Sekolah Alam ke 5 – Gelandangan dan pengemis : SATU PILIHAN ATAU TAKDIR?

sek alam 5 gelandanganSekolah Alam ke 5 – Gelandangan dan pengemis : SATU PILIHAN ATAU TAKDIR?

Bermula kira-kira jam 10.30 malam minggu yang lepas, kami bawa anak-anak keluar untuk sesi selingan Sekolah Alam khusus. Anak-anak diminta untuk mengambil pelajaran, melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana sedih dan pilunya kehidupan manusia-manusia gelandangan dan pengemis di sekitar bandaraya metropolitan Kuala Lumpur.

Untuk sesi kali ini kami hanya pilih anak-anak yang sudah berakal dan diiringi oleh beberapa murobbi dewasa. Sebelumnya anak-anak telah turutsama dalam kerja persiapan, membungkus makanan untuk diagihkan kepada golongan tersebut.

Untuk mengelakkan pendedahan yang ‘terlampau’ maka rondaan malam itu hanya berkisar di beberapa lokasi ‘terpilih’ sahaja. Anak-anak dapat melihat sendiri kesusahan, kesengsaraan, kelaparan dan ketidakselesaan mereka-mereka yang bergelimpangan tidur di kaki lima, di taman-taman, di pinggir sungai, di bawah jambatan mahupun di luar perkarangan masjid.

Penerangan yang diberikan oleh pihak penganjur menunjukkan gejala gelandangan dan pengemis ini begitu berleluasa di kota yang pesat membangun ini. Bilangan mereka semakin bertambah hari ke hari. Difahamkan ada sekitar 6,000 gelandangan di Kuala Lumpur sahaja. Kami difahamkan sejak 2008 pihak tertentu berusaha mengedarkan makanan dan keperluan harian. Ada pihak tertentu yang mengeluarkan peruntukan dana yang besar, ada pula yang menjadi sukarelawan tetap untuk menguruskan pengagihannya.

PEMERHATIAN ANAK-ANAK

Secara ringkasnya dirumus bahawa memang ada golongan miskin dan tertekan yang wajib dibantu. Namun kebanyakan daripada golongan ini kelihatan cukup sifat, masih bertenaga dan kelihatan seperti insan biasa yang lain. Tambah menyedihkan, segelintir mereka hidup berpasangan, bergelandangan bersama anak-anak kecil yang selayaknya tinggal di rumah yang berbumbung.

Pemerhatian unik yang dilapurkan oleh anak-anak kami ialah bahawa sebahagian dari kumpulan gelandangan ini kelihatan sangat canggih. Ada yang dilihat menyebarkan berita ketibaan bekalan makanan dengan walkie talkie kepada rakan-rakan mereka. Ramai juga yang kelihatan seperti dari golongan ‘berada’, memakai pakaian mahal, malah ada yang memakai telefon, jam dan gajet elektronik yang mahal.

Antara gelagat yang diperhatikan ialah akhlak ramai dari gelandangan ini yang tidak beradab. Tidak ada basa basi dalam menerima pemberian orang ramai. Sebahagian tidak berkata terima kasih pun. Hormat kepada pemberi jauh sekali. Apabila diwawancara ada yang mengelak dan ‘menarik muka’. Bila ditawarkan mahukah mereka diberi tempat di rumah perlindungan, cepat saja mereka menjawab ‘tidak mahu’.

Beberapa gelandangan yang kelihatan waras sempat diwawancara oleh anak-anak kami. Antara alasan bergelandangan yang mereka beri ialah kerana berkelahi dengan ibu bapa, kaum keluarga lalu melarikan diri keluar rumah untuk hidup bebas. Mereka sanggup menjadi gelandangan kerana tidak mahu terkongkong dengan peraturan ibubapa dan keluarga. Ada juga anak dara Melayu yang bertudung bersama golongan itu.

