RAHSIA AL-KAHFI 13 – Hakikat Bumi Gersang Dan Diratakan
Secara fizikalnya Allah ciptakan bumi ini dengan segala perhiasan yang indah di atasnya. Allah ciptakan bukit dan gunung, juga tanah lembah yang subur. Allah turunkan juga hujan dari langit dan mengalirkan air melalui sungai-sungai dari bukit menuju ke laut. Semua itu Allah ciptakan untuk dinikmati manusia
Secara mutasyabihatnya Allah khabarkan penciptaan manusia dari tanah liat yang kering gersang lagi hitam warnanya, juga Allah ciptakan manusia dari saripati air. Kemudian Allah tiupkan roh dan Allah ajarkan kepada manusia itu segala nama-nama. Segala perhiasan dan hasil mahsul yang ada di bumi ini Allah izinkan manusia menikmatinya dengan rasa bersyukur. Jangan cuba muhkamatkan rahsia mutasyabihat ini kerana sampai bila-bilapun kita tidak akan mampu meyakinkan generasi kita.
SITUASI SEMASA
Dalam siri yang lalu telah dapat kita fahami bahawa Al-Kahfi merujuk kepada fenomena terbelahnya dua zaman, di mana berakhirnya satu kegemilangan dan keperluan untuk merangka usaha membangunkan semula kegemilangan agama. Tatkala kita disedarkan dengan situasi ini, kitab yang Lurus telah berjaya dipesongkan (bengkokkan) oleh fitnah Dajjal (Siri 10). Pokok iman yang seharusnya mencetus gaya hidup yang sejahtera sebagai perhiasan dunia sudah hilang semuanya.
Dalam siri 11, telah kami kongsikan fenomena fahaman NENEK MOYANG dalam urusan agama. Kefahaman Agama yang tidak terjaga ini telah menjadi semakin pudar dan sukar difahami penjelasannya. Amalan-amalan agama kita sudah tidak mampu memberi kesan ISLAH yang nyata. Kualiti umat menjadi semakin mundur akhlaknya walaupun kelihatan masih beragama. Itulah fenomena fahaman yang telah pikun, atau digelar fahaman nenek moyang yang diukur dengan kegagalan AMAL SOLEH (hasil islah yang murni) dari amalan dalam urusan agama kita.
Dalam Siri 12 dinyatakan bahawa kesedaran terhadap situasi dan fenomena kejatuhan ini benar-benar menjadi berita sedih dan amat sukar diterima oleh kebanyakan manusia. Mana tidaknya, kita merasakan yang selama ini kita telah beragama dengan perlaksanaan yang sebenarnya, rupanya agama kita sudah tidak bernyawa, tiada lagi rohnya dalam jiwa kita. Segala amal perbuatan kita dalam urusan agama tidak membuahkan amal soleh, tidak membuahkan hasil yang mensejahterakan keluarga dan umat manusia melainkan sekadar sangka-sangka sahaja.
Islam yang seharusnya menjadi perhiasan dunia melalui kesejahteraan kehidupan hasil dari perlaksanaan carahidup dengan agama Allah ini sudah tidak menjadi realiti lagi. Agama yang suci dan murni, agama yang mensejahterakan ini telah dicemari oleh penganutnya sendiri dengan tabiat yang aneh sekali. Agama yang telah menyatukan manusia dahulunya kini tidak lagi. Agama yang memandaikan manusia, memperbaiki akhlak manusia kini jauh dari realiti.
UMAT BERCELARU – SUMBER AIR LAUT TERLALU MASIN
Fitrah ilmu yang segar seharusnya datang ibarat hujan dari langit yang membasahi bumi, mengalir ke sungai menuju ke lautan bersama air yang terkumpul dari rembesan celah batu batan di puncak gunung. Di samping untuk kegunaan minuman dan sumber makanan berupa hasil sungai seperti ikan, aliran sungai ini jugalah yang mengalirkan kotoran, mengairi tanaman, malah menjadi laluan jalan serta pengangkutan manusia.
Di tanah lembah, air hujan turut bertakung. Bagi mereka yang tinggal jauh dari sungai, di situlah mereka menggali perigi bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan kehidupan harian mereka khususnya waktu kemarau. Lebih dalam digali, lebih banyak dan bersih airnya. Dari air telaga itu mereka minum, mencuci dan mengairi tanaman.
Hari ini, di mana saja sungai yang melalui penempatan manusia, dapat kita lihat kerosakan segi struktur dan pencemaran dari pelbagai jenis kekotoran yang merosak kualiti air dan alirannya. Segala sisa buangan yang mencemarkan sungai sudah sukar dikawal lagi. Ikan-ikan banyak yang mati. Malah manusia sendiripun sudah tidak sudi menggunakan air sungai yang melalui belakang rumah mereka untuk mandi manda, apatah lagi untuk minum seperti dahulunya.
