Sains Haji 8 – FALSAFAH DI SEBALIK SEBALIK TAHLUL
FALSAFAH DI SEBALIK SEBALIK TAHLUL
Ihram sudah, Kaabah sudah, Hajarulaswad sudah, tawaf, saie, telaga zamzam pun sudah. Kini tiba giliran kupasan code-breaking di sebalik ritual tahlul.
Tahlul ialah membebaskan diri dari segala larangan semasa ihram. Ia dilakukan dengan bercukur ataupun menggunting minima 3 helai rambut selepas melakukan saie sambil menghadap kiblat/kaabah. Mencukur pula sunat memulakannya dari bahagian kepala sebelah kanan.
Ulangkaji semula dari mula siri Sains Haji bagi yang tak faham kronologinya. Setelah itu barulah baca artikel ini. Ringkasnya, selepas sedar batu putih itu telah menjadi hitam, kita menyusur ke belakang melawan arah jam ataupun menyusur semula sejarah sehingga 7 kali bagi mengenalpasti di mana pincangnya perlaksanaan 7 ayat Al-Fatehah yang kita ulanginya 17 kali sehari di dalam solat fardhu itu. Selepas dikenalpasti dosa yang menyebabkan batu putih itu bertukar hitam, beristilamlah (flying kiss / good bye) dan teruskan mencari ilmu, pedoman baru dari 7 pusingan saie.
HASIL KAJIAN SIBUTA HURUF
Bagi mereka yang tidak sedar akan sirah nabi junjungan kita Muhammah SAW, sejarah tawaf dan saie juga telah baginda lalui secara praktik. Baginda pemegang kunci Kaabah, baginda ikut ritual tawaf, baginda yang selesaikan kemelut meletak semula batu Hajarulaswad yang jatuh ke tempatnya semula.
Namun begitu, Nabi s.a.w. juga melakukan “tawaf” yang actual semasa beliau menjadi Presiden Hisbul Fudul (NGO Mekah yang menangani masalah keruntuhan akhlak) dan mendapati dosa-dosa yang menghitamkan pertimbangan batu hajarulaswad (pertimbangan “batu jemala” ketua keluarga dan pemimpin ketika itu) lalu baginda meninggalkan Mekah untuk bertahannuts di gua Hira’. Diriwayatkan 3 tahun lamanya Nabi menenangkan fikiran mencari ilham segar di gunung yang tinggi itu. Dari pintu gua itu baginda mampu menyaksikan Kota Mekah.
Apabila Nabi berusaha keras mencari ilmu dari kebingungan menyelesaikan masalah akhlak yang tidak pernah mampu diselesaikan, maka di situlah Allah turunkan wahyu yang pertama yang berbunyi “IQRA”. Yang Nabi iqra’ ialah keadaan masyarakat jahiliyah Mekah yang polisi hidup mereka tidak lagi selari dengan kitab Taurat dan Injil yang tersedia ada. Baginda jadi tidak faham mengapa kitab ada tapi masyarakat masih jahil. Seluruh masyarakat buta huruf tentang kitab waktu itu termasuk baginda. Ini Allah jelaskan dalam surah 62 Al-Jumu’ah ayat 2 dan Al-Baqarah ayat 78.
Setelah mengkaji punca terjadinya keburukan masyarakat yang menggunakan pertimbangan yang hitam itu lalu baginda menerima wahyu. Wahyu itulah yang memahamkan Baginda apakah maksud dan kehendak Allah yang sebenar dalam kitab lama yang sudah tidak difahami dan dilaksanakan sepenuhnya itu. Lain diperintah Allah, lain pula yang dilaksanakan manusia, sebab itu masyarakat jadi haru biru ketika itu.
Antara isu besar ialah penyembahan keterlaluan terhadap Harta, Tahta dan Wanita mengalahkan sembahan terhadap Allah. Semua bayi Quraisy waktui itu dicarikan ibu susu, ibu ibu yang mewah itu berebut rebut cari maid dari hujung desa. Mengapa Rasulullah boleh sabdakan bahawa salah satu tanda akhir zaman, di mana pengaturan agama tidak lagi mampu mensejahterakan manusia ialah kerana ramainya wanita berkerjaya? Ialah kerana baginda sendiri pernah mengalaminya.
Sila rujuk artikel ‘Hakikat Buta Huruf’ dan ciri Arab Jahjiliyah yang bakal menyusul nanti.
TAHLUL – BUANG FAHAMAN LAMA
Orang tua dulu kata, kalau rambut cacak tu tanda kepala batu atau degil, kalau rambut kerinting tu kaki belit dan kalau rambut kemas, lembut dan mudah disikat itu tanda kita orang yang berdisiplin dan mengikut peraturan. Sejauh mana kebenarannya, pasti orang tua dahulu dah buat pemerhatiannya. Hasil kajian kami, analogi Rambut itu bicara penzahiran fahaman yang tumbuh dari kepala atau minda kita. Begitulah juga bulu bulu lain di seluruh badan. Ia tumbuh dari kondisi anggota tempat tumbuhnya. Kuku tangan dan kaki juga membawa analogi yang sama.
