Sains Sedekah – Konflik Istilah Yang Menyusahkan Ibadah Ummah

00 sedekah 1

SAINS SEDEKAH – KONFLIK ISTILAH YANG MENYUSAHKAN IBADAH UMMAH

Setelah sekian lama kita hidup dengan cara Islam, namun sampai hari ini penjelasan tentang asas pengurusan sedekah dan maliah ini masih bercelaru. Boleh dibilang berapa ramai yang benar-benar tahu dan mampu memberitahu dengan jelas. Jika sirotnya tidak jelas pasti sabilnya kabur dan jihadnya akan berterabur. Maka perlaksanaan rukun yang seharusnya menjadi tiang agama itu menjadi hilang fungsi pembangunan ummahnya.

Ada ilmuan yang mengatakan zakat itu wajib, infak dan sedekah itu sunat saja. Ada yang kata semua sedekah, zakat, wakaf itu adalah dibawah katagori infak dan banyak lagi telahan yang berbagai rupa. Begitulah jadinya jika kita hanya mengkaji teori tanpa bersungguh-sungguh melaksana. Apatahlagi jika kita hanya mencari-cari berita hanya untuk tujuan berceramah atau untuk tulis buku, atau nak lulus periksa dan dapat sijil sahaja. Pastilah kita akan tenggelam punca.

Apabila berlaku banyak kekeliruan dan percanggahan pendapat di kalangan ulamak, maka Allah perintahkan kita agar kembali merujuk kepada sumber asalnya, iaitu alquran dari Allah dan sunnah dari Rasulullah SAW (Surah 4 AN-NISA’/59).

Artikel ini telah kami simpan lama. Ia ditulis bagi menjawab pertanyaan beberapa pembaca dipage tertutup. Namun semakin hari semakin ramai yang bertanya soalan yang sama lalu hari ini kami hidangkan untuk bacaan umum bagi menjelaskan secara istilah dan FUNGSI sedekah serta keterkaitan antara satu dengan yang lainnya.

DEFINISI SEDEKAH – KAITANNYA DENGAN SIDDIQ

Salah satu sifat wajib bagi Rasul ialah SIDDIQ (benar) secara SIROOT / prinsipnya. Prinsip ini yang perlu di TASDIQ (dibenarkan prinsip/pendiriannya) dalam hati kita, kemudian harus kita ikrar di bibir dan amalkan sebagai bukti. Itulah asas kepada mekanisma keimanan.

Sedekah datang dari kata pokok SADAQA, yang juga bermaksud MEMBENARKAN. Inilah SABIL dari amanah allah dan rasul yang harus dijihadkan, iaitu amal harian yang membuktikan kita mengikuti sunnah Nabi saw. Iaitu membenarkan dengan amal sedekah sebagai bukti iman yang tadinya telah kita tasdiq di hati dan kita ikrar di lisan 5 kali sehari sekurang-kurangnya.

SEDEKAH – KAITAN DENGAN SODAQOLLAH, SODAQORASULULLAH

Apa yang nak dibenarkan oleh Nabi dan ummat baginda? Itulah berita besar AN-NABA’ tentang kebenaran yang sampai kepada baginda. Berita besar inilah yang menjadi asas NUBUWAH, faktur perlantikan bagi seorang NABI. Itulah dia risalah allah, berupa segala aturan dan perintah Allah yang harus disebar dan dilaksanakan bersama-sama melalui fungsi rasul/utusan. Setiap turun wahyu baginda akan membenarkannya. Jika membenarkan wahyu dengan lafaz, ia berbunyi SODAQOLLAH.

Mengapa Sahabat pertama NABI, Sayidina Abu Bakar dipanggil AS-SIDDIQ?. Ialah kerana beliau adalah sahabat yang sangat membenarkan seruan nabi. Apa sahaja titah nabi beliau adalah orang pertama yang akan membenarkannya. Jika dengan lafaz ia berbunyi, SODAQO RASULULLAH.

Ya, Abu Bakar a.s. bukan sahaja membenarkan seruan nabi dengan sedekah terbesar, malah beliau adalah sahabat yang mengiyakan apa saja perintah dan titah baginda tanpa soal.