Beberapa dari anak-anak kami sempat mencuri pandang, ternampak begitu banyak jarum-jarum dadah, bahkan sempat melihat di celah lorong itu beberapa urusniaga jual beli dadah yang kebetulan berlaku di depan mata mereka.

Seorang anak kami pernah menjadi mangsa keganasan ragut oleh sekumpulan berlima dan bersenjata sewaktu berjalan kaki menuju ke Stesen Bas Klang di awal pagi seperti perasan kelibat salah satu peragut itu di situ. Lokasi jenayah tidak jauh pun dari balai polis Jalan Bandar. Orang awam hanya melihat sahaja jenayah itu berlangsung. Tersungkur-sungkur anak kami mempertahankan beg galas berisi komputer dan kamera yang dirampas secara berdepan pada pagi itu. Beliau terpaksa mengalah apabila peragut mengeluarkan pisau dan mencabar anak kami untuk ke ‘markas’ mereka jika tidak puas hati.

FURQON ANAK-ANAK

Ada juga yang komen mengatakan furqon atau pelajaran dari anak-anak yang selalu kami kongsikan itu sebenarnya adalah dari kami sendiri. Jangan bimbang, kami akan susuli ulasan anak-anak dengan klip rakaman video selepas ini.

Antara furqon anak-anak menyatakan keadaan gelandangan itu amat menyedarkan mereka betapa perlunya seseorang itu kepada tempat berteduh yang sempurna, samada milik sendiri atau disewa. Untuk hidup sempurna kita harus ada rumah yang berperaturan dan berpengatur. Itulah hakikat Bait, Ahlul Bait, Baitullah, bahkan Kaabah yang menjadi kiblat solat juga berasaskan rumah.

Melihatkan ramai gelandangan yang bertubuh sasa dan sihat-sihat belaka, maka anak-anak menampakkan tidak wajar mereka bergelandangan dan diberi makan secara percuma. Ini akan membuatkan mereka semakin malas dan menggalakkan pertambahan bilangan mereka dari hari ke hari.

Keadaan gelandangan yang tidak berumah akan membuatkan mereka terbiar dan tidak berpengatur, akibatnya mereka ini akan hidup liar dan memudaratkan masyarakat. Anak-anak bertanya mengapa tidak mereka ini di kumpulkan di satu tempat khas seperti di RPWP agar proses membantu mereka boleh dilakukan dengan lebih terpantau dan sempurna?

Terlalu ramai orang Melayu yang ‘seharusnya’ beragama Islam dalam kelompok gelandangan itu. Islam mengajar umatnya untuk rajin bekerja dan hidup berpengatur dan berperaturan dalam suasana berumahtangga (QS: 9/105). Apa yang di lihat menampakkan kegagalan semua individu gelandangan tertentu, khususnya golongan lelaki untuk lebih bertanggungjawab dan berusaha keras bagi mempastikan kesejahteraan keluarga mereka.

Anak-anak turut melahirkan rasa pelik dan sedih apabila melihat ramai golongan wanita yang fitrahnya lemah pula yang menjadi sukarelawan untuk menghulurkan bantuan makanan terhadap gelandangan yang majoritinya lelaki yang sihat dan gagah. Dunia ini sudah terbalik kata mereka. Memandangkan golongan yang bernar-benar berhak dibantu adalah amat sedikit, dan ramainya mereka yang bergelandangan itu pula adalah golongan yang seolah-olah sengaja suka bergelandangan, maka wajar mereka diasingkan dan dipilih.

Dalam banyak program bantuan kemanusiaan yang pernah dilakukan oleh RPWP mereka kata yang ini menampakkan satu kelainan. Mereka hanya dapat pelajaran dari apa yang dilihat, tetapi bantuan yang diberi hanya bersifat sementara kesannya dan seolah-olah menjadi satu pembaziran yang nyata. Ini sangat berbeza berbanding program menolong fakir miskin, anak yatim, mangsa bencana atau di rumah-rumah orang tua, di mana mereka sangat rasakan kepuasannya.

