RAHSIA SOLAT 16 – TAHIYYAT & SALAM
Maafkan kami kerana siri rahsia solat ini terhenti agak lama gara-gara melayani isu semasa. Alhamdulillah Allah izinkan juga kami siarkan apa yang sudah sekian lama tersedia ini untuk melengkapkan kefahaman solat kita.
Selepas ini nanti bolehlah kita perhalusi pula pelbagai unsur solat yang kecil-kecil seperti sujud sahwi, qunut, sujud sajadah, wirid dan sebagainya.
Tahiyyat terbahagi kepada dua bahagian, iaitu tahiyyat awal dan tahiyyat akhir. Salam pula adalah rukun terakhir sebagai penutup atau noktah kepada ibadah solat kita. Itulah misi membangun sejahtera untuk umat manusia.
TAHIYYAT AWAL
Dilakukan usai sujud kedua pada rakaat kedua dan ia dilakukan sebelum kita qiyam kembali pada rakaat ketiga.
Jika sebelum ini telah dibukakan mengenai sujud kedua berupa “turun kembali” ke lapangan setelah melakukan ‘check and balance’ di lapangan, dan qiyam itu adalah bicara bangkit memulakan gerak kerja, maka tahiyyat awal ini adalah bicara ‘turning point’ dalam sesuatu pelaksanaan. Ini bermakna tahiyyat awal menjadi satu pengakhiran bagi sesuatu fasa gerak kerja. Pada masa yang sama ia menjadi satu permulaan bagi sesuatu fasa yang baru atau fasa pengembangan seterusnya.
Lafaz tahiyyat itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu; lafaz penghormatan kepada ALLAH, ucapan salam, ucapan penyaksian, dan selawat. Namun tahiyyat awal hanya cukup sekadar “Allahumma solli ala Muhammad”, sekadar ucapan selawat ke atas “MUHAMMAD” sahaja.
Jika dikaji lenggok/gaya bahasa lafaz ini, ia berbentuk individu/singular. Ini adalah satu pengesahan bagi kerjabuat yang sudah dilakukan sebelumnya di peringkat individu.
Jika kita gunakan kerangka solat ke dalam aspek pembinaan akhlak diri contohnya, maka tatakerja pada dua rakaat pertama adalah bicara soal pembinaan diri sendiri.
TAHIYYAT AKHIR
Jika tadi dibukakan fasa individu, maka fasa selepas tahiyyat awal itu adalah fasa jamaie (kelompok), atau lebih tepat lagi fasa generasi.
Ini berdasarkan lafaz selawat pada tahiyyat akhir yang merangkumi bukan sahaja selawat ke atas MUHAMMAD, malah dilanjutkan ke atas KELUARGA baginda, juga ke atas IBRAHIM A.S. dan KELUARGA baginda.
Terang dan jelas apabila kita bicara mengenai KELUARGA, maka ia sebenarnya adalah bicara mengenai pembinaan generasi.
Ringkasnya, jika tahiyyat awal adalah bicara verifikasi/pengesahan bagi satu misi di peringkat individu, maka tahiyyat akhir adalah bicara verifikasi/pengesahan kerjabuat yang bersifat keluarga dan generasi.
Dari kedua-dua fasa ini, kita boleh lihat secara makro bahawa tahiyyat akhir merupakan satu ‘penghijrahan’ /pengembangan /perubahan /islah ke arah yang lebih baik dan lebih luas skopnya. (QS: 93/4).
IBRAH ‘DUA FASA’: BICARA PEMBANGUNAN AGAMA
Jika kita soroti sunnah kehidupan Nabi Muhammad SAW sepanjang dakwahnya, kita akan dapati bahawa ia benar-benar melakar sunnah dua fasa. Secara ritualnya, 2 fasa akhir itu dilakarkan dalam tahiyyat awal dan tahiyyat akhir.
Jika kita kaji sirah kehidupan Nabi Ahmad sebelum baginda dibangkitkan sebagai Rasul pada umur 40 tahun, kita dapat faham bahawa sejak dilahirkan sehingga umur 40 tahun adalah fasa ALLAH membina kredibiliti peribadi baginda. Di fasa ini segala kualiti baginda sebagai manusia termulia dibentuk sebelum diangkat sebagai nabi dan kemudiannya sebagai rasul pada umur 40 tahun.
