Penerbit video hina hudud mohon maaf
- Klip video yang berdurasi 1 minit 55 saat itu, telah ditonton seramai 279,031 dan mendapat sebanyak 15,701 ‘share’.
SHAH ALAM – Stesen radio BFM yang menerbitkan video kontroversi memohon maaf selepas video itu mendapat kecaman dan menimbulkan kemarahan rakyat.
Stesen berbahasa Inggeris itu turut menarik balik video berdurasi 1 minit 55 saat itu selepas penyampainya, Aisyah Tajuddin menerima pelbagai ancaman termasuk bunuh dan rogol.
Menurut BFM, video itu diterbitkan di bawah program berbahasa Melayu, BFM Kupas dengan kerjasama Projek Dialog yang menumpukan kepada komen sosial berhubung isu semasa.
BFM berkata, video itu sebenarnya menyentuh persoalan sama ada pelaksanaan hudud menjadi keutamaan Kelantan semasa berdepan masalah ekonomi dan pembinaan semula pasca banjir.
“Bagaimanapun, berdasarkan komen yang kami terima daripada pelbagai laman sosial, jelas sebahagian penonton menganggap kami mempersoalkan kebaikan pelaksanaan hudud. Kami tidak mempunyai niat berbuat demikian,” kata kenyataan itu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Gadis persenda hudud dikecam teruk]
BFM berkata, tujuan video itu adalah untuk mengajak penonton mempertimbangkan beberapa persoalan mengenai pelaksanaan hudud.
Sebelum ini BFM Kupas juga mengadakan dialog video bersama Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat, aktivis, Marina Mahathir dan Aminuddin Yahya serta Tun Faisal sebagai cara menyelesaikan titik perbezaan.
Sementara itu, BFM berkata stesen radio itu kesal terhadap serangan peribadi dan ancaman bunuh di media sosial yang ditujukan kepada Aisyah dan menyifatkannya sebagai menyalahi undang-undang.
“Kami ingin menyatakan Aisyah hanyalah pengacara pengganti BFM Kupas dan bukan penulis skrip bagi video itu.
Jadi pandangan dalam video itu tidak mencerminkan pandangan peribadinya mengenai isu itu,” katanya.
Cubaan menghubungi Aisyah gagal apabila BFM memaklumkan wanita itu enggan ditemu bual media dan menyerahkan perkara tersebut kepada pengurusannya.
Wakil BFM, Ezra Zaid ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang berbincang sama ada mahu membuat laporan
polis berhubung ancaman bunuh yang diterima Aisyah atau tidak.