ULASAN WARGA PRIHATIN

Kami sempurnakan perjalanan Sekolah Alam yang tidak dilawati pada malam minggu itu dengan meneliti pusat-pusat gelandangan yang lebih ‘panas’ tanpa anak-anak ikut serta. Ia meliputi kawasan yang dipenuhi sarang pelacuran, golongan mak nyah dan sebagainya.

Kalau dikaji dari sudut sosiologi, masalah gelandangan dan pengemis ini mempunyai hubungan rapat dengan faktor permasalahan keluarga, dadah, peminggiran masyarakat, tahap pemikiran yang rendah, pengaruh lingkungan, dan sebagainya. Sebahagiannya mencipta perasaan rendah diri yang melampau berbanding masyarakat normal menyebabkan mereka mencipta kemurungan diri. Jika tidak dirawat, ini akan menyebabkan mereka lebih suka menyendiri dan mati akal untuk mencari jalan keluar.

Dadah telah dijadikan sebagai ubat penenang jiwa hingga berlaku ketagihan yang tidak terkawal. Daripada asalnya untuk mencari ketenangan, dadah telah merubah mereka menjadi pengganas. Ini berlaku apabila saat mereka ketagih dadah dan tiada wang untuk membeli, maka ketagihan itu menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan sanggup melakukan apa sahaja perkara luar jangka.

Di samping itu, melacur diri juga dijadikan alasan untuk mendapatkan duit secara mudah. Bila diri sudah tua dan tiada harga lagi, hujungnya wanita ini akan hidup merempat dan mengemis untuk sesuap nasi dan kebanyakan mereka juga adalah penagih dadah tegar.

Sebenarnya, daripada input yang yang kami dapat dan hasil pemerhatian kami, golongan gelandangan dan pengemis ini adalah manusia biasa yang mampu untuk berusaha untuk mencari hasil pendapatan sendiri. Tetapi disebabkan masalah peribadi dan penglibatan mereka dengan dadah, mereka menjadi insan yang hilang harapan dan menyerahkan kesemuanya kepada takdir Allah semata-mata. Ada yang sanggup tukar agama jika tidak dibantu. Wajarkah begitu?

Alangkah bodohnya jika perkara buruk yang berlaku kepada mereka akibat dari perbuatan tangan mereka sendiri, lalu takdir Allah pula yang dipersalahkan. Telah jelas Allah nyatakan bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah jika mereka tidak berusaha untuk merubahnya. Secara analoginya, makanan yang sudah ada di tangan sekalipun tidak akan masuk ke dalam mulut jika kita tidak menggerakkan tangan ke arah itu.

Riwayat yang mengatakan seorang wanita pelacur masuk syurga hanya kerana memberi minum seekor anjing harus diteliti semula pentafsirannya. Adakah kemungkinan salahfaham yang boleh melemahkan kita. Pertamanya syurga yang diriwayatkan itu perkara ghaib yang Allah arahkan nabi SAW katakan hanya Allah yang tahu. Keduanya ialah sifat keprihatinan terhadap haiwan itu wajar kerana haiwan itu tiada akal untuk berusaha, ia jauh bezanya dengan manusia yang berakal, tambahan pula lelaki yang sihat dan gagah perkasa. Mereka bukan sahaja sengaja tidak mahu bekerja malah ramai yang menzalimi diri dengan menghisap dadah dan rokok..!!.

Salahnya kita di sini adalah bila kita dengan sengaja, cuba untuk membantu memberi makanan secara percuma kepada mereka secara menyeluruh. Secara tidak langsung ini telah menyebabkan mereka menjadi manja dan terlalu bergantung kepada bantuan masyarakat yang kononnya prihatin kepada masalah gelandangan dan pengemis. Sebaliknya, mereka menjadi semakin malas dan terlalu dependen kepada ikhsan orang ramai tanpa berusaha gigih. Lebih malang lagi bila ramai yang mementingkan diri, sanggup melakukan jenayah dan menganiaya orang lain.