Dalam ihram, semua itu menjadi bahan kajian semasa tawaf dan saie. Bagaimana analogi kepala batu, degil, suka membelit dan menipu, fenomena kuku besi, sembunyi kuku dan berbagai bagai lagi boleh berlaku. Semua sifat itu adalah olahan dan terbitan dari aktiviti otak kanan kita yang jelas tidak selari dengan kehendak ketetapan kitab yang dihafal oleh otak kiri. Tabiat dan polisi hidup kita tidak sama dengan kehendak Allah yang berpaut kepada sistem Rob/Rububiyah, Ubudiyah dan Mulkiyah Allah yang harus kita besarkan. Semua elemen kajian itu perlu dikekalkan semasa ihram untuk setiap jemaah Haji atau Umrah mengkaji. Kerana itu semasa ihram ianya dilarang membuang atau memotongnya.
Setelah segala usaha dilakukan dan kita telah menemui jawapannya, maka sampailah masa membuat kesimpulan. Jika tahlil itu lafaznya, maka tahlul adalah kerjabuatnya. Maka diminta kita cukur semua RAMBUT atau sekurang-kurangnya 3 helai sahaja. Tiga helai itu representasi Rob/Rububiyah, Ubudiyah dan Mulkiyah yang menjadi asas tawhid Islam itu sendiri.
Di situ kita disunatkan bertakbir 3 kali menghadap kaabah. Kita besarkan Pendidikan/aturan Allah, Besarkan Ubudiah/hamba-hamba Allah dan Mulkiah/rumah/negara Allah. Bila aturan Allah itu dihadam sungguh sungguh, ia dapat melahirkan ubudiah yang berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, tiada lagi mengamalkan sifat jahiliyah, pijak memijak hanya kerana ingin mengucup haraulaswad yang sunat. Analogi Rumahtangga itu ibarat mendirikan masjid, satu tempat sujud. Dengan ujudnya ubudiah yang taat maka rumah atau negara itu akan sejahtera ibarat syurga, terzahirlah rumahku syurgaku, Baiti Jannati, terzahirlah Darussalam.
GAMBARAN AKTUAL DARI RITUAL TAHLUL NABI
BUANG FAHAMAN lama itulah tahlul. Setelah mendapat wahyu di Gua Hira lalu Nabi Muhammad membuang fahaman (cukur rambut) agar fahaman baru boleh tumbuh kemudiannya. Janganlah setelah kita mengetahui punca kebatilan melaui tawaf dan telah mendapat petunjuk bagaimana membaiki kebatilan itu, bahkan sudah Allah hadiahkan zamzam sebagai hasil saie, kita masih lagi nak ikut fahaman lama. Cukurlah fahaman itu, kalau boleh sampai licin supaya nanti yang tumbuh itu lebih murni. Membaiki adakala lebih tinggi kosnya berbanding membuat yang baru.
Itulah falsafah di sebalik tahlul. Cetusan kami ini bersandarkan kes study yang kami buat sejak lebih 8 tahun secara berjemaah di RPWP. Prinsip kami mudah sekali, apa saja ayat Allah dan sabda nabi kami anggap sebagai perintah, kami cuba fahami dan terus laksanakan sepenuh penuhnya. Semua cetusan ini terbit semasa atau selepas usai kami melaksana. Apapun, ianya tidak cukup, melainkan hanya untuk kocak minda sahaja. Kami juga menggali sejarah nabi dari Adam a.s sampai Muhammad s.a.w. dan seterusnya sehingga kini. Kami cari falsafah di sebalik sejarah dan mengambil pelajaran darinya. Tambahan fakta dari rakan-rakan yang berilmu sangat kami alu alukan.
Jikalah semua umat Islam mengerti apakah yang mereka lakukan semasa mengerjakan haji, pastinya mereka akan pulang dengan haji yang Mabrur. Semasa kami menulis artikel ini, sahabat kami sedang berada di Tanah Suci dalam proses mengerjakan haji. InsyaAllah beliau akan salurkan perkongsian beliau dalam travelog khusus tentang haji bersandarkan actual haji yang diritualkan. Yang penting, beliau terbang ke sana dengan kefahaman yang actual dan bukan sekadar ikut-ikut sahaja.
Kami di sini menantikan catatan pengembaraan beliau saban hari yang akan beliau kongsikan hanya melalui fb kami Warga Prihatin dan akan di mirror melalui administrator ke fan page beliau.
Tahlul dari
WARGA PRIHATIN