaku selagi kita tidak sedar di mana puncanya perpecahan. SISTEM UNDI itulah puncanya, kaedah syaitan tajaan DAJJAL yang telah disogokkan dan diterima pakai oleh datuk nenek kita tanpa usul periksa. Dicanai sistem itu setelah kefahaman dan strategi pemerintahan warisan nabi SAW yang bertunjangkan ilmu alQuran berjaya disamarkan oleh jurutera perang salib di Nusantara. Jatuhnya sistem kekhalifahan oleh Kamal At-Tarturk pada 1924 itu hanya formaliti kejatuhan sahaja.

Seminggu dua lagi, kita semua akan menyaksikan fenomena kempen pilihan raya yang akan memusnahkan keharmonian dan bibit penyatuan yang kita lihat ini. Kami menyeru alim ulamak negara ini bersidang. Nasihatkan BN agar tidak masuk bertanding demi menyuburkan bibit penyatuan yang sudah mula terjalin.

TGNA tidak pernah kalah di situ dan telah terbukti rakyat selesa dengan kepimpinan berteraskan keagamaannya. Untuk memenangi pertandingan itu, BN perlu keluar banyak belanja dan memainkan banyak propaganda. Pun begitu, harapan untuk menang amat tipis sekalipun BN meletakkan calon paling hebat dari UMNO. PAS yang sedang ditimpa bencana juga terpaksa keluar belanja.

Jika terus diberi laluan kepada PAS, maka tidak akan ada pertandingan. Tiadalah banyak masa dan dana terbuang, tiada fitnah dan propaganda yang menambah kebencian dan permusuhan. Jauh lebih murni jika dana pilihanraya kecil dan modal berkempen dari kedua-dua belah pihak itu disalurkan untuk menambah dana bantuan kemanusiaan pasca banjir yang kian dilupakan. Kasihanilah marhaen yang sedang menderita.

InsyaAllah tindakan ini akan membuatkan rakyat lebih menghormati dan menerima seruan penyatuan. Jadikanlah ini sebagai hadiah kepada Allahyarham TGNA.

Mari jadikan kematian ini suatu yang menghidupkan jiwa keislaman yang memupuk persaudaraan dan penyatuan. Itulah dia seruan penyatuan Islam sebenar, yang memperkasakan umah, UMMATUN WAHIDAH.

Seruan penyatuan
WARGA PRIHATIN