Pihak kerajaan dan NGO seharusnya meneliti punca masalah tersebut dan mencari jalan penyelesaiannya. Hari ini berlaku pertembungan antara pihak berkuasa yang cuba menyelesaikan masalah ini melalui cara menangkap dan menghalau mereka daripada merempat di jalanan, dengan kumpulan yang ingin melaksanakan misi kemanusiaan kepada golongan ini. Ada kalanya ia sempat dipolitikkan. Akibatnya, masalah ini bukan sahaja tidak selesai malah akan menjadi semakin tenat.

Keberadaan mereka ini menjadikan kota yang cantik kelihatan sangat hodoh dan menakutkan, khasnya di waktu malam dan ditempat sunyi. Kekotoran dari pembuangan sampah merata-rata menyebabkan kebersihan kota tercemar. Jenayah ragut dan rompak juga semakin menjadi-jadi dan tidak terbendung lagi.

Kami setuju dengan pendapat anak-anak kami bahawa memberi makan kepada mereka ini secara umumnya bukanlah satu jalan penyelesaian yang baik kepada masalah ini. Mungkin lebih baik jika wang yang digunakan untuk misi makanan disalurkan untuk satu pembangunan khas yang mampu menempatkan mereka secara terpantau. Dana tersebut juga boleh dimanafaatkan untuk kegunaan pihak polis membenteras jenayah dan menangkap pengedar dadah yang menjadi punca kepada pertambahan penagih-penagih dadah hari ini.

KESIMPULAN

Dengan membenarkan gelandangan berterusan begini, walau dengan apa cara sekali pun, terutama sekali dengan menyumbang makanan percuma, gejala-gejala buruk seperti ini akan menjadi bertambah buruk, jenayah akan semakin menjadi-jadi. Hatta, nasib buruk masyarakat kita akan tetap kekal seperti ini. Janganlah kita hanya pasrah kepada nasib, sehingga kita tidak ada kemahuan untuk melakukan perubahan diri.

Kondisi sekarang memerlukan kita untuk bersatu membenteras gejala sosial, meningkatkan tahap pendidikan akhlak anak-anak, memantau pergerakan dan perilaku anak-anak kita secara maksimum melalui institusi rumahtangga. Menyeru mereka tanpa menggunapakai peraturan Allah di rumahtangga (Konsep Baitullah) akan menyebabkan segala usaha kita jadi sia-sia (QS; 8/35,36). Anak bangsa kita kini sudah semakin hilang halatuju.

Pilihan untuk menjadi gelandangan dan pengemis atau menjadi umat yang produktif adalah di tangan kita sendiri. Jika kita tidak berusaha untuk bekerja dan tidak mengkaji kesilapan diri, maka jangan pula sekali-kali salahkan kepada takdir Ilahi. ‘Reach Out’, penderma dan beberapa sukarelawan telah melakukan satu usaha murni tapi hujungnya seolah-olah sia-sia.

Kami tutup rencana ini dengan perkongsian insiden lucu ini…

Bas kami yang diletakkan di bahu jalan telah disergah oleh sepasukan anggota trafik yang marah-marah walaupun jalan lengang dan injin bas serta lampu berhenti masih hidup. Walaupun telah kami jelaskan tujuan kami untuk menunggu anak-anak mengagihkan makanan, namun mereka tetap marah marah.

Apabila pemandu kami tanyakan apa salah kami sebenarnya? Mereka kata salah kalian ialah kerana memberi makan gelandangan dan semua itu menyusahkan kerja mereka. Gelandangan ini sepatutnya di hukum tembak saja.. jerit mereka.. Ungkapan pedas itu turut didengar sebahagian anak-anak yang tidak turun dari bas. Kami tinggalkan isu ini kepada anda untuk menilai kebenarannya.

Furqon Gelandangan
WARGA PRIHATIN