Setelah dibangkitkan sebagai nabi, tugas utama baginda adalah menyebarkan wahyu yang sarat dengan segala kebaikan kepada seluruh alam (QS: 21/107). Ini turut dijelaskan dalam hadis yang mafhumnya “Sesungguhnya aku dibangkitkan (menjadi Nabi) untuk menyempurnakan akhlak-akhlak mulia”.
Jika diambil sirah ini ke dalam kerangka dua fasa, maka umur 0-40 baginda adalah fasa pembinaan diri (tahiyyat awal). Fasa baginda bangkit (bicara qiyam) untuk menyebarkan wahyu ALLAH dari umur 40-63 tahun adalah fasa membina generasi (tahiyyat akhir).
Jika kita teliti lebih terperinci dari umur 40-63 tahun, juga kita akan temui satu lagi konklusi yang sama dengan sunnah dua fasa.
Fasa 13 tahun pertama adalah fasa Makkiyah (sebelum hijrah). Ayat-ayat yang diturunkan adalah ayat-ayat perihal keimanan dan pembinaan jati diri setiap individu awalulmuslimin. Ini juga bicara TAHIYYAT AWAL dalam misi dakwah baginda. Umat bangkit untuk berlepas diri dari tekanan dan seksaan di Mekah.
Fasa 10 tahun terakhir pula ialah mengajak umat berhijrah ke Madinah (bicara qiyam fasa kedua). Di Madinah diturunkan ayat-ayat syariat dan strategi pembinaan generasi. Ini adalah bicara TAHIYYAT AKHIR dari aspek generasi.
Sesungguhnya, banyak lagi kisah-kisah yang boleh diambil bagi menentu dan mengesahkan bahawa pola kehidupan atau pembangunan agama kita ini berlingkar dalam pola “dua fasa”.
RAHSIA KAITAN ISLAM DENGAN NABI IBRAHIM A.S.
Sesungguhnya setiap bicara wahyu, setiap aturan ALLAH dan setiap penciptaan generasi itu mempunyai hikmah dan strategi khas untuk kita ambil pengajaran. Begitu juga halnya mengapa lafaz tahiyyat kita mempunyai selawat Ibrahimiyah. Ini menunjukkan rapatnya kaitan kita dengan Nabi Ibrahim a.s..
Umum mengetahui Nabi Ibrahim digelar sebagai “bapa agama” ini. Baginda juga adalah bapa kepada nabi-nabi lantaran nabi-nabi selepasnya adalah dari keturunan baginda. Nabi-nabi Yahudi dan Nasrani dari susur galur Ishaq, dan nabi-nabi Arab (Ahmad) dari susur galur Ismail.
Antara kisah IBRAHIM a.s. yang paling dekat dengan kita ialah kisah baginda dan anaknya Ismail a.s. membangunkan Baitullahil Haram di Makkah. (QS: 2/124-134).
Lafaz tahiyyat itu sendiri secara makro adalah satu doa (seruan). Apabila selawat di dalam tahiyyat akhir itu adalah selawat Ibrahimiyah, maka ia adalah satu seruan untuk kita mengembalikan wajah (kerangka agama / kehidupan) kita bukan setakat kepada Nabi Ahmad SAW dan keluarga baginda sahaja, tetapi sejauh ke Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.
Sesungguhnya, hakikat ALLAH membangkitkan generasi Ibrahim sebagai utusanNYA adalah hasil doa Nabi Ibrahim juga. (QS: 2/124).
Sessungguhnya antara wawasan yang seharusnya kita capai dalam hidup beragama ialah keperluan hasil kerja kita ini menatijahkan orang yang selepas kita dapat berhubung dengan ALLAH, yakni memberi mereka kebaikan yang diterima di sisi ALLAH (konsep rahmatal lil alamiin). Itulah yang Nabi Ibrahim telah lakukan (QS: 2/125).
Nabi Ibrahim juga bukan setakat mendoakan kebaikan buat manusia selaku UBUDIYAH Allah, malah mendoakan juga kebaikan buat tempat sebagai MULKIYAH bagi kita semua selaku keturunannya (QS: 2/126). Itulah BAITULLAH asas mulkiyah yang pembinaannya menjadi kiblat dan rujukan kita.
