Rahsia kahfi 17 – Membina semula fungsi masjid (bahagian 2)

00 GUA 17RAHSIA KAHFI 17 – MEMBINA SEMULA FUNGSI MASJID: BAH 2

Mem’baca’ rahsia al-Kahfi ada kaitannya dengan peranan masjid dan jatuh bangunnya agama. Jika kita hanya baca secara tilawah teks sahaja tanpa menzikir, mentafakkur, mentadabur dan mentabayunkan bacaan itu secara konteks jatuh bangunnya agama, maka BACAAN AL-KAHFI itu tetap tidak mampu menolak fitnah Dajjal.

Dalam bahagian 1 minggu lepas (al-Kahfi 16) telah kami huraikan falsafah asas di sebalik masjid, sujud, solat, fungsi aliran ilmu di masjid, falsafah syurga di masjid, fungsi raudah, dan fungsi mimbar. Telah dikongsikan juga situasi semasa sebagai tanda akhir zaman bila masjid dan alquran telah hilang fungsinya.

Kini masjid yang begitu besar fungsinya telah disalah guna. Ia hanya menjadi tempat adu domba, tempat musafir berhenti mandi, berak dan tidur, tempat kaki maksiat melampias nafsu, tempat penjenayah mencari ruang mencuri dan sebagainya. Apabila Masjid sudah tidak terjaga maka umat akan kembali jahil dan pencerobohan masjid kembali berleluasa kerana kita sukar mengenal ahli ibadat dan musyrik yang merosak agama.

Al-Kahfi menyedarkan kita tentang akhir zaman, kejatuhan dan bagaimana membangunkannya semula. Antara punca kejatuhan agama adalah kerana hilangnya kefahaman yang mendalam tentang falsafah BASMALLAH, ibu segala niat dan matlamat agama. Kerana itu Surah 9, At-Taubah, antara surah yang penting untuk memperlihatkan langkah pembangunan semula itu tidak di awali dengan BASMALLAH. Maknanya, jangan impikan pembaikan selagi kita tidak menyedari kesilapan dan bertaubat denganNya. Perhatikan ayat-ayat dari at-Taubah berikut.

107. Dan ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan, untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan golongan yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu (Dajjal). Mereka Sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta.

108. Janganlah kamu bertakwim dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya mesjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

109. Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaanNya itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim.

110. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

111. Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan/bahwasanya untuk mereka surga, mereka berperang pada jalan Allah maka/lalu mereka membunuh dan mereka dibunuh, janji atasnya itu benar dalam Taurat dan Injil dan Al Quran, dan siapakah lebih menepati dengan janjinya dari Allah, maka bergembiralah kamu dengan jual belimu yang telah kamu jual belikan dengannya dan demikian itu ialah keuntungan besar.

112. Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

Kali ini ingin kami huraikan bagaimana harus kita berperanan untuk mempastikan masjid terpelihara dari sebarang pencerobohan. Itu isu utama yang menjadi asbab tercetusnya artikel ini. InsyaAllah akan kami huraikan panjang lebar tentang fungsi masjid, termasuk fungsi dakwah dan pendidikan, fungsi pertahanan, dan fungsi perekonomian dalam siri berikutnya.

FALSAFAH AYAT KURSI – ALLAH TAK TIDUR & KAITANNYA DENGAN IKTIKAF

Antara pelajaran di sebalik disiplin pengaturan alam oleh Allah terkait dengan tidur. Demikian Allah menampakkan betapa teliti dan rapinya pengaturan alam ini. Fenomena tidak mengantuk dan tidak tidur, terus menerus kekal mengurus dan ambil tahu akan segala-gala yang berkaitan dengan apa yang diatur ini Allah gambarkan dalam ayat kursi. Kerana itu, kita sebagai hamba harus berjamaah sebagai KAMI, berusaha untuk mengikut jejak langkah itu. Barulah ayat Kursi itu benar-benar JADI PENDINDING.

