Sekolah Alam ke 4, Bah 4 – Yang Berhormat Yang Berkhidmat
YANG BERHORMAT YANG BERKHIDMAT
Pada malam pertama kami berkampung di Amin Homestay, kami merencana satu majlis santai sambil memanggang ikan-ikan yang dibeli oleh anak-anak petang tadinya. Adab masuk ke kampung orang Jawa, beri salam dahulu kepada Wak Lurahnya (ketua kampung). Lalu kami tanyakan kepada pemilik Homestay, Wak Amin dan beliau pulangkan soalan kepada kami…
“Wak Lurah ada dua, nak yang PR atau nak yang BN?”
Kami tidak partisan, kami katakan kepada Wak Amin, jemput sahaja kedua-duanya. Namun yang hadir hanyalah Wak Lurah BN. Kami harap sangat, kedua-duanya juga hadir malam itu kerana kami sukakan keharmonian dan penyatuan. Malangnya, Wak Lurah dari PR tidak hadir malam itu.
Apa yang mengembirakan kami adalah apabila ADUN Permatang, YB Haji Sulaiman bin Haji Abdul Razak sudi menjengah dengan sangat kasual tanpa protokol dan tanpa sambutan. Ketika itu suasana sedang meriah seperti di malam hari raya. Sebahagian dari kami sedang menunjukkan anak-anak bermain meriam karbaid yang dibuat dengan kelongkong sepanjang 3 meter. Bergegar jugalah kampung dengan gegak gempitanya meriam tersebut di malam itu.
Tiba-tiba diberitahu YB datang. Maka masing-masing kelam kabut hentikan serta merta permainan meriam dan “sorokkan” karbaid. Macam tidak ada apa-apa lalu masing-masing bergegas untuk terus bersalaman dengan YB.
Anak-anak yang lain turut gembira dan beratur apabila diumumkan oleh Deejay majlis bahawa lelaki berkemeja ringkas itu ialah YB kawasan itu. Ringkas dan sederhana beliau hadir tanpa kamera yang mengambil gambar, tiada juga pengiring sampai sekapal. Beliau hadir dan duduk di kerusi plastik tidak berlapik dan tidak bertanda nama serta makan juga dipinggan plastik yang tiada khusus untuk seorang VIP.
Kami pula yang jadi keseganan kerana yang hadir ialah seorang pemimpin dan kami langsung tidak buat persediaan untuk kehadiran seorang VIP. Kelihatan di meja, beliau mesra berbual dengan wakil kami Saudara Yazid Majid dan ditemani oleh Ketua UMNO Parit Serong, Wak Rahman dan juga Wak Lurah. Sempat juga kami aturkan anak-anak untuk menyampaikan 3 buah nasyid buat meraikan kehadiran pemimpin prihatin itu.
Subhanallah.. baru dapat kami saksikan bahawa rupanya beliau adalah seorang YB yang terbuka. Walaupun bertiketkan BN, tetapi beliau juga tidak menafikan kebaikan lawannya dan dalam masa yang sama, tidak menafikan kelemahan parti yang diwakili beliau. Terbuka untuk mengambil pelajaran untuk yang baik dari lawan dan perbaiki parti yang diwakilinya pula. Ini jelas dilihat dari ucapan ringkas dan sepanjang perbualan beliau dengan wakil kami.
Semua hadirin terdiam dan terharu apabila mendengar bait-bait ucapan YB yang amat ringkas dan padat itu. Bicara beliau bernada sangat sayu dan penuh kesedaran di malam itu. Antaranya menyentuh tentang keruntuhan akhlak anak bangsa yang sudah ke tahap sangat parah. Beliau menyatakan rasa syukur masih ada segolongan insan yang prihatin dan sanggup ‘berhabis’ melaburkan segala kepentingan dunia untuk melakukan ‘sesuatu’ untuk memperbaiki keadaan.
Akhirnya beliau dengan rendah diri menawarkan untuk membayar bil penginapan sebagai menyatakan rasa syukur sebagai tuan rumah yang menerima kami sebagai tetamu. Beliau juga dengan terbuka meluahkan hasrat untuk mempelajari rahsia kejayaan pembentukan akhlak anak-anak, sepertimana yang telah beliau saksikan itu secara langsung di RPWP.
Kami tidak kisah apa yang anda mahu kata tentang parti mereka. Sekali lagi, kami bukan partisan. Hatta jika ada YB Pakatan yang hadir juga akan kami salam dan sambut mereka dengan mesra.
Ucapan beliau disambut oleh Pengetua RPWP Tuan Haji Dr. Masjuki Mohd Musuri dengan menyatakan secara ringkas konsep dan prinsip RPWP. Turut disampaikan juga mengapakah RPWP sangat serius dalam perjuangan membentuk akhlak generasi, mempromosikan perpaduan dan sangat mengecam perpecahan.
Dr Masjuki katakan bahawa YB Haji Sulaiman adalah seorang yang sangat rasional dalam penerimaan dan mengakui, perpecahan sudah jadi satu perkara kritikal yang merosakkan anak bangsa tanpa kita mampu lakukan apa-apa. Kedua tangan telah diguna untuk bertarung, apakah lagi tangan yang tinggal untuk membantu anak bangsa yang sedang lemas?
Ucapan balas Dr. Masjuki kemudian dibalas semula oleh YB dengan pengumuman peruntukan RM5000 lagi untuk menampung perbelanjaan pengurusan dan pembangunan RPWP. Sempat lagi beliau berpesan kepada kami agar pemberian itu dirahsiakan. Kami lihat ini adalah amal jariah dari seorang YB yang berjiwa prihatin, bukan pemberian politik kerana kami semua dari Kajang, tidak seorang pun daripada kami berasal dari kawasan itu. Sekiranya kami suka dengan beliau sekalipun… kami tak boleh bantu beliau untuk mengundi di Tanjung Karang.
