Parenting Tips – IbuBapa Perlu Perfect Untuk Dapat Anak Yang Perfect

00 IBU PERFEK DONEParenting Tips – IbuBapa Perlu Perfect Untuk Dapat Anak Yang Perfect

Isu yang kami utarakan ini mendapat bangkangan segolongan kaum ibu bapa atas alasan tidak mungkin golongan vateran boleh mengatasi kehebatan golongan muda. Kami ambil inisiatif untuk menjelaskan semula secara komprehensif. Isunya ialah keterkaitan ibu bapa yang perfek yang bakal menjadi ikutan dan sumber inspirasi kepada anak-anak untuk turut menjadi perfek.

Antara alasan yang diutarakan oleh sebahagian pembaca ialah perkembangan otak anak yang berusia muda itu sangat progresif, tidak mampu dibatasi dengan perkembangan otak ibu bapa yang semakin lemah. Jika kita berpegang kepada prinsip ini maka perkembangan minda anak akan terbantut. Dalam permainan game contohnya, ibu-bapa sering saja dikalahkan oleh si anak. Begitu juga dalam bidang teknologi lain kerana minda anak generasi moden ini sangat cerdas.

SKOP PERFEK

Warga Prihatin membuat kajian mendalam dibidang sahsiah dan pembangunan akhlak dengan merujuk kepada spesifikasi quran dan sunnah. AlQuran itu diturunkan untuk memperbaiki akhlak manusia dan akhlak Rasulullah SAW adalah alQuran. Oleh itu skop perfek yang kami tekankan di sini juga adalah dari segi akhlak dan sahsiah. Memang kami tidak menyangkal keperluan pembangunan minda anak cemerlang dan seharusnya digalakkan pencapaiannya ke tahap yang paling tinggi, khususnya dalam bidang teknologi.

Apa yang kami tekankan ialah soal akhlak yang terkait secara langsung dengan kemajuan duniawi. Pernah kami tuliskan artikel bertajuk kejar akhirat dunia mengikut yang terkait secara langsung dengan isu ini. Jika anda belum bacanya sila ke pautan ini.

http://prihatin.net.my/web2/2013/10/20/parenting-tips-30-falsafah-kejar-akhirat-dunia-mengikut/

CONTOH-CONTOH PERFEK YANG BERKAITAN

Ibu itu adalah guru nombor satu dalam pendidikan anak-anak. Rumah pula adalah sekolah nombor satu mereka. Di situ mereka dilahirkan, dibuai dan disitu jugalah mereka mula belajar segala macam pelajaran tanpa huruf. Itulah permulaan pembacaan ayat kasar, pembacaan konteks sebelum mereka mampu membaca teks. Daripada banyak keperluan kaum ibu untuk perfek kami petik beberapa contoh perfek dalam soal akhlak ini.

PERFEK DALAM KERAJINAN

Untuk menjadikan anak yang rajin contohnya, ibu-bapa harus menunjukkan contoh yang terbaik, harus perfek dari segi kerajinan untuk dilihat dan diikuti uswahnya oleh si anak. Bagaimana untuk mengemas rumah, membasuh pakaian, mengemas kekotoran dalam kereta, halaman rumah dan sebagainya. Ibu bapa harus perfek dalam soal ini.

Selain daripada ibu bapa yang kreatif dan rajin, mereka juga harus mengajar dan mendidik anak-anak untuk ikut turun tangan. Didik anak itu untuk segera bangkit apabila di panggil atau disuruh. Didik mereka untuk tidak mengharapkan orang lain untuk mengurus perkara asas dalam kehidupan mereka. Jangan sampai nak air sejuk segelas pun malas nak ambil dari peti sejuk. Nak masak air, jerang nasi atau masak mee megi pun tidak pandai. Seluar dalam sendiri pun ibu bapa yang cuci.