FALSAFAH SEDEKAH – BUKTI KITA MEMBENARKAN DAKWAH

Jika nabi membenarkan (siddiq) Allah dengan lafaz sodaqollah, ia tidak berhenti di situ. Lafaz bibir itu tidak langsung dapat memenuhi tuntutan membenarkan Allah. Nabi berusaha memenuhi semua tuntutan amar makruf nahi mungkar dari setiap firman Allah itu. Jika Allah perintah Nabi katakan, maka baginda akan katakan, jika Allah perintah berperang baginda perangi. Allah suruh hijrah minda maupun hijrah tempat, baginda juga lakukan semuanya. Itu cara baginda membenarkan (siddiq) Allah. Itu perlaksanaan sodaqollah, semua itu nabi labelkan sebagai sedekah. Ia bukan sekadar lafaz di bibir.

LA ISLAM ILLA BIL JEMAAH. “Tiada Islam tanpa berjemaah”. Kemudian kita lihat bagaimana jemaah nabi pula ikut membenarkan (tasdiq/sadaqah) apa yang nabi lakukan. Sahabat awal dari kelompok Awalul Muslimin yang bersama baginda, yang terkait dengan isu ini ialah Abu Bakar AS-SIDDIQ dan diikuti oleh yang lain-lain sebagai tunas jemaah bginda.

SEDEKAH SEBAGAI ASAS AKHLAK

Wahyu diturunkan Allah adalah untuk memperbetulkan akhlak manusia. Hamba yang berakhlaq sepatutnya mengikut aturan pencipta (al-kholiq). Ketika wahyu turun masyarakat yang dulunya telah menerima wahyu telah kembali jahil dan tidak melaksanakan perintah penciptanya. Nama dan agama Allah yang suci sudah dicemari dengan berbagai bagai nama dan cara hidup (agama) dengan sembahan berbagai berhala. Itulah titik mula segala usaha untuk mencari punca dan kaedah membersihkan segala berhala. Itulah matalamat dakwah baginda. Rujuk surah 10/10. Inilah tuntutan penyucian nama dan imej Allah yang diusahakan baginda. Sebagai pewaris agama, kita juga perlu ikut membenarkan usaha baginda.

Setiap Firman Allah dan titah nabi menuntut perlaksanaan kerja amal, perlu tempat serta modal, bukan cukup sekadar membaca dan menghafal. Untuk melaksana perintah membangun ummah beragama itu memerlukan pengorbanan harta dan diri. Itulah dia hakikat sedekah, membenarkan dengan harta dan diri. Walaupun itu perintah Allah, tapi allah kata kebaikannya untuk kita juga, untuk golongan yang ikut melaksana.

Selain daripada membenarkan semua titah nabi melalui perlaksanaan dirinya, Abu Bakar adalah sahabat yang paling banyak bersedekah, mengorbankan hartanya. Begitu juga dengan isteri nabi sayidatina Khadijah yang membenarkan dakwah nabi dengan mematuhi perintahnya serta mengorbankan seluruh hartanya.

Itulah nilaian perlaksanaan sodaqollah dan sodaqorasulullah. Itu hakikat sedekah.

JENIS PERLAKUAN SEDEKAH & DALILNYA

Sedekah adalah perkara asas yang bukan saja mencakupi unsur maliah (harta benda atau wang). Semua PERBUATAN yang kita buat kerana membenarkan (mensiddiq) perintah Allah dan rasul secara umumnya adalah sedekah. DOA terhadap orang lain, termasuk mendoakan orang yang bersedekah juga dikira sedekah (baca 9:103 di bawah)

SEGALA PERBUATAN yang memberi manfaat kepada orang lain termasuk perkongsian ilmu bahkan sekuntum senyuman atau bicara manis dan gurauan beradab yang menyukakan insan lain juga boleh dikatagorikan sebagai sedekah. Menolong orang tua atau buta menyeberang, membuang halangan di jalan, membina rumah orang susah, berbuat baik kepada anak kecil juga sedekah.