Bagaimana pentajalian yang Allah tidak tidur itu mahu kita laksanakan jika masjid yang menjadi rumah Allah boleh ada batas ‘operating hour’nya? Jika nak dibanding dengan gereja dan kuil hindu dan budha, mungkin kita jauh tertinggal. Di dalam rumah ibadat agama lain ada penjaga setiap masa, maka ia sentiasa diimarahkan.

Mengapa perkara sama tidak terjadi di masjid? Sekiranya iktiqaf itu boleh dilakukan secara actual dan ritual, maka segala masalah komuniti masjid itu mampu dirungkai dalam Jemaah.

Ada juga beberapa masjid yang aktif dengan pelbagai kegiatan, namun konsep iktikaf dalam masjid itu berlaku tidak di sepanjang waktu. Yang aktif juga hanya sekadar menjadikan masjid sebagai lokasi aktiviti SEKALI SEKALA, bukannya mengimarahkannya sehingga ia mampu berfungsi membina peradaban insan sepanjang masa.

Hari ini, selain dari waktu solat, banyak surau dan masjid yang kebanyakannya tidak berjiran itu dikunci. Fungsi sebenar yang lainnya tertutup sehingga waktu solat yang satu lagi. Perkara ini sudah menjadi satu masalah besar kepada pengurus aset masjid yang terpaksa membuat pertimbangan antara keselamatan harta benda dan juga menjadikan masjid itu laluan ibadat bagi mereka yang mahu beriktikaf.

Jika Islam sudah LENA TIDUR, jika masjid sudah jadi ‘GUA’, maka kita kena ‘BANGUNKAN’ fungsi masjid itu semula. Itulah antara kejayaan Dajjal dalam usaha menjatuhkan agama Allah ini. Itulah mesej dari surah Al-Kahfi yang harus kita baca setiap jumaat untuk menyelamatkan dan membangun umat ke jumaat yang satu lagi.

IKTIKAF YANG SALAH

Secara literal, iktikaf ini ialah ‘menetapkan’ diri dalam masjid. Amalan iktikaf seharusnya boleh menjaga dan memelihara kesucian dan pembangunan ummah di masjid. Yang kotor dibersihkan, yang hadir diraikan, yang jahil diajarkan oleh mereka yang melakukan iktikaf.

Hari ini sekiranya berhentinya kita di masjid melepasi waktu solat pastinya kita akan disuruh keluar oleh tok siak yang sudah bersedia dengan kunci, rantai dan manga untuk mengunci ruang masjid. Ada nasib, surau-surau dan masjid-masjid ada yang memiliki beranda, maka itulah tempat jika nak iktiqaf sekalipun.

Dalam kembara ‘Sekolah Alam’ di mana saja, kami sering membawa anak-anak untuk beriktikaf di masjid, khasnya surau yang berasaskan wakaf. Seringkali kami bertembung dengan kumpulan jemaah yang ‘berkampung’ berminggu-minggu di masjid untuk menjalankan usaha dakwah. Mereka berjemaah dan berusrah sesama mereka setiap waktu solat. Bakinya untuk tidur dan berjalan mengajak penduduk sekitar.

Ironinya, masjid tempat mereka berkampung menjadi kotor dengan kehadiran mereka. Sisa dan bungkus makanan bersepah merata-rata. Pasir dan tahi cicak banyak atas kapet masjid tidak disapu. Sesawang di siling, rumput di laman masjid, dan sampah yang menyumbat longkang tak perlu diceritakanlah. Bil air dan api yang melambung selepas mereka pergi terpaksa ditanggung pula oleh penduduk setempat.

Anak-anak kami yang ikut bergotong-royong di masjid itu saling bertanya, kenapa pakcik-pakcik dan abang-abang di atas tu tak ikut kita bersihkan masjid ni sama-sama? Kenapa mereka tidur saja? Waktu solat tadi panjang pulak ceramah mereka? Soalan ini kami tinggalkan kepada anda untuk menjawabnya.