Masalah ibu bapa moden kini ialah mereka inginkan anak yang rajin, tetapi mereka sendiri menjadi insan yang pemalas. Kain baju semua maid yang uruskan ataupun hantar ke dobi untuk gosok dan cuci sedangkan di rumah ada bekalan air dan mesin basuh pun. Isteri ada duduk bersembang, suami dahaga sang isteri hanya jerit saja pada maid untuk buatkan air. Anak-anak memerhati sepanjang masa dan lama kelamaan ini membentuk sahsiah tersendiri dalam diri anak-anak itu.

Akhirnya anak-anak juga mengharapkan maid dan secara langsung mereka jadi jahil dalam urusan asas rumah tangga dan penjagaan diri sehingga memudaratkan kehidupan masa depan mereka. Anak-anak sebegini akan menghadapi masalah survival apabila menjalani kehidupan sendiri seperti apabila masuk asrama, bermusafir, mengurus rumahtangga, menghadapi musibah atau bencana dan sebagainya.

Di samping membentuk anak jadi pemalas, ia juga menjadikan anak-anak tidak panjang akal dalam soal kehidupan. Mereka jadi tidak kreatif dan mudah putus asa kerana telah terlalu dimanja oleh sikap pemalas ibu bapa yang telah menyerap dalam diri mereka sekian lama.

Meletakkan sesuatu biarlah kena pada tempatnya. Amat malang sekali dewasa ini bilamana terlalu banyak contoh suami romantik. Isteri yang cantik dan pemalas semakin malas dibuatnya. Suami kena balik awal sebab nak siapkan minum petang dan air buat isterinya, kena basuh pakaian dan angkat kain di jemuran. Seluar dalam dan baju dalam isteri pun suami yang basuh.

Ironinya, praktis ini boleh berlarutan sehingga anak dara mereka sudah berumahtangga. Habit mertua romantik ini diperhatikan pula oleh menantu lelaki dengan rasa pelik. Akhirnya masalah itu menular. Apa yang kami dapati anak perempuan ini juga mewarisi perangai ibu bapanya. Memanjang makan dikedai atau tapau saja. Kain baju hantar ke dobi. Anak mereka serah pada nenek dan datuk. Hujungnya rumahtangga mereka pula turut hancur.

PERFEK DALAM KREATIVITI

Ibu bapa yang rajin akan turut membina kerativiti dalaman, samada dalam sahsiah, siasah maupun espek kerjatangan. Ibu bapa yang rajin akan menimba pelbagai pengalaman sepanjang melakukan kerjatangan. Mereka juga banyak berinteraksi semasa melakukan kerjatangan. Ini secara otomatik akan melahirkan generasi yang kreatif dalam segala bidang dan pandai berkomunikasi, pandai memberi dan menerima arahan.

Pendedahan penggunaan segala macam peralatan juga akan menjadi bahan pemerhatian anak-anak untuk mengembangkan kreativiti kerajinan mereka. Kreativiti ibu bapa sewaktu melakukan kerja atau menangani sebarang krisis atau masalah kehidupan juga menjadi uswah terbaik untuk mendidik mereka.

Anak-anak ini juga bakal membentuk generasi yang kreatif. Di sekolah mereka akan mudah membawa diri, mudah bergaul, ringan tulang dan menonjol. Apabila memimpin organisasi, anak ini bakal cemerlang dan mampu memimpin dengan baik. Tidaklah terjadi seperti sekarang, ramai anak-anak lulus dalam peperiksaan, berjaya mendapat ijazah dan PhD tetapi gagal dalam kepimpinan dan siasah mereka. Gejala akhlak, perbuatan sumbang dan pecah amanah dan jenayah perdagangan berleluasa.

PERFEK DALAM AKHLAK

Secara ringkas ingin kami petik beberapa contoh. Jika ibu adalah seorang yang pemarah, pemalas atau pengotor, keras kepala, sukar menerima teguran maka itu tidak perfek dalam soal akhlak.