Jika kita sudah berkahwin, Allah perintah kita menyukakan hati isteri. Contohnya jika kita perasan sudah lama tidak meniduri isteri dan lihat dia terlalu memerlukan belaian, maka meniduri isteri juga satu sedekah. Begitulah juga halnya layanan isteri terhadap suami dan anak yang dituntut Allah, contohnya sajian ikhlas segelas air, sekuntum senyuman manis isteri untuk suami juga sedekah. Sedekah akan membersihkan hati dan menyuburkan kasih sayang sesama kita. Itu adalah tuntutan agama, HABLUMINALLAH, WAHABLU MINANNAS (hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusia).

JIKA KITA BERSEDEKAH HARTA pula, ia akan menenangkan jiwa. Membersihkan hati dari segala penyakitnya. Sedekah itu akan membuang rasa tamak, kedekut dan riak. Sebaliknya ia akan menyubur rasa kasih, prihatin dan pemurah. Proses itu dinamakan zakat (penyucian). InsyaAllah selepas itu secara psikologi kita tidak lagi berminat untuk mencuri, menipu, makan rasuah dan sebagainya. Jiwa jadi tenang, hati jadi lapang. Orang akan suka dan sayang kepada kita. Lalu ramailah saudara kita dan melimpah ruah kasih sayang untuk kita. Ini bakal menampakkan keindahan agama dan menaikkan imej Allah dari kerjabuat kita.

Secara umumnya proses penyucian (zakah) melalui bukti sedekah ini diperlukan bagi orang yang merasa berdosa dan ingin bertaubat untuk menyucikan hati dan menguatkan imannya. Sedekah adalah tanda kita membenarkan (tasdiq) keperluan melaksana perintah Allah untuk bertaubat dari dosa lalu. Antaranya ialah tuntutan bersedekah harta dan diri, berhijrah, meninggalkan perbuatan lama, diganti dengan usaha keras membangun apa yang telah dirosakkan, kesan dari kejahilan kita dahulu.

Perhatikan Firman Allah dalam surah 9. At Taubah ini.

9:20. orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. 

9:102. Dan yang lain mengakui kesalahan-kesalahan mereka; mereka telah mencampur-adukkan amalan yang baik dengan yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.

9:103. Ambillah daripada harta mereka SEDEKAH untuk membersihkan mereka, dan untuk menyucikan (ZAKAH) mereka dengannya, dan doakanlah (SELAWATKAN) mereka; sesungguhnya SALAWAT kamu adalah ketenangan bagi mereka; Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.

9:104. Adakah mereka mengetahui bahawa Allah maha menerima (memakbulkan) taubat daripada hamba-hamba-Nya, dan Dia mengambil SEDEKAH, dan bahawa Allah, Dia Yang Menerima Taubat, Yang Maha Pengasih?

9:105. Katakanlah, “Beramal/bekerjalah, dan Allah pasti akan melihat amalan kamu, dan rasul-Nya, dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada-Nya, yang tahu yang ghaib dan yang nyata, dan Dia memberitahu kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

PENOLAKAN IMAN & AMAL TANPA DIBUKTI DENGAN SEDEKAH

Apa jadi jika kita hanya ingin bertaubat dengan bibir sahaja dan tidak mahu melaksanakan hakikat sedekah dengan harta dan diri sebagai tanda kita membenarkan hakikat taubat dengan sebenar benarnya? Allah maha bijaksana. Allah tahu bahawa kita sebenarnya sedang berdusta dan menipu Nya… Lihat ayat berikut…

9:106. Dan yang lain ditangguhkan hingga perintah Allah, sama ada Dia mengazab mereka, atau menerima taubat mereka; Allah Mengetahui, Bijaksana.

Ada banyak hadis nabi tentang tuntutan dan katagori sedekah ini. Untuk kali ini cukuplah kami petik yang ini.

Hadits riwayat Imam Muslim dari Abu Dzar, “Rasullullah menyatakan bahwa jika tidak mampu bersedekah dengan harta maka membaca tasbih, membaca takbir, tahmid, tahlil, berhubungan suami-istri, dan melakukan kegiatan amar ma’ruf nahi munkar adalah sedekah.”

Bersambung…