Kita lihat fenomena kini di mana manusia yang di belakang rumahnya ada sungai dari air segar yang turun dari bukit pun membawa keluarga ke pantai laut masin atau kolam renang berklorin untuk mandi manda. Air yang segar telah dicemari bungkusan dan sisa makanan sejak dari atas gunung lagi semasa manusia berekreasi. Sepanjang sungai ditambah lagi dengan buangan dari limpahan takungan najis dan industri.
Air yang seharusnya jernih dari gunung menjadi keruh akibat kekotoran sisa buangan atau lumpur akibat dari bumi yang ditarah manusia. Hujan sedikit sahaja semuanya akan menjadi keruh akibat kehilangan tumbuhan tutup bumi seperti asalnya. Di dalam rumah kita guna air paip untuk memasak, mandi dan mencuci. Kita semakin jauh dari sumber asli yang telah kita rosakkannya sendiri. Sila klik link berikut untuk maklumat tambahan.
http://prihatin.net.my/web2/2014/02/08/fenomena-kerosakan-alam-dan-keperluan-memulihkannya/
UMAT BERCELARU – POKOK AKIDAH SUDAH BERUBAH
Pohon-pohon adalah salah satu dari perhiasan bumi yang Allah ciptakan untuk kita. Ada yang tumbuh sendiri dengan berterabur secara semula jadi dan ada yang ditanam oleh manusia dengan sangat teratur. Dari kisah nabi-nabi terdahulu dapat kita perhatikan keterkaitan dari kisah tanah dan pokok ini. InsyaAllah akan kami kongsikan di rencana lain kaitan itu semuanya, siapa yang menanam pokok Tin dan di mana mulkiah tanaman itu. Begitu juga pohon Zaitun dan kurma.
Secara mutasyabihat dapat difahami bahawa setiap nabi yang membawa kalimah Allah berupa kitab akan terkait dengan tanaman. Ia mengaitkan peranan penanam (ubudiah), benih yang ditanam (rububiah) dan tapak atau tanah tempat di mana pokok ditanam (mulkiah). Kalimah dan isi kitab itu ibarat benih, yang bakal ditanam ke dada/hati manusia selaku tanahnya. Allah lakarkan fenomena ini dalam surah 14/24-27.
Antara punca umat Islam bercelaru dan hilang pegangan di setiap hujung zaman sesuatu kebangkitannya adalah kerana tumbangnya pokok akidah yang telah ditanam oleh penanam terdahulu. Itu semua berlaku secara semula jadi apabila pohon akidah itu telah terlalu tua dan tidak terjaga oleh pewaris zaman dengan ilmunya.
Tumbuhan yang dahulunya ditanam dengan rapi dengan benih yang baik di ladang secara terurus dan tersusun sudah terbiar lalu mereput tercabut dengan akar-akarnya. Fitrah tanaman yang seharus menjadi pelindung dan tempat berteduh umat agama ini seharusnya tegap menjulang, rendang dan sentiasa berbuah sudah tiada lagi. Terlalu banyak klon baru dan benih hutan yang ditanam. Ada yang agak malas sekadar membeli pokok plastik yang sama rupanya sebagai hiasan sahaja.
Pokok inilah tempat umat berpaut. Inilah analogi asal usul din yang kuat di mana manusia bersyahadah dan berbai’ah di bawahnya (QS: 48/10&18). Demikianlah analogi agama berdasarkan pembacaan alam yang cuba Allah tunjukkan kepada manusia melalui fenomena surah al-kahfi yang menggambarkan pembelahan dua zaman ini. Untuk kita yang kebetulan berada di zaman ini harus sedar dan berusaha menanam semula menggunakan benih yang baik agar hasil yang sama dapat dinikmati dengan pasti.
UMAT BERCELARU – BUKIT BUKAU BERBATU API DAN LEMBAH KEGERSANGAN
Inilah kata kunci atau code breaking kepada falsafah pembangunan semula yang amat perlu kita sama-sama usahakan. Kerosakan peradaban umat ini sudah sangat meruncing dan sukar dibaiki dengan cara lamayang telah melepasi tarikh luputnya. Ia hanya boleh dipulihkan dengan menanam semula minda manusia dengan benih asal. Itulah manual dari kitab yang dibekalkan oleh pencipta kita. Untuk ini silalah rujuk kepada artikel Pembelajaran Alam yang kami kongsikan baru-baru ini.