Ibu yang tidak hormat pada pengatur iaitu suaminya, sukar memaafkan, sukar pula minta maaf, degil, tidak patuh pada suami, suka membentak, melawan suami adalah tidak perfek. Sukar untuk membentuk generasi anak-anak yang taat, pemaaf dan sebagainya dari ibu seperti ini.

Ibu yang tidak mematuhi tuhannya, tidak menutup aurat, tidak suka diam di rumah, suka berkeliaran dan gedik berpoya-poya, tidak pandai menjaga batas pergaulan dengan lelaki lain di luar adalah tidak perfek dalam sudut akhlak. Ini akan melahirkan generasi yang menghadapi masalah yang sama.

Peranan bapa juga demikian. Bapa yang tidak perfek dari segi akhlaknya bakal melahirkan generasi anak yang serupa. Bapa yang tidak pedulikan perintah dan larangan tuhannya, yang sering makan wang haram hasil curi, rasuah, penipuan akan membentuk anak yang degil terhadap perintah tuhan, perintah ibubapa dan ketuanya. Bapa yang tidak pernah solat, puasa, tidak berzakat, tidak suka bersedekah dan sebagainya akan menjadikan anak dan isteri mereka juga jadi begitu.

Bapa yang pemalas, akan menjadi ketua keluarga yang pasif, tidak kreatif. Anak-anak mereka juga bakal menjadi pemalas dan tidak kreatif. Begitu juga halnya untuk membina jiwa prihatin anak-anak. Ibu bapa harus terlebih dahulu perfek dalam sahsiah keprihatinan. Mereka harus tunjukkan keprihatinan terhadap agamanya, masyarakat dan negaranya. Bapa harus prihatin terhadap persekitaran dan mengatur ahli keluarga untuk memperbaiki keadaan, bagaimana yang berselerak, yang kotor, yang membahayakan harus diperbaiki. Barulah anak-anak mengambil uswah dan terdidik untuk turut jadi prihatin, tidak seperti lembu yang selesa sahaja duduk di rumah yang tidak berperaturan, kotor dan berterabur.

KESIMPULAN:

Sifat al-Amin Rasulullah SAW itu ditanamkan oleh Aminah ibunda baginda. Kepatuhan Ismail a.s. itu ditanamkan oleh kepatuhan ibunya Siti Hajar r.a. Kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh itu hasil motivasi ibunya yang bersemangat tinggi menzikirkan impian Rasulullah SAW. Tidak perlulah si ibu atau bapa yang memikirkan penciptaan teknologi peperangan atau ikut berperang sehebat Al-Fateh..! Tidak perlulah ibubapa menjadi hebat bermain game atau badminton untuk perfek dan mengalahkan anaknya.

Pesan Rasulullah yang menyebut didiklah anak-anak mu 100 tahun sebelum lahirnya membawa maksud tersendiri. Ia merujuk kepada keperluan kita meneliti situasi semasa, mencari kepastian asal usul kita, mencari titik mula dan punca kejatuhan dan bagaimana membangunkan semula generasi anak-anak kita. Kita bina mereka berpandukan perbandingan situasi semasa dengan progres jatuh bangunnya generasi 100 tahun sebelumnya.

Itulah hakikat kajian pokok asal usul, atau sejarah yang mengaitkan kualiti benih dengan kualiti hasil buahnya. Jika tiada hasil dari pendidikan kita zaman berzaman, atau hasil pokok akidah generasi kita semakin menurun kualitinya, maka ibubapa harus melakukan kajian mendalam hingga ke akar umbi. Di manakah silapnya sehingga generasi kita semakin hari semakin lemah dan punah. Bagaimana mampu kita menghalang anak-anak kita dimurtadkan jika kita sendiri tiada ilmu dan pendirian, kita sendiri jahil dan lemah ikatan takwa dan akidahnya. Inilah yang dimaksudkan Baginda SAW.

Mari kita perhatikan firman Allah dalam Surah 14. Ibrahim,

24. Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya ke langit,
25. pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.
26. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap sedikitpun.
27. Allah meneguhkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.

Pencerahan iqra
WARGA PRIHATIN