IKTIKAF YANG BETUL – KAITAN DENGAN FALSAFAH TAWAF & TAHIYATULMASJID

Jika iktikaf itu bermaksud ‘menetap’, maka bagaimanakah konsep iktiqaf yang sebenarnya berlaku semasa fasa Nabawi dahulu? Sila perhatikan gambarajah lakaran masjid Nabawi yang kami lampirkan. Lihat bagaimana binaan asal masjid Nabawi mengandungi beberapa komponen iaitu satu ruangan tertutup bertembok, satu ruangan berbumbung untuk berhalaqah (Raudhah) dan di sekitarnya ialah rumah Nabi SAW, isteri-isteri baginda dan sahabat-sahabat ahlulbait (ahli rumah Allah itu).

Gambar hiasan dan nota berkaitan masjid Nabawi ini kami petik dari Page Al Faedah (kita beri kredit untuk mereka).

a. Mihrab RasuluLlah SAW
b. Kediaman Aisha b. Abu Bakr RA
c. Kediaman Hafsa b. Umar’s RA
d. Kediaman Zainab b. Jahsh’s RA(tanpa visual)
e. Kediaman Zainab b. Kuzayma’s RA (tanpa visual)
f. Kediaman Fatima’s RA (tanpa visual)
g. Baab-Uthman b. Affan RA
h. Ruang Ahlus-Suffa
i. Kediaman Juwayriya’s RA (tanpa visual)
j. Kediaman Rumla’s RA (tanpa visual)
k. Kediaman Saffiya’s RA (tanpa visual)
l. Baab-ul-Rahma
m. Kediaman Abu Bakr’s RA
n. Kediaman Sa’d b. Abi Waqaas RA residence (tanpa visual)
o. Kediaman al-Abbas b. Abdul Muttalib RA (Paman RasuluLlah SAW)
p. Kediaman Jafar b. Abi Sadiq

Dan telah berkata akan Imam Malik bin Anas:
لأن يصليها أخري هذه أمه إلا ما أصلها أولها

Tidak sekali-kali boleh dipulihkan akan ummat akhir (zaman) ini melainkan kembali kepada baikpulih ummah yang terdahulu (iaitu para Sohabah RA).” [ash-Shifaa of Qaadee ‘Iyyaadh, (2/676)]

Gabungan keseluruhan struktur masjid itu membentuk satu komuniti. Masjid selaku RUMAH ALLAH ini benar-benar dihuni oleh begitu ramai keluarga sebagai penjaga. Mereka menetap di situ dalam merealisasikan falsafah IKTIKAF (MENETAP). Mereka bukan sekadar solat tahiyatulmasjid dan tunduk berzikir dengan bibir sahaja. Mereka jadi tukang kebun, mereka jadi jaga, mereka jadi pusat rujukan dan pendakwah yang menyambut semua tetamu masjid yang hadir.

Berapa banyak masjid kita yang ada rumah penjaga di dalam kawasannya? Jika ada, apa mereka buat? Adakah mereka aktif bertugas dalam masjid atau hanya berfungsi pada waktu solat sahaja? Rumah di sebelah masjid tapi masjid berkunci? Jika tidakpun, hazanah masjid tetap dicuri walaupun ada rumah penjaga disebelahnya. Inilah kegagalan fungsi masjid sebagai mini replika BAITULLAH (rumah Allah) yang kita kiblatkan wajahnya, tapi kita lupakan fungsi diri kita terhadapnya.

Mengapakah di dalam Masjidilharam tiada solat tahiyatulmasjid?

Masjid merupakan pusat komuniti pelbagai fungsi. Jika kita sebut ia sebagai satu komuniti, ia bermakna satu sistem yang lengkap. Ada pentadbiran sosial, pengurusan ekonomi, pendidikan, kejiranan, keselamatan, pembangunan komuniti, baitulmal, kebajikan dan banyak lagi.
Pernah kami ceritakan tentang masjid yang hilang fungsi pada hari ini, tetapi ramai yang defensif dan memberikan contoh masjid-masjid yang aktif. Ukurannya mudah, adakah ia mampu membangunkan komuniti secara mendasar ataupun hanya sekadar luaran (superficial).