Tonggak sebuah KELUARGA (komuniti terkecil) adalah SUAMI (rijal). Apabila rijalnya qowwam, maka rumah tangga akan kukuh teguh. Itulah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail melalui mutasyabihat ayat QS: 2/127. Ini berlawanan dengan apa yang Firaun lakukan, iaitu ‘membunuh’ lelaki-lelaki (rijal) dan membiarkan hidup perempuan yang lemah sahaja agar dia boleh bermaharajalela.
ALLAH telah merakamkan doa Nabi Ibrahim yang mahukan generasi baginda menjadi Rasul seperti baginda; membacakan dan mengajarkan kitab (teori ketetapan) dan mengajarkan hikmah (praktikal), dan mensucikan umat manusia.(QS: 2/128-129)
Nabi Ibrahim juga berpesan kepada keturunan baginda supaya mati hanya di dalam Islam, lantaran ALLAH telah memilih mereka untuk menggalang agamaNYA. Ia bermakna kita perlu tetap berjuang untuk agama ALLAH ini sampai mati. Samaada kita sanggup mati untuk agama ini, atau tetap berada di atas agama ini selagi hayat dikandung badan. Itulah sebenarnya tujuan hidup kita.
Dari ayat-ayat tersebut dapat kita lihat satu strategi dalam mewariskan misi-misi agama ALLAH kepada GENERASI berikutnya (QS: 2/124). Mereka perlu diuji dan disucikan terlebih dahulu. Kemudian sediakan mulkiyah untuk mereka (2:125-126), tinggikan darjat mereka setara dengan fungsi diri mereka (2:127), ajarkan mereka teknikal dan doktrin (2:128-130), serta akhirnya arahkan mereka untuk bersumpah setia (2:131-133). Itulah kerangka solat kita, daripada rahsia doktrin hinggalah ketetapan menghadap ke Baitullah.
SALAM DI TAHIYYAT AKHIR
Secara ringkas, salam merupakan bicara titik noktah dalam misi kita, iaitu mensejahterakan manusia, baik golongan kanan atau golongan kiri. Jika rukun wajib hanya salam ke kanan, maka kita boleh fahami misi utama kita adalah mensejahterakan golongan kanan juga.
ALLAH tetapkan bahawa setiap yang dimulakan pasti ada pengakirannya. Tahiyyat akhir adalah bicara fasa pembinaan generasi golongan kanan. Matinya kita harus meninggalkan kesejahteraan kepada yang masih hidup untuk menikmati dan meneruskan misi dakwah mengajak golongan kiri.
Setelah wafatnya Nabi Ahmad, Islam telah berkembang sehinggalah ke Nusantara. Ini membuktikan perjalanan Nabi SAW seiring dengan mutasyabihat solat yang lengkap.
KESIMPULAN
Kita tidak akan mampu menolak hakikat bahawa setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya. Islam akan bangun-jatuh seperti bergantinya siang dan malam. Dengan kita menggali segala khazanah actual dari setiap ritual agama kita, pasti dapat difaham apa kondisi kita sekarang, apa perlu kita buat, dan apa wawasan kita.
Al-Quran diturunkan bukanlah hanya untuk dibaca teksnya sahaja, tetapi kita dituntut untuk ‘membaca’ bersama alam di hadapan kita. Ubahlah strategi gerak kerja dakwah kita mengikut kondisi alam. Jangan berteriak menyambut MERDEKA pada kondisi di mana rakyat dan negara sudah dijajah semula.
Jangan khayal mendabik dada sebagai umat Islam yang mulia di kala umat sudah kembali jahil dan menjadi penyembah Dajjal dan hidupnya tertindas serta dihina semuanya.
Kita perlu siapkan generasi penerus untuk membawa misi agama. Namun perlu ingat, bukan ALLAH yang memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan DIA. Jika kita berpaling dan enggan mengikut strategi yang ditunjukkan, ALLAH tidak hairan pada kita sedikit pun. Jika kita sombong, enggan mematuhi strategi dakwah yang Allah berikan, akan Allah ganti kita dengan umat yang lain untuk mewarisi agamaNYA walau bagaimana cara sekali pun. (QS: 5/54).
Sesungguhnya tentera ALLAH, yang menggunakan strategiNYA adalah yang beruntung (QS: 58/22)
WARGA PRIHATIN