Remaja 16 tahun mati dipukul abang teman wanita ‘WeChat’nya
‘Saya tak percaya anak saya bercinta dengan adik suspek’ suspek
Tawau: “Saya tidak percaya anak saya bercinta dengan adik suspek,” kata bapa pelajar tingkatan empat yang maut selepas dipercayai dipukul di sebuah padang di Taman Gembira berdekatan Kampung Sentosa, di sini, Ahad lalu.
Lambang Sundang, 59, berkata, anaknya, Mohd Ayieruchizamsyah, 16, adalah seorang yang mudah berkawan dan cepat mesra dengan sesiapa sahaja.
“Saya tidak percaya mereka menjalin hubungan cinta pada usia yang muda begini, lagipun mereka masih bersekolah.
“Kalau ada pihak yang cakap mereka pasangan kekasih itu tidak betul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pisang, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa dipercayai ditumbuk di pipi dan dipukul di tengkuk menggunakan sebatang kayu oleh suspek di Taman Gembira.
Mangsa kemudian melarikan diri dan pulang ke rumahnya di Kampung Pisang serta memaklumkan kepada ibunya bahawa dia dipukul oleh seorang yang tidak dikenali sebelum masuk ke dalam bilik pada jam 8 malam.
Namun, dia didapati sudah meninggal dunia pada jam 7.30 pagi, kelmarin, ketika ibunya cuba mengejutkannya daripada tidur.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Haryani Lahabe, 49, berkata, biarpun keluarganya reda dengan pemergian mangsa, mereka berharap suspek dikenakan hukuman setimpal atas perbuatannya.
Katanya, ia bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak bertindak mengikut nafsu dan membelakangkan undang-undang dengan mengambil tindakan sedemikian.
“Saya berharap dia menerima hukuman setimpal akibat perbuatannya yang menyebabkan kematian anak saya.
“Sepatutnya jika ada perselisihan faham, selesaikanlah dengan perbincangan atau datang berjumpa kami. Janganlah buat tindakan sesuka hati,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek berusia 18 tahun kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, suspek sebelum itu ditahan polis pada jam 10.45 pagi, kelmarin.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa baru dua minggu berkawan dengan adik perempuan suspek yang berusia 15 tahun.
“Mangsa berkenalan menerusi WeChat dan sudah dua kali bertemu termasuk pada hari kejadian manakala keluarga mereka saling tidak mengenali.
“Dalam kejadian terbabit, itu adalah kali pertama suspek menegur mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Fadil, suspek dan adiknya juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.