Rasa malu kian terhakis
KUALA LUMPUR: Kajian mengenai nafsu serakah melampau termasuk seks luar tabii mendapati, manusia sanggup melakukan demikian disebabkan faktor persekitaran dan bukan kerana sifat azali.
Timbalan Dekan di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata sebagai contoh, kini terlalu banyak kes-kes ‘dalam kain’ yang dibicarakan secara terbuka.
Menurutnya, tanpa disedari cerita seperti itu boleh menimbulkan keinginan pihak lain melakukan kesalahan seperti dalam kes terbabit.
“Pada 1980-an, seminar membicarakan mengenai mak nyah merumuskan penularan ramai mak nyah disebabkan persekitaran membentuk mereka jadi begitu.
“Ketika ini pula tak dinafikan kemungkinan berlaku semakin banyak kes seks luar tabii disebabkan masyarakat kita disogok dengan kes sama,” katanya.
Menurutnya, masyarakat negara ini semakin menghakis budaya Timur yang malu membicarakan hal ‘dalam kain’ kerana terikut-ikut budaya Barat supaya kononnya tidak mahu ketinggalan.
“Malang sekali masyarakat kita satu lepas satu terjerumus dalam penularan budaya songsang. Hal-hal seks didedahkan melampau yang bukannya memberikan pengajaran, tetapi menimbulkan rasa kepada pihak yang ingin mencuba,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai seorang lelaki sudah berkahwin dan memiliki dua anak terjebak dalam seks songsang apabila sanggup memilih pondan untuk kepuasan nafsu.
Isteri lelaki berkenaan mahu dikenali sebagai Sara, 35, terpaksa menuntut cerai selepas lelaki dikahwini sejak lima tahun lalu itu mengakui ‘tawar hati’ dengan belaian wanita, sebaliknya lebih menyukai pondan kerana pandai melayan.
Sara ditipu selama 18 bulan oleh lelaki berkenaan kononnya pondan itu adalah isteri keduanya.