Kita harus kaji kaitan mengapa solat tahiyatulmasjid di Masjidilharam digantikan dengan ritual tawaf. Tawaf ini satu kerjabuat yang terkait dengan “checking” apa yang ‘tidak kena’. Masjid kotorkah? Bocorkah? Ada kesan kecuriankah? Ada ajaran sesatkah? Pusingan lawan jam itu pula satu simbolik untuk kita melurut semula sehingga 7 pusingan ke belakang, sampai jumpa punca mengapa Batu putih susu Hajarulaswad itu bertukar menjadi hitam…

Begitu juga konsep beriktikaf di masjid komuniti tempat kita sendiri. Sepatutnya kita membuat tawaf (checking) apa yang telah terjadi dalam komuniti kita dan mencari jawapan mengapa dahulu akhlak manusia baik, tapi sekarang sudah jadi rosak dan kotor sekali? Ini satu konsep yang ritualnya ialah solat tahiyatulmasjid dan kaitannya dengan tawaf dan iktikaf itu sendiri.

KESIMPULAN

Apakah makna semua ritual IKTIKAF, TAWAF, TAHIYATALMASJID itu tanpa perlaksanaan disiplin yang actual? kita kata Allah besar, tapi kita perkecilkan Allah melalui amalan kita. Kita kata Allah suci bersih, tapi kita biarkan rumah Allah kotor, kita kata Allah tak tidur, tapi kita sendiri mendengkur sahaja. Kita kata Allah pengatur yang bijaksana, namun kita biarkan anak generasi tidak teratur dan jahil belaka.

Dalam susunan NUZULQURAN, Allah lakarkan melalui susunan 1. IQRA’ 2. ALQALAM 3.MUZAMMIL (tidur), 4.MUDATSIR(berkemul) barulah 5.FATIHAH (bersama BISMILLAH). Susunan surah-surah itu menampakkan gambaran frame asas tentang pembangunan dan pemeliharaan agama. Tanpa memahami dan melaksanakannya, maka kita akan kekal hidup seperti jahiliyah ibarat LEMBU BETINA.

Sekarang ini kita hanya menjaga masjid secara defensif. Ingatlah, ‘The best defence is offence’. Untuk menjaga keselamatan masjid, kita harus ‘hidupkan’ DAN ‘bangunkan’ fungsinya. Kita harus sediakan beberapa rumah petugas yang sentiasa hadir di masjid sepanjang masa. Jika tidak, kita tiada pilihan, harus adakan jemaah yang sanggup melakukannya secara bergilir 24 jam.

Tawaflah tanpa henti keliling masjid dan komuniti kita sendiri, sepertimana tidak hentinya manusia tawaf di Baitullah. Itu analogi kiblat dan ikutan kita. Perhatikan sekurang-kurangnya sekitar 40 buah rumah di kejiranan, apakah masalah di masjid dan kejiranan yang perlukan tindakan qariah.

Kemudian bawa semua input itu dalam majlis syuro di malam jumaat semasa membaca yasin, bersama mencari jalan untuk sama bantu membantu, bahu membahu menyelesaikan segala jenis masalah. Ambil ruang di salah satu khutbah untuk menyalurkan maklumat qariah, bukan risalah pusat yang kurang keterkaitannya dengan masalah setempat di kedua dua khutbah itu. Jika ini dilakukan, bukan sahaja harta masjid yang selamat, qariah di kejiranan juga turut selamat dan sejahtera.

Kembangkan fungsi masjid bukan sekadar menyelesaikan masalah, malah boleh menjadikan ia satu ruang integrasi komuniti sehingga sebuah komuniti dalam satu qariah masjid itu mampu hidup harmoni berjiran, bersahabat taulan. Tidaklah sampai jiran sebelah menyebelahpun nak berperang, sampai masing-masing terpaksa pasang tembok pemisah yang tinggi.

Kudap Jumaat, Rahsia al-Kahfi.
Bangunkan Masjid. (BERSAMBUNG KE BAH 3).
WARGA PRIHATIN