http://prihatin.net.my/web2/2014/02/19/tafakur-alam-dari-lagu-berita-kepada-kawan/
http://prihatin.net.my/web2/2014/02/19/tanah-air-manusia-hasil-iqra-pembelajaran-alam/
Untuk membangun semula umat ini kita harus pilih bahan mentah dan komponen kejadiannya. Itulah “tanah liat yang kering gersang dan hitam warnanya” sebagai asas kejadian kita. Batu yang keras berapi dan pasir yang poros tidak boleh dimasukkan sama. Mengapa? Kerana tanah yang kering sahaja mampu menyerap air, iaitu mutasyabihat bagi ilmu / wahyu. Tanah yang basah tidak akan mampu menyerap air. Samalah ibarat gelas yang penuh yang tidak mampu menadah air.
Secara analoginya, jika kita sudah merasa pandai berilmu yang kita dapati dari lautan manusia , maka ilmu Allah yang asal ini tidak ada selera kita men’tadabbur’kannya. Tanah liat yang kering dan merekah berpecah belah ini memerlukan air untuk dilembutkan dan dibentuk. Demikianlah manusia yang sedang berpecah belah dan tidak boleh disatukan kerana ketiadaan ilmu yang bersifat air, yang mampu melembutkan dan berfungsi sebagai bahan pengikat (bonding agent) ini.
Mengapa harus tanah liat yang berwarna hitam?
Ini adalah gambaran manusia yang layak dibentuk akhlaknya oleh ilmu Allah ini harus merasakan mereka huduh dan hina dina (QS:11/27). Jika kita negetif, Allah datangkan unsur positif agar kita bercahaya. Jika kita merasa kering dan keras Allah basahkan serta lembutkan dengan air. Jika kita rapuh dan tidak melekat antara satu sama lain, maka air itu juga akan melekatkan kita sesama sendiri dengan kasih sayangNya.
Itu semua gambaran sifat kehitaman kita yang ingin Allah putihkan dengan ilmunya. Syaratnya kita harus berpuasa dari menggunapakai ilmu batil dari air masin yang kita kutip dari lautan manusia sekian lama. Makanlah habis-habis kejahilan dan keingkaran kita yang hitam itu, minumlah secukupnya ilmu wahyu yang jernih segar dari Allah itu sehingga jelas nampak benang putih dari benang hitam sewaktu bersahur (QS:2/187).
MERATAKAN TANAH UNTUK PEMBANGUNAN SEMULA JIWA MANUSIA
Tanah yang sudah diratakan ini kemudian dibentuk semula mengikut fungsi dan peranannya. Ada yang diperkukuhkan menjadi batu yang merekah merembeskan air di bukit dan gunung yang dingin untuk mengairi yang di bawah bukit secara saksama. Tidak seperti sekarang, di mana batu gunung menjadi batu api dan gunung berapi yang membakar dan memusnahkan. Jika ada air pun akan ditakung sana sini untuk memberi keutamaan kepada pihak-pihak tertentu sahaja.
Demikian jugalah kaedah perlantikan pemimpin, yang dipilih dari golongan yang merendah diri dan telah dibentuk semula oleh wahyu, agar benar-benar menjadikan ‘pemimpin itu hamba rakyat’. Rasulullah SAW dan semua para Nabi terdahulu, termasuk Sultan Mahmet Al-Fateh semuanya adalah dari golongan bangsawan yang dibentuk semula dari peringkat bawah.
Seterusnya, tanah yang di bawah pula memainkan peranan menjadi tanah yang subur, mampu menakung air menjadi perigi, dan menghidupkan tanaman dan manusia. Demikianlah golongan bawahan yang tidak musnahkan oleh golongan atasan, atau dipijak-pijak ibarat dibakar oleh lahan gunung berapi. Tanah lembah ini seharusnya mendapat air dari bukit secara saksama, dan hasil mahsul darinya dikirim ke golongan atasan kerana mereka semuanya dari asal usul yang sama.
Demikianlah serba sedikit yang dapat kami kongsikan tentang fenomena pembangunan semula akidah dan peradaban manusia beragama selepas berakhirnya kegemilangan dari hasil usaha umat sebelumnya. Anda mungkin perlu membaca habis terjemahan quran dan memahaminya beberapa kali sebelum mampu memahami coretan kami ini.
Bersabarlah jika masih belum mampu memahaminya kerana pertolongan berupa hidayah dari Allah itu hanya boleh kita dapati dengan ‘sabar’ sahaja. WASTA’INU BISSOBRI WASSOLAH. Itu juga rahsia besar al-Kahfi yang telah kami kongsikan dalam Siri ke 8.
Minda Jumaat
WARGA PRIHATIN