Kami berbesar hati tetapi untuk YB, kami minta maaf jika terpaksa kami dedahkan kebaikan YB untuk dijadikan contoh kepada khalayak yang lain. Sebelum YB pulang, sekali lagi YB menyatakan azam untuk hadir sendiri ke RPWP dalam jangkamasa terdekat.
Kami dan anak-anak sentiasa mendoakan agar YB prihatin ini diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menjadi contoh pemimpin berwibawa, bersama-sama membangun generasi sejahtera di tanah air tercinta ini. Kami yakin penduduk setempat lebih kenal beliau dan kemenangan beliau bukan semata-mata atas kredibiliti parti yang beliau wakili, tetapi juga kerana sifat keprihatinan beliau itu.
Jika ada yang membenci parti wakilan beliau, ingatlah… dalam setandan pisang, tidak semuanya buruk dan tidak semuanya elok.
PELBAGAI PENGALAMAN BERSAMA YB
Suka kami kongsikan pengalaman terkumpul sejak 9 tahun penubuhan RPWP bersama 3 YB kawasan ini. yang pertama YB UMNO, seorang bekas pensayarah yang sukar ditemui dan suka menyendiri. Sumbangan kewangan jauh sekali. Jam 9 malam rumah beliau sudah gelap dan berkunci. YB kedua adalah dari PAS. Beliau sangat mesra dan berjiwa rakyat. Sewaktu rumah kami kebakaran, beliau dan ketua kampung sampai lebih awal dari bomba dan polis. YB ke tiga hanya sempat kami temui di tepi jalan sehari sebelum pilihanraya dan belum sempat kenal mengenal sampai kini. Sila layari klip video dari ulasan YB ini,
http://prihatin.net.my/web2/2013/07/03/pengiktirafan-khusus-buat-rpwp/
Pengalaman kami sewaktu mengajar anak-anak erti bantuan kemanusiaan, melakukan program bantuan kemanusiaan di Manong Perak, juga menampakkan kepincangan. Seorang ibu tunggal dengan 2 anak kecil terpaksa merengkok kedinginan selama 1 minggu bersama 2 warga emas yang sakit dan kurang upaya (OKU). Mereka terpaksa berhujan sepanjang minggu kerana rumah mereka musnah ditimpa pokok tumbang. Alhamdulillah seluruh tenaga digembeling dan baikpulih siap seharian itu juga, seadanya.
Ironinya, dari jiran tetangga, ketua kampung, jemaah masjid, ADUN, MP, bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat semuanya tidak ambil peduli untuk membantu. Sewaktu kami bekerja membaiki rumah dan membersih kawasan hari itu, datang seorang dua wakil wanita dan YB kawasan. Sedikit lawak apabila keesokkannya semua warong menceritakan kehebatan YB yang begitu cekap menghantar ‘orang dia’ untuk misi bantuan itu… kami pun tidak kenal siapa YB kawasan itu. Minta peruntukan jauh sekali.
http://prihatin.net.my/web2/2013/11/28/perkongsian-ilmiah-misi-kemanusiaan-memanusiakan-manusia/
FENOMENA PENYATUAN & PERPECAHAN
Dalam pada orang Cina bersatu berkongsi-kongsi membeli bot besar sementara orang Melayu masih sendirian dan hanya mampu membeli bot kecil. Dalam pada orang Melayu mengasingkan diri di tengah sawah di rumah tunggal, sedangkan Orang Cina bersatu dan menyatu dalam kem-kem penempatan berpusat. Siapakah yang lebih berjemaah? siapakah yang lebih bersatu?
Adakah kerana politik… kita masih mahu berpecah. Tangan yang dua ini dah disibukkan dengan bercakaran, mulut pula dibazir untuk maki dan nista… adakah lagi tangan untuk dihulur ke air untuk dipaut oleh anak bangsa yang sedang LEMAS. Demikian isi bicara ringkas YB yang sangat merendah diri dan berjiwa rakyat ini.
Kami kongsikan berita ini kepada anak-anak yang Kampung Parit Serong ada 2 orang ketua kampung. Namun anak-anak tidak terkejut kerana fenomena dua ketua dalam satu kampung ini sudah menjadi lumrah yang menyeluruh di negara ini, termasuklah di Sungai Ramal, Kajang ini.
Terkait seperti di kembara Sekolah Alam 3 di Baling yang kami kongsikan sebelum ini, ada surau PAS dan ada surau UMNO yang jarak antara keduanya hanya beberapa ela. Kami bawa anak-anak solat di surau PAS kerana ia paling hampir dengan rumah itu, namun tuan rumah yang kami ziarahi tidak ikut ke surau itu, malah bersolat di surau UMNO dengan melintasi surau PAS.
Di parit Serong kelmarin, tidak pula kami perasan ada surau berasingan, kami harap ia benar. Namun kami masih dukacita kerana masih ada 2 orang ketua mengetuai satu kampung yang sama.
Anak-anak bertanya…
“Bukankah dalam program Jumaat, ayah-ayah beritahu 1 kapal hanya ada 1 nakhoda. 1 jemaah hanya ada 1 imam sahaja, bagaimana jika ada 2 orang ketua… dua orang imam dalam satu kampung.. mana satu nak diikut?”
Itu jawapan yang sukar dijawab. Kami serahkan dahulu kepada anda kerana insyaAllah kami akan ulas lanjut jika berkesempatan tentang fenomena perpecahan yang LENGKAP dalam komuniti Melayu yang beragama Islam kini.
Input jamaie dari Anak-anak & Murobbi
WARGA PRIHATIN